鶹Ƶ

SELASA, 9 OKTOBER – Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), 鶹Ƶ (UMS), Chong Li Tsu meraih kecemerlangan pada 3rd Malaysian Nursing Council-International Nursing Conference 2018 apabila memenangi Anugerah Persembahan Oral Terbaik pada acara tersebut.

Bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau yang merupakan pensyarah Program Kejururawatan meyampaikan persembahan bertajuk ‘Smartphones Usage as Learning Aid among Nursing Students in 鶹Ƶ’.

Kejayaan itu menyaksikan beliau mengatasi 33 peserta dalam dan luar negara yang telah menyertai pertandingan dalam kategori tersebut.

Dalam pada itu, Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree ketika mengulas tentang kejayaan tersebut berkata, kemenangan ahli akademik FPSK khususnya di peringkat antarabangsa akan membantu menaikkan lagi imej UMS di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Diharapkan kejayaan sebegini akan terus dicapai secara konsisten oleh Pensyarah FPSK pada masa akan datang demi memartabatkan lagi nama UMS di peringkat dunia,” ujar beliau.

 

SELASA, 9 OKTOBER -  Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita 鶹Ƶ (KESUMBA) telah menerima kunjungan balas daripada Kelab Wanita UMT (Mutiara) ke 鶹Ƶ (UMS), baru-baru ini.

Rombongan Kelab Mutiara UMT yang diketuai oleh Pengerusinya, Prof. Madya Dr. Noraida Hj. Ali bersama 15 orang ahli Mutiara telah disambut mesra Timbalan Yang DiPertua KESUMBA, Dr. Aza Sherin Mohamad Yusuff bersama Ketua Biro dan ahli KESUMBA dalam satu majlis di Teratak KESUMBA UMS.

Terdahulu, Dr. Aza Sherin dalam ucapannya menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak kelab Mutiara UMT atas kesudian mengadakan lawatan balas ke Kelab KESUMBA UMS dan berharap dapat  mengeratkan lagi hubungan baik antara kedua-dua organisasi ini.

Sementara itu, Dr. Noraida turut menyampaikan rasa syukur dan amat terharu dengan sambutan dan persiapan yang istimewa disediakan pihak KESUMBA dan rombongan Mutiara amat bertuah dapat datang ke UMS yang indah serta dapat melawat ke Negeri Di Bawah Bayu ini.

Setiausaha Kehormat KESUMBA, Stella@Nurul Marini Gontol telah memberi taklimat tentang latar belakang KESUMBA termasuk aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2018.

Antara aktiviti yang turut diadakan adalah sesi Demonstrasi membuat keropok lekor oleh Ahli Kelab Mutiara kemudian lawatan ke Akuarium dan Hatceri di Institut Penyelidikan Marin Borneo UMS.

Kunjungan balas ini ekoran Lawatan Kelab KESUMBA ke UMT pada 7 hingga 10 April 2018 lalu.

Turut bersama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Kampus Antarabangsa Labuan (KAL), Hayati Salleh Baihaki, Ketua-ketua Biro dan ahli KESUMBA yang lain.

ISNIN, 8 OKTOBER - Kontinjen Polis Bantuan 鶹Ƶ (UMS) meneruskan kecemerlangan dalam pertandingan kawad sempena Istiadat Perbarisan Sambutan Perayaan Hari Jadi Rasmi Ke-65 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah apabila muncul naib johan  bagi kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi dalam acara yang diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Kontinjen Polis Bantuan UMS yang terdiri daripada seorang Pegawai Kanan, Insp/PB Rakam Singh a/l Karam Singh dan 35 anggota telah bersaing bersama-sama 69 kontinjen daripada pelbagai jabatan dan agensi yang melibatkan kira-kira 2500 orang.

Menurut Rakam Singh, kejayaan ini berjaya dilakar hasil persediaan awal yang dilakukan oleh kontinjen tersebut bagi menyertai pertandingan perbarisan ini.

“Pujian harus diberikan kepada semua anggota yang mempamerkan tahap komitmen serta disiplin yang tinggi bagi memastikan kontinjen ini meraih kejayaan sekali gus mengharumkan nama UMS,” katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pihak pengurusan UMS khususnya kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad serta Ketua Bahagian Keselamatan, Lt. Kol. Abdul Talib Arifin atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada pasukan mereka untuk mewakili UMS.

Kejayaan tersebut merupakan kali ketiga berturut-turut  dicapai oleh kontinjen Polis Bantuan UMS, sekali gus menyaksikan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM1,100.00, piala dan sijil yang disampaikan oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.

Johan bagi kategori acara tersebut telah dimenangi Jabatan Kastam Diraja Malaysia manakala tempat ketiga dimenangi Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

 

 

ISNIN, 8 OKTOBER – Kontinjen pasukan ABE yang terdiri daripada gabungan Bahagian Audit Dalam, Jabatan Bendahari dan Pusat Pelaburan dan Endowmen 鶹Ƶ (UMS) mengungguli acara tenis pada kejohanan Sukan Staf UMS 2018 apabila dinobatkan sebagai johan keseluruhan dalam acara tersebut.

Lebih manis, kejayaan tersebut dicatat dengan kecemerlangan kontinjen ABE membolot tempat pertama bagi kesemua kategori yang dipertandingkan iaitu menerusi perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu wanita, dan beregu campuran.

Pada acara akhir bagi perseorangan lelaki, pemain utama ABE, Mohd. Fadely Chin berjaya menewaskan pemain berpengalaman dari kontinjen Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Prof. Madya Dr. Muhammad Suhaimi Taat dalam perlawanan yang cukup sengit dengan keputusan pro-set 7-4.

Meneruskan kejayaan tersebut gandingan sensasi beregu campuran Onnin Osthen dan Donna Totu yang menewaskan kontinjen Black Panthers, Dr. Joko Sulistyo dan Natasa Hazelny dengan kiraan 8-4.

Rentak kecemerlangan kontinjen ABE diteruskan oleh beregu wanita yang menyaksikan gandingan pemain muda Jeniffer Leonard dan Zulin Jiwin terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya dengan kemenangan 8-4 menewaskan wakli kontijen Black Panthers, Roslinda Sanan dan Siti Norlizah Limat.

Gandingan Salleh Wahab dan Al-Hami Zurairi melengkapkan kemenangan bergaya kontinjen ABE dengan menundukkan pemain versatile Azmi Jumat dan Kasim Utudiki yang mewakili kontijen Mix FKJI, dengan kiraan 8-1.

Dalam pada itu, Pengurus Pasukan Tenis Kontinjen ABE, Salleh Wahab berpuas hati dengan kejayaan yang dilakarkan pasukan ABE dan menganggap kecemerlangan tersebut adalah hasil daripada kesungguhan dan semangat juang yang ditunjukkan para pemain sepanjang kejohanan itu diadakan.

“Walaupun kebanyakan kami diwakili oleh  pemain muda yang masih mentah dan kurang berpengalaman, tetapi dengan komitmen tinggi yang berterusan, sikap tidak mudah mengalah, dan semangat berpasukan dan setiakawan yang ditunjukkan telah mendorong kami untuk memberikan yang terbaik untuk kontijen ABE.

“Sebenarnya kalah ataupun menang itu bukanlah menjadi prospek utama kami, tetapi apa yang lebih penting adalah peluang untuk meningkatkan indeks keceriaan dan interaksi kekeluargaan dalam kalangan warga UMS menerusi aktiviti sukan yang diadakan,” katanya.

Pengerusi penganjur acara tenis Sukan Staf UMS 2018, Davis Juadis turut memuji semangat kesukanan tinggi yang ditunjukkan seramai 47 orang atlet yang bertanding dalam kejohanan tersebut.

“Bagi pihak penganjur, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para peserta yang telah menunjukkan komitmen dan semangat kesukanan yang terpuji sepanjang kejohanan ini diadakan” ujar beliau.

Selain acara tenis, beberapa acara sukan yang lain juga dipertandingkan pada Sukan Staf UMS 2018 yang merupakan edisi ke-17, antaranya sukan futsal, bola tampar, sepak takraw, dan ping-pong serta acara larian dengan 17 kontinjen yang dibentuk melalui gabungan antara jabatan, fakulti, pusat, institut, dan unit yang terdapat di UMS terlibat menjayakan kejohanan yang berlangsung sepanjang 20 Julai sehingga 5 Oktober itu.    

JUMAAT, 5 OKTOBER - 鶹Ƶ (UMS) menjadi antara enam universiti yang menerima watikah status autonomi daripada Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik dalam satu majlis yang berlangsung kelmarin.

Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) UMS dalam satu kenyataan menjelaskan, penerimaan watikah tersebut menjadikan UMS sebaris dengan semua 20 universiti awam (UA) di negara ini yang kini berstatus autonomi.

“Penilaian UA untuk tujuan pemberian status autonomi tersebut telah dibuat secara berperingkat sejak tahun 2013, dengan penilaian merujuk kepada empat bidang iaitu tadbir urus institusi atau governan, tadbir urus akademik, kewangan, dan pengurusan sumber manusia. 

“Melalui status autonomi ini, penurunan membuat keputusan adalah daripada Agensi Pusat kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dengan tujuan membolehkan UMS bergerak dengan berkesan bagi mencapai kecemerlangan dan memperkasa Universiti ke peringkat dunia,” jelas kenyataan tersebut. 

Status autonomi tersebut turut membolehkan UMS lebih fleksibel dalam membuat keputusan bagi menentukan hala tuju universiti, dengan pengurusan UMS boleh membuat keputusan di peringkat universiti dalam melaksanakan perkara-perkara tertentu yang telah ditetapkan atau yang diberi penurunan kuasa oleh agensi pusat berkaitan empat bidang yang disenaraikan. 

“Namun demikian, meskipun pengurusan universiti mempunyai kuasa untuk mengurus sumber tanpa perlu merujuk kepada agensi pusat, universiti perlu mematuhi prinsip asas kerana autonomi UA bukan bersifat mutlak dan masih tertakluk kepada peraturan, strategi dan dasar kerajaan serta kementerian.

“Sejajar dengan status autonomi ini, peranan LPU UMS selaku pembuat keputusan akan terus diperkasakan selaras dengan tanggungjawab yang diberikan bagi memastikan sumber universiti ditadbir secara integriti dan akauntabiliti. 

“Autonomi ini ialah satu tanggungjawab dan amanah yang perlu warga UMS pikul dan tunaikan bersama, dan semua pihak dituntut untuk berusaha keras bagi memastikan UMS sentiasa memenuhi kriteria yang ditetapkan,” demikian menurut kenyataan daripada PPSKK UMS.