鶹Ƶ

JUMAAT, 4 MEI - Ceramah Kerjaya Kejuruteraan Awam 2018 yang dianjurkan pelajar tahun tiga kursus Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) 鶹Ƶ (UMS) baru-baru ini mampu menyokong usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri apabila menamatkan pengajian kelak.

Ketua program ceramah tersebut, Nur Farah Adlin Misri berkata, program yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan UMS itu adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan alam pekerjaan serta petua untuk mencari kerja kepada para pelajar khususnya yang mengambil bidang Kejuruteraan Awam.

“Antara penceramah yang dijemput adalah Andrew Lim Chung Han, seorang pensyarah berpengalaman 10 tahun dalam bidang Lukisan Kejuruteraan serta Pengurus Besar Kumpulan Liziz Sdn. Bhd., Ir. Dr. Chidambaram Ramanathan.

“Melalui ceramah informatif yang disampaikan, pelajar bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman yang mendalam mengenai profesion jurutera, malah program ini juga mampu membina semangat para pelajar dalam mengenal pasti potensi diri dan juga memilih kerjaya yang sesuai dengan bidang yang diceburi,” katanya.

Tambahnya lagi, antara pengalaman yang dikongsi dalam ceramah tersebut adalah teknik berhadapan dengan masalah di tempat kerja dan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah tersebut serta etika yang perlu diambil perhatian demi membentuk seorang jurutera yang berintegriti tinggi.

Sementara itu, Dr. Chidambaram berkata aktiviti seperti ini amat bermanfaat kepada siswa-siswi kerana inti pati program berkenaan mampu membuka minda para mahasiswa sebagai persediaan memasuki ke alam pekerjaan.

“Program seperti ini perlu diteruskan dengan melibatkan lebih ramai mahasiswa agar mereka mendapat pendedahan yang berguna sebagai persediaan menceburi bidang dan industri berkaitan kejuruteraan,” ujar beliau.

Lebih 150 pelajar program Kejuruteraan Awam hadir pada program tersebut.

KHAMIS, 3 MEI – Sambutan Pesta Tiong Hua Peringkat 鶹Ƶ (UMS) Kali Ke-7 yang berlangsung di Dewan Hakka, Kota Kinabalu baru-baru ini meriah dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung terdiri daripada warga pelajar dan kakitangan UMS serta masyarakat luar.

Ketua Pengarah Sambutan Pesta Tiong Hua UMS, Lew Zhei Wen berkata, penganjuran sambutan pada malam tersebut bertujuan untuk mempromosikan kebudayaan tradisi Cina kepada masyarakat di seluruh negara.

“Sambutan ini juga adalah bagi mewujudkan pengetahuan mengenai kebudayaan masa lampau masyarakat Cina.

“Ini sekali gus menyokong usaha memelihara kebudayaan Cina serta membolehkan generasi masa depan meneruskan kesinambungannya,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof ketika berucap merasmikan sambutan tersebut berkata, penganjuran Pesta Tiong Hua mampu mengetengahkan keunikan identiti dan kebudayaan masyarakat Cina serta menggalakkan pemahaman lebih mendalam terhadap warisan dan tradisi masyarakat Cina.

“Usaha memelihara kebudayaan adalah amat penting agar tradisi warisan ini tidak hilang dan dilupai, serta mampu diwarisi oleh generasi masa kini dan masa hadapan.

“Penganjuran program ini juga memberi pendedahan yang baik kepada pelajar dan memberi nilai tambah dalam mengasah kemahiran-kemahiran tertentu dalam penganjuran sesuatu majlis,” ujar beliau.

Pelbagai persembahan kebudayaan dipertontonkan kepada pengunjung yang hadir antaranya persembahan tarian singa, tarian moden dan kontemporari, nyanyian, sketsa, alunan instrumen dan muzik tradisional.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Ahmadi Nurdin dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Jusman Nali.

KHAMIS, 3 MEI - Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) 鶹Ƶ (UMS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengadakan Kolokium Pendidikan STEM Zon Sabah 2018 di Dewan Kuliah Pusat ke-2, UMS baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, program itu bertujuan untuk meningkatkan minat dan kesedaran pelajar-pelajar sekolah di negeri Sabah tentang kepentingan sains, teknologi dan inovasi dalam pembangunan negara.

“Kita perlu menarik dan memupuk minat para pelajar sama ada yang berada di bandar mahu pun luar bandar terhadap mata pelajaran berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau ringkasnya STEM ini kerana  Revolusi Industri 4.0 sekarang ini memerlukan kita menyerap elemen STEM dengan lebih giat lagi dalam setiap proses pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin berkata, pendidikan STEM memainkan peranan utama dalam membangunkan murid Malaysia sebagai generasi masa depan dengan pemikiran inovatif dalam ekonomi global yang penuh persaingan.

“Pendidikan STEM juga menyediakan landasan anjal kepada Malaysia untuk menyediakan bekalan tenaga kerja yang berkemahiran dan berbakat ke arah pembangunan ekonomi yang lestari demi memenuhi permintaan dalam bidang-bidang berkenaan,” katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak UMS, KPM dan JPN Sabah di atas penganjuran kolokium STEM 2018 Zon Sabah yang berjaya menarik 1,400 penyertaan daripada kalangan pentadbir sekolah, guru bidang STEM, guru kaunseling dan kerjaya serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru. 

Hadir sama pada program itu,  Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Prof. Dr. Mohd. Dahlan Hj. A. Malek; Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan KPM, Dr. Habibah Abdul Rahim; dan Pengarah Pendidikan JPN Sabah, Datuk Hajah Maimunah Suhaibul.

 

JUMAAT, 27 APRIL – Seramai 167 peserta menyertai Kursus Pra Perkahwinan anjuran Exco Kerohanian dan Pembangunan Sahsiah Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) Kolej Kediaman Excellent (KKE), 鶹Ƶ (UMS) baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Kuliah Pusat 16 UMS, program yang dianjurkan dengan kerjasama Mawaddah Company itu disertai peserta yang terdiri daripada mahasiswa UMS dan juga orang awam.

Pengarah Program, Mazwan Muhammed berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan dan mendidik mahasiswa menjadi agen-agen pembangun institusi kekeluargaan.

“Di samping itu, ia bagi memberi pendedahan mengenai hubungan dalam rumah tangga, permasalahan dan cara penyelesaian serta isu-isu lain yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pelbagai pengisian menarik yang disampaikan oleh para penceramah yang bertauliah, antaranya Tuan Hj. Mohd Nasir Kursin, Ustazah Siti Hajar, Ustaz Malai Ali Malai Ahmad, Ustaz Baharuddin Hj. Alwi dan Ali Zainal Hj. Maidin.

“Sejujurnya, kami tidak menyangka sambutan yang begitu menggalakkan dalam kalangan mahasiswa dan orang awam dalam menjayakan kursus pada kali ini.

“Justeru, terima kasih diucapkan kepada semua peserta yang sudi untuk menghadiri kursus ini dan mudah-mudahan apa yang dilakukan ini mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T,” tambahnya.

Hadir sama pada program itu, Pengetua KKE, Dr. Syahruddin Hj. Awg Ahmad; Timbalan Pengetua KKE, Mohd. Hilmey Saili; wakil Mawaddah Company, Saiful Farhan Baharuddin; Felo Penyelaras Program, Mat Usup Hj. Rasid; dan Yang Dipertua Jakmas KKE, Siti Irra Syahirah Mohd Yasin.

JUMAAT, 27 APRIL: Pelbagai aktiviti diadakan sempena Minggu Penghayatan Islam (MPI) anjuran Kelab Rakan Masjid (KRM) 鶹Ƶ (UMS) yang berlangsung di Dewan Resital baru-baru ini.

Menurut kenyataan KRM, antara aktiviti MPI ialah Konvensyen Fiqh Borneo (KFB) yang diadakan untuk memberi kefahaman secara komprehensif kepada peserta mengenai hukum syarak dalam pelbagai isu kontemporari yang mencakupi pelbagai bidang mengikut isu semasa.

Kenyataan itu juga memaklumkan, KFB membawa sedikit kelainan berbanding program sama pada tahun sebelumnya dengan melibatkan peserta luar seperti Persatuan Siswazah Sabah, Industri Campus Camp, Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu, Kelab Remaja Ukhuwah Putatan selain wakil daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS sendiri.

Sementara itu, program lain yang berlangsung pada MPI ialah Forum ‘Islam Is The Way of Life’, Pertandingan Khat dan Kolaj, Pengurusan Kewangan mengikut Perspektif Islam, Pertandingan Kraftangan, Bual Fiqh Sirah dan Tilawah.

Turut diadakan Pertandingan Penulisan Puisi, Pameran Kebajikan dan Akademik, Pertandingan Bola Jaring, Pertandingan Futsal, Pertandingan Poster, serta Pameran Kesenian Islam dan Pertandingan Ikon Daie.