鶹Ƶ

鶹Ƶ (UMS) telah diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melaksanakan program Kampung Angkat MADANI di Kg. Rampayan Laut, Sepanggar sebagai inisiatif untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti khususnya penduduk kampung tersebut.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, menerusi program tersebut, sebanyak lima projek pembangunan fizikal utama bakal dilaksanakan di bawah penyelarasan Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) demi manfaat seluruh warga kampung.

“Antara projek yang akan dilaksanakan adalah pembinaan Pintu Gerbang di kampung ini yang akan menjadi simbol kebanggaan dan identiti baharu serta menjadi mercu tanda yang melambangkan aspirasi dan semangat bahari komuniti.

“Selain itu, turut akan dibina sebuah Dewan Terbuka, iaitu ruang serbaguna yang bakal menjadi nadi aktiviti komuniti untuk berkumpul, bermesyuarat, merancang dan menyambut pelbagai majlis penting dalam suasana yang lebih selesa dan tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Program Kampung Angkat MADANI di kampung tersebut.

Mengulas lanjut, Kasim memaklumkan pembinaan Pusat Komuniti turut dilaksanakan yang akan berfungsi sebagai satu ruang inklusif untuk memperkasa ilmu, kemahiran dan potensi anak-anak Kg. Rampayan Laut.

“Pemasangan Lampu Solar juga akan dilaksanakan yang mana usaha ini bukan sahaja menyelesaikan keperluan pencahayaan waktu malam, malah menjadikan kampung ini lebih selamat dan mesra alam menerusi teknologi tenaga lestari.

“Projek kelima adalah pembinaan Jeti Nelayan, iaitu kemudahan asas yang amat penting bagi menyokong aktiviti nelayan setempat, khususnya dalam memudahkan pergerakan keluar masuk bot, pendaratan hasil laut, dan urusan harian komuniti nelayan,” katanya.

Kasim menambah, pelaksanaan keseluruhan projek tersebut telah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan KPT melibatkan peruntukan sehingga RM1 juta.

“Ini merupakan pelaburan yang cukup besar, dan universiti amat bertekad untuk memastikan setiap sen yang dibelanjakan akan memberi pulangan yang setimpal kepada masyarakat dalam bentuk infrastruktur yang berkualiti, program yang bermanfaat, dan pembangunan kapasiti yang berterusan.

“Program sebegini mampu memastikan bahawa tiada kampung yang ketinggalan dalam arus pembangunan nasional, khususnya Kg. Rampayan Laut kerana lokasinya yang strategik iaitu berdekatan dengan bandar serta mempunyai pelbagai potensi ekonomi untuk dibangunkan.

“Justeru itu, saya menyeru agar seluruh penduduk kampung sentiasa memberikan sokongan, menjaga segala kemudahan serta memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan, khususnya dalam program-program pemindahan ilmu yang akan dilaksanakan nanti,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Kasim turut menyempurnakan simbolik pecah tanah pembinaan Dewan Terbuka di salah satu tanah lapang milik kerajaan di kampung tersebut.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Bendahari UMS, Datuk Badrul Hisham Ismail; Ketua Pustakawan UMS, Tuan Haji Zawawi Tiyunin; Penasihat Undang-Undang UMS, Ag. Suhaizam Bungso; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. ChM. Ts. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd. Nasri; Pengarah PKLM, Ts. Dr. Ag. Sufiyan Abd Hamid; Ketua Kampung Kg. Rampayan Laut, Amberen Aliamat; dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Rampayan Laut, Amlan Jais.

鶹Ƶ (UMS) menerusi Institut Kajian Orang Asli Borneo (BorIIS) komited untuk meneroka peluang pasaran baharu untuk produk pelancongan biobudaya yang berkualiti tinggi di Tawau, Sabah.

Usaha tersebut bakal direalisasikan menerusi kerjasama membangunkan semula kawasan yang terbiar di Tawau dengan menggunakan “Model Biocultural Tourism dan Biophilic Design” dengan penglibatan syarikat tempatan, Sinar Majutera Sdn Bhd.

Pengarah BoRIIS, Prof. Madya Dr. Normah Abdul Latip memaklumkan, hasil penyelidikan yang bakal dijalankan berpotensi untuk dikomersialkan, terutamanya apabila pembangunan semula kawasan kajian menjadi satu kawasan “glamping site for tourism" yang baru di Tawau.

“Projek ini bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan melalui peningkatan produktiviti dan kualiti produk biobudaya pelancongan yang baru.

“Usaha ini turut berpotensi menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu khususnya di kawasan luar bandar Sabah.

“Ini sekali gus memberi manfaat kepada komuniti tempatan melalui peningkatan pendapatan dan kemahiran melalui kewujudan produk pelancongan baharu di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu taklimat ringkas berkaitan usaha kerjasama antara UMS dan syarikat tempatan tersebut dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMS bersama industri tempatan, baru-baru ini.

Normah turut menjelaskan, kerjasama bersama Sinar Majutera Sdn Bhd yang dimeterai menerusi MoA itu adalah projek penyelidikan yang dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah Program Industry Matching Grant (Geran IMaP) bagi tujuan kajian bertajuk “Ranggu Village: Pembangunan dan Penjenamaan Semula Melalui Pelancongan Biobudaya dan Rekabentuk Biofilik”.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam ucapannya berkata, pemeteraian MoA itu akan meningkatkan jalinan kerjasama strategik dalam penyelidikan antara UMS dan rakan industri.

“Perkongsian yang diwujudkan melalui perjanjian ini dijangka turut meningkatkan hubungan strategik sedia ada khususnya penyelidikan yang memfokuskan kepada pembangunan masyarakat luar bandar.

“Selain itu, hubungan sedemikian akan menawarkan penyelidik dan pelajar peluang rangkaian yang tidak ternilai dan pandangan tentang trend dan kemajuan kontemporari dalam bidang pembangunan masyarakat luar bandar, dengan tumpuan khusus kepada pelancongan biobudaya,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Kasim mewakili UMS menandatangani dokumen MoA, manakala Sinar Majutera Sdn Bhd. diwakili Pengarah Urusan, Dato’ Sri Nasir Tun Sakaran.

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Majutera Sdn Bhd., Ahmad Syuaib Dato’ Sri Nasir.

鶹Ƶ (UMS) melalui Fakulti Pertanian Lestari telah memeterai satu perjanjian kerjasama bersama industri tempatan bagi penyelidikan berkaitan pembangunan penternakan lebah kelulut lestari untuk agripelancongan.

Perjanjian kerjasama tersebut dimeterai bersama VKL Enterprise dalam satu majlis menandatangani Menorandum Perjanjian (MoA) antara kedua-dua pihak di UMS baru-baru ini.

UMS diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menandatangani dokumen MoA tersebut, manakala VLK Enterprise diwakili Pengarah Syarikat, Sharizan Abdul Rahim.

Dekan Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS, Prof. Dr. Abdul Hamid Ahmad dalam satu penerangan ringkas menjelaskan, kerjasama menerusi MoA tersebut merupakan projek geran padanan industri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertajuk ‘Sustainable kelulut farming and premium honey branding with the ‘Apiary App’, satu inisiatif yang turut menyentuh usaha penyelidikan penghasilan produk madu tempatan berkualiti yang diyakini oleh para pengguna tempatan dan luar negara.

“Projek yang melibatkan tujuh ahli penyelidik ini bakal melibatkan penyaluran ilmu dan kepakaran pasukan penyelidik tentang ternakan lebah.

“Selain itu, bantuan pakar dari UMS juga akan membantu pihak syarikat menganalisis kualiti madu dan pembangunan aplikasi penggredan madu yang kini sedang dibangunkan oleh Prof Madya Dr. Farrah Wong dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ),” katanya.

Dalam pada itu, Sharizan ketika berucap pada majlis tersebut memaklumkan, pembangunan ternakan lebah kelulut lestari akan dilaksanakan di kawasan seluas 0.25 ekar yang terletak di Kg. Silou, Jalan Matan Kituntul, Ranau yang dijangka akan menjadi tarikan baharu aktiviti agripelancongan.

“Kerjasama antara UMS dan VKL Enterprise juga akan membantu pihak syarikat menghasilkan madu kelulut tempatan yang unik kepada kawasan tanah tinggi”

“Seterusnya, projek ini juga mampu memberi manfaat kepada pihak industri dan penduduk Daerah Ranau yang merupakan kawasan tumpuan para pelancong tempatan dan antarabangsa,” ujar beliau.

Selain Abdul Hamid dan Farrah Wong, projek yang diketuai oleh Prof Madya Dr. Suzan Benedick itu turut melibatkan ahli akademik dan pelajar pascasiswazah dari FPL, antaranya Dr. Salumiah Mijin, Dr. DK. Norhajijah AK. Mohiddin, Bellericter Binjamin dan Mark Wong Kui Liang.

鶹Ƶ (UMS) melalui Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) telah menjalin satu kerjasama strategik bersama Sekolah Menengah Kota Kinabalu (KKHS) bagi memacu generasi muda melalui pendidikan yang menumpukan kemajuan terhadap bidang Kecerdasan Buatan (AI), teknologi digital, dan teknologi lestari.

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi satu majlis menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara kedua-dua pihak di FKI UMS baru-baru ini.

LoI ditandatangani Dekan FKI, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi mewakili UMS, manakala KKHS diwakili Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah, Datuk Ben Lim Kiat Kong.

Menerusi pemeteraian LoI tersebut kedua-dua pihak bakal bekerjasama ke arah memeterai satu Memorandum Perjanjian (MoA) secara rasmi yang bertujuan mengukuhkan jalinan jangka panjang dalam latihan akademik, penyelidikan, dan pembangunan komuniti sebagai memacu visi bersama untuk melahirkan bakat digital serta menggerakkan inovasi lestari.

Kerjasama itu akan memfokuskan kepada lima bidang strategik bagi melengkapkan guru dan pelajar dengan kemahiran dan nilai-nilai sebagai persediaan kepada cabaran masa depan.

Bidang pertama adalah berkaitan Pendidikan dan Latihan AI, dengan UMS akan menjalankan siri bengkel, kursus, dan latihan berkaitan digital dan AI kepada guru dan pelajar KKHS, merangkumi pengetahuan asas dalam AI, pembelajaran mesin, dan sains data.

Selain itu, kolaborasi tersebut akan memperkukuh Projek Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) melalui aktiviti penyelidikan bersama yang melibatkan tenaga pengajar dan pelajar dari kedua-dua institusi, dengan projek tersebut bakal meneroka aplikasi sebenar AI dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, pelancongan, pertanian, kesihatan, sukan dan pemuliharaan alam sekitar.

Satu Pertandingan AI dan Hackathon akan turut dianjurkan bersama untuk menggalakkan kreativiti, kerja berpasukan dan inovasi, dengan harapan melalui cabaran berasaskan digital dan AI yang interaktif, pelajar akan membina kemahiran menyelesaikan masalah secara praktikal dalam persekitaran kolaboratif yang dinamik.

Bidang strategik keempat menyentuh usaha memperjuangkan AI untuk Pembangunan Komuniti, melalui projek digital dan berasaskan AI yang direka untuk mempertingkatkan kehidupan masyarakat setempat, dengan fokus akan diberikan kepada bidang seperti bandar pintar, pemantauan alam sekitar, dan penambahbaikan perkhidmatan awam termasuk pendidikan, pelancongan, pertanian, kesihatan dan pengangkutan.

Akhir sekali, kedua-dua institusi akan mempromosikan Kesedaran dan Etika AI dalam menekankan inovasi beretika serta impak sosial teknologi melalui penganjuran seminar dan sesi perbincangan yang akan dikendalikan oleh pakar UMS.

Terdahulu, Ben Lim dalam ucapannya menekankan keperluan penting untuk mempersiapkan pendidikan bagi masa depan dalam era kemajuan teknologi yang pesat dan cabaran global.

“Kerjasama ini adalah satu inisiatif yang berpandangan jauh ke hadapan dengan membekalkan kemahiran digital kritikal serta pemikiran inovatif dan bertanggungjawab kepada guru dan pelajar.

“Pendidikan harus berevolusi seiring dengan keperluan abad ke-21, di mana AI, automasi, dan transformasi digital semakin mempengaruhi setiap industri dan aspek kehidupan.

“Model pembelajaran tradisional perlu dilengkapi dengan pembelajaran digital terkini, pengalaman praktikal, serta kesedaran etika bagi melahirkan individu yang tangkas dan celik teknologi serta bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Mohd. Hanafi dalam ucapannya juga menaruh keyakinan tinggi terhadap kerjasama tersebut yang dilihat bukan sekadar satu perjanjian akademik, tetapi merupakan pelaburan strategik dalam masa depan pendidikan dan masyarakat.

“Kerjasama ini mencerminkan visi bersama kita untuk menyediakan generasi akan datang bagi menghadapi landskap digital yang sentiasa berubah.

“Dengan melabur dalam pendidikan AI dan inovasi beretika di peringkat sekolah menengah, kita bukan sahaja membentuk saintis dan jurutera masa depan, tetapi juga warganegara global yang bertanggungjawab.

“Sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju serantau dalam AI dan transformasi digital, pendedahan awal kepada konsep AI, pembelajaran secara praktikal dan rangka kerja etika akan memperkasakan pelajar untuk menyumbang secara bermakna dalam dunia yang semakin didorong oleh sistem pintar dan keputusan berasaskan data,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan terhadap kerjasama tersebut untuk menjadi model kepada hubungan masa depan antara universiti dan sekolah menengah, serta menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat, penyelidikan rentas bidang, dan impak berasaskan komuniti.

Hadir sama pada majlis tersebut Naib Pengerusi Lembaga Pengarah KKHS, Tan Sri Datuk Lim Pau Chang dan Penasihat KKHS, Datuk Hiew Thien Choi.

Sekumpulan pelajar Program Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) 鶹Ƶ (UMS) berjaya mempersembahkan teater bertajuk ‘Presenting Priestley’ di hadapan kira-kira 100 penonton, baru-baru ini.

Menurut Ketua Program Pendidikan TESL, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS, Dr. Megawati Soekarno, program itu antara lain bertujuan memperkenal karya klasik J.B Priestley (1894-1984), seorang penulis dan pengulas sosial terkenal dari United Kingdom.

Katanya ia juga bagi meningkatkan pemahaman dan penguasaan dalam bidang kesusteraan serta kemahiran Bahasa Inggeris.

“Aktiviti teater sebegini adalah penting bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam kemahiran Bahasa Inggeris dan mengukuhkan pemahaman berkaitan bidang kesusasteraan Inggeris.

“Karya J.B. Priestley kurang dikenali dalam masyarakat khususnya para pelajar di UMS. Oleh itu, persembahan teater ini membuka peluang kepada orang ramai untuk mengenali lebih mendalam karya menarik J.B. Priestley,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program teater tersebut yang berlangsung di Mini Auditorium FPPS UMS, baru-baru ini.

Tambah Megawati, sebanyak tiga karya terkenal Priestley dipersembahkan iaitu Time and The Conways, When We Are Married dan An Inspector Calls.

Hadir sama, Dekan FPPS, Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh; Pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, John Mark Storey, Presiden Kelab TESL UMS, Joshua Li dan Majlis Perwakilan Pelajar FPPS, Fatin Nuraqilah Omri.