鶹Ƶ

SELASA, 20 MAC – Persidangan “5th Regional Conference on Campus Sustainability” 2018 (5RCCS2018) yang menghimpunkan ahli-ahli akademik serantau mampu mengetengahkan lagi pelbagai idea dan kajian yang menjurus kepada usaha kelestarian serantau.

Naib Canselor 鶹Ƶ (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, usaha kelestarian sememangnya merupakan satu komitmen kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Sangat penting untuk kita menggunakan dan menguruskan kepelbagaian sumber alam dengan penekanan terhadap aspek kelestarian.

“Usaha ini tidak mungkin berhasil tanpa penglibatan khusus oleh pihak kerajaan dari segi aspek penggubalan peraturan dan undang-undang serta pembangungan infrastruktur dan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian persidangan tersebut yang disampaikan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin di Bilik Seminar Institut Penyelidikan Bioteknologi, pagi tadi.

Beliau menambah, UMS juga turut terlibat secara langsung dalam cabaran terhadap kelestarian melalui inisiatif EcoCampus dan peningkatan terhadap kelestarian kampus.

“UMS juga konsisten dalam matlamatnya untuk menjadikan para pelajar, komuniti setempat dan pemegang taruh sebagai agen kepada pengurangan aktiviti manusia terhadap alam sekitar,” ujar beliau.

Persidangan selama dua hari itu disertai seramai 120 peserta dari 32 universiti, kolej dan institusi dari beberapa negara luar antaranya dari Filipina, Jepun, Thailand dan Indonesia dengan 58 kertas kerja dan 10 poster akademik dibentangkan.

 

ISNIN, 19 MAC -  Mohamad Farizal Mohamad Shawal, alumni 鶹Ƶ (UMS) tahun 2003 hingga 2006 dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan, tidak menyangka penglibatannya dalam bidang keusahawanan pertanian membolehkan beliau bergelar usahawan berjaya melalui perniagaan fertigasi.

Mula menjalankan perniagaan itu pada tahun 2014, beliau kini mengusahakan lima lot rumah hujan berkeluasan 40x120 kaki seunit di lot tanah Jabatan Pertanian Serdang bagi tanaman ‘Golden Melon’ dan ‘Rock Melon’. 

Ketika menerima lawatan dari Pusat Alumni UMS baru-baru ini, beliau turut memaklumkan bahawa perniagaannya itu juga telah membuka cawangan di lokasi baharu di Teluk Panglima Garang Selangor bagi tanaman cili dan timun mini.

“Menjalankan perniagaan fertigasi pertanian penuh dengan cabaran terutama di peringkat awal tetapi dengan adanya tekad, ketekunan dan disiplin yang tinggi pasti akan membuahkan kejayaan,” kata Mohamad Farisal.

Pemuda berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, perniagaan tersebut memberikan pulangan yang baik apabila diurus dengan sempurna sambil mengongsikan pendapatannya yang kini mencecah hingga RM120,000 setahun.

Justeru, beliau mengajak orang ramai khususnya para alumni UMS untuk bersama-sama melibatkan diri dalam perniagaan fertigasi.

“Saya bersedia memberikan khidmat nasihat dan bimbingan kepada sesiapa yang mahu mempelajari perniagaan ini,” ujarnya.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Pusat Alumni UMS di talian 017-6809371.

 

 

ISNIN, 19 MAC – Hampir 250 peserta menyertai Konvensyen Fiqh Borneo 5.0 yang buat julung kalinya diadakan di Dewan Resital, 鶹Ƶ (UMS) baru-baru ini.

Konvensyen Fiqh Borneo 5.0 merupakan kemuncak kepada Program Minggu Penghayatan Islam (MPI) bertemakan Islam is The Way of Life yang telah berlangsung selama seminggu.

Majlis perasmian Konvesyen anjuran Kelab Rakan Masjid (KRM) UMS itu telah disempurnakan Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UMS, Ustaz Mohammad Fazri Abdul Hamid.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata konvensyen itu antara lain bertujuan untuk mewujudkan persekitaran Islam di dalam kampus disamping memberi peluang kepada siswa-siswi untuk menonjolkan bakat mereka dalam pelbagai pertandingan seperti pertandingan pidato, seni khat, sukan bola jaring, futsal dan pertandingan menulis puisi.         

“Penganjuran program seumpama ini mampu untuk membantu meningkatkan ilmu pengetahuan para peserta serta membentuk mahasiswa seimbang dari segi intelek, sahsiah dan kerohanian,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi tahniah kepada jawatankuasa pelaksana dan semua yang terlibat dalam memastikan Konvensyen Fiqh Borneo 5.0 berlangsung dengan jayanya.

Antara panel penceramah pada konvensyen tersebut adalah Mudir Darul Hadis Sabah, Ustaz Mat Razali Mat Lazin dan Pensyarah  Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, UMS, Dr. Aliakhbar Gulasan.

Hadir sama pada majlis itu,  Pengarah Program, Muhammad Kamran Baharon dan Presiden Kelab Rakan Masjid UMS, Safwan Adam.

 

 

ISNIN, 19 MAC - Program FreeMarket@ UMS anjuran Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), 鶹Ƶ (UMS) dengan kerjasama Pusat Islam UMS (PIUMS) mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung baru-baru ini.

Menurut jurucakap PIUMS, Ainah Ramlan Angusa, dianggarkan lebih 400 pengunjung hadir pada program yang diadakan bertempat di ruang letak kereta Fakulti Kejuruteraan (FKJ).

“Terdapat lebih 20 gerai sumbangan telah dibuka melibatkan pelbagai barangan terpakai seperti pakaian wanita dan lelaki, barangan dapur, barangan elektrik selain makanan yang diberikan secara percuma kepada para pengunjung yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan UMS serta masyarakat sekitar.

“Selain dari memberi sumbangan kepada yang memerlukan, program ini bertujuan mengajak lebih ramai orang ramai menyertai program seumpama ini,” tambahnya.

Bertemakan ‘Senyum Memberi, Sopan Menerima’, Program FreeMarket@UMS itu bakal menjadi program tahunan FKI dan PIUMS.

JUMAAT, 16 MAC – Dengan tekad dan kesabaran mengusahakan perniagaan Aquafarm, alumni 鶹Ƶ (UMS), Azizul Julirin cemerlang apabila beliau terpilih sebagai penerima anugerah “MOSTI SOCIAL INNOVATION 2018”  daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini.

Kejayaan itu menyaksikan Azizul yang juga pelajar Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS dari tahun 2006 hingga 2010 turut menerima geran sebanyak RM200,000 dari MOSTI.

“Perniagaan Aquafarm ini merupakan ladang bercirikan Aquaponik iaitu gabungan sistem akuakultur dan hidroponik yang pertama di Sabah.

“Saya terinspirasi untuk memulakan perniagaan dengan konsep mesra alam ini selepas menimba pengalaman semasa menjalani latihan industri di Jepun,” katanya ketika ditemui media.

Azizul berkata, beliau menanam coral lettuce, pak-choi, green tomato, raspberry dan beberapa sayuran lain di dalam rumah hujan bersama-sama dengan ternakan ikan dan udang lobster.

Katanya, konsep ini menjadikan tanaman lebih subur tanpa menggunakan baja dan racun perosak.

“Kebaikan menggunakan kaedah Aquaponik ini adalah dalam jangka panjang kaedah ini jauh lebih jimat, tanaman bebas baja dan racun perosak serta cepat mengeluarkan hasil iaitu sekitar dua hingga tiga minggu.

“Aquaponik yang diusahakan ini berjaya menarik minat pelawat dalam dan luar negara antaranya dari Jepun, dan setiap pelawat diberi peluang untuk memilih sayur segar untuk dibawa balik,” jelasnya.

Tambah beliau, hasil tanaman yang diusahakan juga sudah mendapat permintaan di negara Brunei. 

Azizul turut menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan kepada sesiapa yang berminat untuk mempelajari perniagaan aquaponik tersebut.

“Saya ingin mengajak orang ramai khususnya para alumni UMS untuk mempelajari dan melibatkan diri dalam perniagaan ini sekali gus memperkembangkan lagi bidang perniagaan aquafarm ini bersama-sama,” ujarnya.

Sehubungan itu, mereka yang berminat boleh menghubungi Pusat Alumni UMS di talian 017-6809371.