鶹Ƶ

RABU, 29 NOVEMBER - Ahli Diplomat Awam perlu memahami tugas masing-masing untuk membawa nama baik negara.

Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Datuk Mohamad Sadik Kethergany berkata, mereka perlu mempunyai pengetahuan yang luas tentang Malaysia dan mempunyai kemampuan komunikasi yang tinggi khususnya dalam memberi penerangan berkaitan tanah air kepada negara tempat bertugas.

"Paling penting segala kelakuan perlu dijaga, seperti penggunaan perkataan, tingkah laku dan tabiat peribadi kerana semua mata akan tertumpu pada kita selaku ahli Diplomat  Awam yang mewakili sebuah negara iaitu Malaysia.

“Seseorang ahli diplomat akan mudah menyesuaikan diri dan mampu menonjolkan negara Malaysia dengan baik apabila dia memahami budaya masyarakat di sana sekali gus mampu berkomunikasi menggunakan dialek dan bahasa perantaraan mereka," tambahnya.

Datuk Mohamad Sidek berkata demikian ketika berucap pada Latihan Sangkutan Jangka Pendek (Bina Insan) kepada bakal Diplomat IDFR di Galeri Bangunan Canselori, UMS, kelmarin.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam teks ucapan aluannya berkata, adalah menjadi satu kebanggaan bagi UMS mempunyai hubungan yang baik dengan IDFR.

“Saya percaya jalinan kerjasama ini akan membantu perkembangan universiti seiring dengan peredaran semasa.

“Saya harapkan agar kehadiran IDFR ke UMS ini adalah permulaan untuk pelbagai lagi jalinan kerjasama pada masa akan datang,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail.

Hadir sama, Pengarah Pusat Pemerkasaan Kompetensi IDFR, Zakaria Nasir; Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Bendahari UMS, Zallifah Shadan.

Kira-kira 200 pelajar dan kakitangan UMS turut hadir menjayakan latihan tersebut.

 

SELASA, 28 NOVEMBER - Kesatuan Eropah (EU) sentiasa membuka ruang kerjasama dengan 鶹Ƶ (UMS) terutama dalam aspek penyelidikan dan pembangunan pelajar.

Perkara itu dinyatakan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez ketika berucap sempena lawatan delegasi tersebut ke universiti itu kelmarin.

Bertempat di Dewan Bankuasi Bangunan Dewan Canselor UMS, beliau berkata, kerjasama yang boleh diadakan adalah seperti pertukaran pelajar dan tenaga pengajar dengan universiti-universiti yang terdapat di Eropah.

“Kita juga mempunyai geran penyelidikan yang boleh membantu para penyelidik dalam penyelidikan yang bersesuaian yang boleh dimanfaatkan bersama.

“Selain itu, kita juga mempunyai program tajaan untuk pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke Eropah,” katanya.

Terdahulu, Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail dalam ucapannya turut mengalu-alukan  kehadiran rombongan EU ke Malaysia kerana telah memilih UMS sebagai salah satu destinasi.

Katanya, kejayaan sesebuah universiti itu sememangnya  ditunjangi oleh jalinan hubungan dengan masyarakat.

“Hubungan yang dimaksudkan ini adalah meliputi jalinan dengan masyarakat antarabangsa termasuk dengan Kesatuan Eropah.

“Justeru, adalah menjadi satu kebanggaan bagi kami di UMS untuk terus mengadakan hubungan yang baik dengan EU,” jelasnya.

Menurut Prof. Dr. Rasid, sebagai sebuah universiti yang bertekad cemerlang, UMS tidak akan pernah berhenti untuk melangkah maju ke hadapan.

“Untuk kekal memacu kecemerlangan ini, UMS akan terus memperkukuh dan mengadakan pelbagai jalinan kerjasama dengan institusi akademik di seluruh dunia,” tambahnya lagi.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin turut berkesempatan hadir bagi meluangkan masa bersama delegasi EU ke Malaysia yang disertai 12 ahlinya.

 

ISNIN, 27 NOVEMBER – Seramai 44 kanak-kanak lelaki berusia enam hingga 13 tahun diraikan dalam Majlis Khatan Perdana 鶹Ƶ (UMS) yang diadakan di Pusat Rawatan Warga UMS kelmarin. 

Menurut Pengarah Program, Noor Fazelah Salimin, program tersebut merupakan aktiviti tahunan yang telah memasuki kali ke-7 penganjurannya oleh Pusat Islam UMS dengan kerjasama Pusat Zakat Sabah dan Persatuan Kebajikan Islam dan Perubatan Sabah (PERKIPS).

“Program ini menjadi acara tahunan PIUMS bagi memudahkan anak-anak kakitangan UMS, pelajar UMS dan masyarakat setempat untuk berkhatan.

“Melalui program ini juga para peserta program khususnya dapat memahami dengan lebih mendalam tentang kesedaran akan kesihatan diri dan kesan mengabaikannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PIUMS, Prof. Madya Dr. Muhammad Suhaimi Taat berkata program yang berlangsung selama sehari itu berjalan dengan lancar hasil usaha tungkus lumus jawatankuasa pelaksana program dan kerjasama ibu bapa peserta program tersebut.

“Terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga peserta yang melakukan pendaftaran lebih awal bagi memastikan program berlangsung dengan sempurna, serta tahniah kepada para peserta atas keberanian mereka menyahut seruan tuntutan dalam Islam ini, “ katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, dua peserta adik-beradik yang difahamkan merupakan pesakit Autisme mencuri tumpuan apabila menjadi peserta terawal melakukan khatan tersebut.

Ahmad Umar Rayyan Marsudi, 6, dan Ahmad Adam Shafie Marsudi, 8, ketika ditemui media menyatakan rasa teruja mereka untuk menyertai program tersebut tanpa dipaksa.

Seramai enam orang jurukhatan dari PERKIPS yang diketuai Tuan Haji Laso Wakim terlibat dalam program tersebut.

Hadir sama Pengerusi PERKIPS, Dr. Ahmad Toha dan Pegawai Hal Ehwal Islam PIUMS, Noorisah Taljid.

 

 

ISNIN, 25 NOVEMBER - Kumpulan Amici Terrae (Friends of Earth) berjaya mengadakan ‘Program Melestarikan Fakulti’ yang diadakan di Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan (FKSW), 鶹Ƶ (UMS), baru-baru ini.

Pengarah program, Syelvina Masanun berkata, program itu mensasarkan pelajar tahun 1 FKSW merangkumi ketujuh-tujuh program yang ditawarkan di bawah fakulti berkenaan.

“Kita memilih pelajar tahun 1 kerana mereka inilah yang berada di fakulti selama tiga tahun yang akan datang sekali gus bersama-sama dalam melestarikan fakulti ini sehingga menamatkan pengajian masing-masing.

“Selain itu, aktiviti gotong-royong juga telah diadakan di sekitar kawasan FKSW sesuai dengan objektif program ini iaitu meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kebersihan fakulti,” katanya ketika ditemui media.

Ujar Syelvina, kumpulan Amici Terrae adalah terdiri daripada pelajar tahun 3 Hubungan Antarabangsa, Antropologi Sosiologi dan Geografi.

“Kita sangat berterima kasih kerana sambutan yang amat memberangsangkan dengan penyertaan seramai 49 pelajar,” jelasnya.

Program selama dua hari itu turut diisi dengan Ceramah Kempen Anti Kutu Sampah dari Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta pameran dari Jabatan Alam Sekitar dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Majlis perasmiannya telah disempurnakan Penerbit Rancangan Kanan, FKSW, Feria Lee.

 

JUMAAT, 24 NOVEMBER - Buat kali keempat, Medical Emergency Response Team, 鶹Ƶ (MERT-UMS) di bawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dengan kerjasama Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS 4WDVC) telah dijemput oleh Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA) untuk terlibat sama dalam Borneo Safari International Off-road Challenge 2017 bertempat di daerah Papar, Sabah baru-baru ini.

Sejumlah 10 buah kenderaan pacuan empat roda dari UMS 4WDVC yang diketuai oleh Presiden Kelab, Prof. Dr. Shahril Yusof telah membawa pasukan MERT-UMS yang terdiri dari tiga doktor pakar, lima jururawat dan masing-masing seorang pensyarah kejururawatan dan penolong pegawai perubatan.

MERT-UMS turut membawa bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang mencukupi untuk mengharungi cabaran perjalanan offroad yang mencabar selama seminggu.

Menurut Pengerusi MERT-UMS, Prof. Madya Dr. Khin Maung Ohn @ Ariff, salah satu aktiviti yang dijalankan ialah tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk Kg. Ovai, Papar.

“Seramai 55 penduduk kampung telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan ubat-ubatan secara percuma dari MERT-UMS di tapak perkhemahan utama Borneo Safari 2017.

“Selain itu, MERT-UMS turut menyediakan perkhidmatan perubatan kepada semua peserta pertandingan yang diadakan sebanyak 18 SS (Special Stage) serta terhadap  semua peserta Borneo Safari yang terdiri daripada peserta tempatan dan peserta antarabangsa daripada negara-negara seperti Brunei, Indonesia, Thailand dan China,” jelas Dr. Ariff.

Tambah beliau lagi, sepanjang ekspedisi ini dilangsungkan dari 29 Oktober – 5 November 2017, tidak berlaku sebarang kecelakaan parah dan beberapa peserta hanya mengalami luka-luka ringan akibat melecur, disengat serangga dan kecederaan ringan yang lain.

Di samping itu, SFWDA dan UMS 4WDVC turut menyumbang beras kepada penduduk kampung yang hadir semasa pemeriksaan kesihatan dijalankan.

Menurut Ketua Konvoi MERT-UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof, program yang mempunyai elemen CSR ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada sumbangan UMS kepada masyarakat pedalaman Sabah.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden SFWDA, Hj. Faez Datuk Nordin kerana sudi menjemput UMS untuk terlibat sama mengikuti Borneo Safari,” katanya yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMS.

Dalam pada itu, seorang penduduk Kg. Ovai yang ditemui iaitu Umai Sr. dipetik sebagai berkata, penduduk kampung sangat berbangga dan berterima kasih atas kesudian pihak UMS memberikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan secara percuma dan berharap agar aktiviti seperti ini akan dilakukan lagi pada masa yang akan datang.

Turut hadir pada hari pertama ekspedisi bagi memberikan sokongan moral kepada MERT-UMS ialah Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan Dekan FPSK, Prof. Dr. Zainal Ariffin Mustaffa.