鶹Ƶ

RABU, 25 APRIL - Pendidikan berkaitan keamanan dan hak asasi kemanusiaan diharapkan menjadi ciri-ciri utama dalam institusi pengajian tinggi pada masa hadapan, kata Naib Canselor 鶹Ƶ (UMS) Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Menurut beliau, UMS juga ingin melahirkan dan menyediakan graduan yang boleh berhadapan pelbagai cabaran yang tidak menentu pada masa akan datang.

“Oleh itu, seminar ini memainkan peranan penting bagi menyediakan gambaran mengenai cabaran masa depan pada graduan,” katanya ketika menyempurnakan perasmian Seminar ‘Strengthening Human Right and Peace Research and Education in ASEAN/Southeast Asia’ (Shape Sea) dan UMS National ‘Addressing Inequalities For Peace and Justice, di Galeri Bangunan Canselori, kelmarin.

Datuk Kamarudin berkata, tahun ini UMS menerusi Program Hubungan Antarabangsa akan mengadakan kerjasama dengan The International Committee of The Red Crescent (ICRC).

Katanya, kerjasama seumpamanya akan membolehkan lebih banyak aktiviti diadakan bersama dari segi pengajaran berkaitan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan sebagainya.

“Dengan adanya latihan akademik dan industri seumpamanya, saya yakin pelajar UMS akan lebih bersedia dalam pembangunan negara selain menjadi warga dunia yang bertanggungjawab.

Beliau turut memaklumkan penglibatan UMS dalam rangkaian  Shape Sea akan menyediakan platform kepada institusi itu menyumbang kepada sasaran keseluruhan wilayah berkenaan.

Turut hadir pada program itu Wakil Malaysia ke ASEAN Intergovernmental Commission On Human Right, Edmund Bon Tai Soon.

 

SELASA, 24 APRIL – Sambutan Earth Day 2018 Peringkat 鶹Ƶ (UMS) mampu menyemai kesedaran tentang kepentingan terhadap usaha melestarikan alam sekitar dalam kalangan warga universiti khususnya, dan juga masyarakat setempat secara amnya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, hal ini penting kerana bumi telah sekian lama terkesan dengan perkembangan revolusi industri yang turut menyebabkan pemanasan global pada muka bumi.

“Tidak dinafikan perkembangan terhadap revolusi industri sebenarnya adalah satu usaha untuk memperbaiki kualiti hidup manusia, tetapi tanpa disedari usaha tersebut turut memberikan kesan terhadap kerosakan alam sekitar.

“Justeru, satu usaha harus dimulakan agar aktiviti yang menjurus kepada kerosakan muka bumi dapat dibendung segera, dan alam sekitar dapat dilestarikan untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan tersebut di Foyer Bangunan Fakulti Kejuruteraan (FKJ), UMS pagi tadi.

Beliau turut menyeru para penyelidik, ahli akademik dan pelajar UMS khususnya dari FKJ agar terus mengeluarkan idea dan inovasi baru dari sudut kejuruteraan yang mampu membantu kepada aspek kelestarian alam sekitar.

“Misalnya, sebuah bot boleh direka bentuk dengan fungsinya untuk memerangkap atau mengangkut plastik dan sampah sarap di permukaan laut,” ujar beliau.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena program anjuran bersama Pusat Pengurusan EcoCampus dan FKJ itu, antaranya ceramah khas dari pensyarah UMS dan agensi luar, pameran poster penyelidikan, jualan bunga hasil bahan kompos, lawatan tapak pengkomposan, dan pertandingan mewarna yang dijayakan oleh kanak-kanak dari Pusat Minda Lestari UMS dan Sekolah Rendah Islam Kota Kinabalu (SRIKK).

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Prof. Madya Dr. How Siew Eng; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FKJ, Dr. Mohd. Kamel Wan Ibrahim; dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKJ, Dr. Abu Zahrim Yaser.

SELASA, 24 APRIL -  Duta Universiti (Fokus Luar Bandar) 鶹Ƶ (UMS) telah menganjurkan Program Motivasi “Get To Know” Siri Kedua bersama pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sindumin, Sipitang baru-baru ini.

Menurut satu kenyataan daripada Duta Universiti tersebut, program itu telah dikendalikan 28 sukarelawan terdiri daripada pelajar UMS termasuk empat duta yang dilantik Jabatan Pendidikan Tinggi di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTC), Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 (NBOS4) dan disertai 100 pelajar golongan B40 dari sekolah tersebut.

“Dengan misi memotivasikan serta menarik minat para pelajar luar bandar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, program motivasi ini juga merupakan salah satu inisiatif yang dirangka untuk menghapuskan jurang antara penduduk luar bandar dengan pelajar universiti.

“Program yang berlangsung selama dua hari ini merupakan lanjutan daripada siri pertama program yang melibatkan pelajar tingkatan tiga sekolah ini pada Oktober tahun lepas, dan sambutan yang amat baik daripada pihak sekolah memberi peluang kepada pihak Duta UMS untuk menambah baik program tersebut dengan aktiviti-aktiviti yang lebih interaktif untuk siri kedua,” demikian menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengetua SMK Sindumin, Zulkifle Kassim menyuarakan hasrat untuk program sebegini diteruskan agar lebih ramai pelajar luar bandar tertarik untuk yang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Diharapkan aktiviti dan pengisian sepanjang program ini dapat menjadi penyuntik semangat para pelajar supaya berusaha dengan lebih baik untuk mencapai cita-cita mereka,” ujar beliau.

Menerusi program itu, para pelajar diberi penerapan berkaitan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerjasama dalam kumpulan, di samping bimbingan hala tuju selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pilihan bidang pembelajaran serta perkongsian teknik belajar berkesan.

 

 

 

 

ISNIN, 23 APRIL – Seramai 32 staf 鶹Ƶ (UMS) telah dilantik sebagai ahli Akrab Care, satu kumpulan yang dibentuk dalam kalangan kakitangan UMS yang bertujuan untuk memberi bantuan dan bimbingan kepada kakitangan berprestasi rendah atau terlibat dalam ‘Exit Policy’ serta mempunyai permasalahan dalam kehidupan seharian.

Pendaftar UMS, No’man Ahmad berkata, beliau yakin dengan kekuatan seramai 32 orang ahli tersebut untuk membantu meningkatkan semangat bekerja dan menghulurkan bantuan dari segi khidmat nasihat dan kaunseling kepada warga kakitangan lain bagi membantu mereka mencari jalan keluar dari sesuatu permasalahan yang membelenggu mereka.

“Diharapkan ahli-ahli Akrab Care mampu menggalas tanggung jawab membantu rakan-rakan yang bukan sahaja mempunyai masalah peribadi, malah mungkin turut berhadapan dengan masalah tekanan di tempat kerja.

“Anda semua haruslah lebih proaktif dalam menangani rakan-rakan yang berhadapan masalah agar mereka tidak terjerumus kepada permasalahan yang lebih berat, sekali gus menjejaskan prestasi kerja yang kemudiannya memberi kesan besar kepada jabatan dan organisasi UMS secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pengiktirafan Akrab Care di Galeri Majlis UMS, baru-baru ini.

Beliau menambah, dengan adanya fungsi Akrab Care juga diharapkan sasaran untuk meningkatkan indeks kegembiraan dalam kalangan warga UMS yang pada ketika ini adalah sebanyak 73 peratus, dapat ditingkatkan kepada 85 peratus.

Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 32 ahli Akrab Care sebagai tanda pengiktirafan kepada mereka untuk menjalankan khidmat bimbingan dan kaunseling.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, Raffie Janau dan pengerusi Akrab Care, Sharifah Ismail.

 

JUMAAT, 20 APRIL – Pelaksanaan projek Smart Infra ICT 鶹Ƶ (UMS) bakal menerima bantuan pembiayaan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kos sebanyak RM5 juta sebagai permulaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak berkata, projek ini akan merangkumi pemasangan rangkaian fiber menghubungkan bangunan dan premis selain pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi-lokasi strategik yang bertujuan untuk memantau keselamatan di dalam kampus UMS.

“Rangkaian fiber dan komponen keselamatan yang akan dibangunkan dilihat mampu membantu pihak pentadbiran UMS merealisasikan pelaksanaan Smart Eco UMS 4.0 bagi menjamin persekitaran selamat di kalangan warga UMS serta bakal menjadi platform berpusat pemprosesan insiden dan analisis data. 

“Saya optimis dan yakin bahawa dengan penambahbaikan infrastruktur ICT yang dilakukan ini akan dimanfaatkan sebaiknya oleh warga universiti, serta mampu menjadikan UMS sebagai model dan rujukan dalam pembangunan teknologi digital, mempertingkatkan keberkesanan penyampaian maklumat dan seterusnya mempromosikan UMS sebagai destinasi utama pengajian tinggi di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena merasmikan Pelancaran Smart Infra ICT UMS di Dewan Bankuasi, UMS pagi tadi.

Menurut beliau,  pelaksanaan projek Smart Infra ICT UMS adalah satu usaha baik dan merupakan kesinambungan dalam menyokong usaha kerajaan memenuhi keperluan pembelajaran dan penyelidikan secara lestari kepada universiti awam.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, kerjasama pintar antara UMS dan KKMM amat bermakna sebagai satu jambatan yang menghubungkan jurang antara teknologi maklumat dan membolehkan UMS menjadi sebuah Connected Campus.

Katanya, ledakan maklumat yang sentiasa ada di mana jua boleh dicapai melalui penyediaan infrastruktur yang baik.

“Maka, dengan peluang ini diharapkan kita semua dapat memanfaatkan kemudahan ini untuk membina masa depan yang cerah untuk generasi akan datang.

“Adalah penting untuk memastikan prasarana telekomunikasi terutamanya kemudahan jalur lebar disalurkan ke Universiti Awam seperti UMS bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan siswa siswi Universiti Awam serta melengkapkan diri mereka dengan keperluan zaman digital,” kata Datuk D Kamarudin.

Ujar beliau, usaha ini dapat dilaksanakan dengan inisiatif komuniti pintar dan dilaksanakan di peringkat mikro dengan memastikan liputan perkhidmatan serta penggunaan ICT diperkasakan kepada seluruh komuniti.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Dr. Mazlan Ismail