鶹Ƶ

Fakulti Sains dan Teknologi (FST),  鶹Ƶ (UMS) telah melaksanakan Program Professor@school Fasa-2, di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Petagas, baru-baru ini.

Pengarah U-Science UMS, En. Zawawi Tiyunin berkata, program itu antara lain bertujuan sebagai inisiatif memperkukuh pemindahan ilmu sains kepada pelajar sekolah menengah.

“Selain itu program ini juga memberi pendedahan awal kepada konsep asas sains dan teknologi melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman secara hands-on di dalam makmal.

“Di samping itu, ia juga bagi membantu merangsang minat pelajar terhadap bidang STEM, serta menyemai kesedaran tentang kepentingan ilmu sains dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan.

Tambah Zawawi, penganjuran Professor@School itu juga mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperkukuh ekosistem pendidikan STEM, memperluas jaringan kerjasama bersama komuniti sekolah, serta membina kesedaran awal terhadap sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, Pengetua SMK Petagas Safri Jeffri berkata seramai 68 orang pelajar menengah atas SMK Petagas terlibat dalam program tersebut.

“SMK Petagas adalah merupakan antara sekolah yang baharu, oleh itu kita memerlukan lebih banyak program-program STEM seperto Professor@School ini.

"Alhamdulillah, dengan adanya program ini dapatlah kita kongsikan aktiviti ini juga kepada para guru dan pelajar," katanya ketika merasmikan program tersebut di SMK Petagas.

Antara pengisian program adalah ceramah bertajuk “Sains dalam Kehidupan” yang disampaikan oleh Pensyarah bioteknologi dari FST UMS, Profesor Dr. Zaleha A. Aziz serta aktiviti makmal seperti Ekstraksi DNA Pisang, Padankan Nukleotida, dan Perjalanan Biji Benih.

Hadir sama, barisan ahli jawatankuasa pelajar daripada Program Bioteknologi UMS diketuai oleh Humaira Najehah, dan disokong oleh pensyarah Bioteknologi, pembantu makmal, serta guru-guru SMK Petagas.

鶹Ƶ (UMS) telah diberi kepercayaan untuk menjalinkan penyelidikan bersama Celler Therapeutics Sdn Bhd bagi kajian terhadap terapi sel yang mampu membantu rawatan dan penyembuhan bagi penyakit Diabetes Jenis 2 (Type-2 Diabetes) dan Infarksi Miokardium atau serangan jantung.

Kerjasama tersebut dimeterai melalui Perjanjian Penyelidikan Kontrak (CRA) yang ditandatangani antara kedua-dua pihak dalam satu majlis di Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UMS.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor mewakili UMS menandatangani dokumen perjanjian tersebut, manakala Celler Therapeutics diwakili pengarahnya, Sasha Omar Firdaus Aamir Nordin.

Melalui kerjasama tersebut, Celler Therapeutics, sebuah syarikat biofarmaseutikal terkemuka di Asia Tenggara, akan mereka bentuk kajian, membekalkan produk terapi sel gred klinikal, serta sokongan teknikal dan saintifik, manakala UMS akan menjalankan kajian praklinikal haiwan yang diperlukan.

Kerjasama itu merupakan langkah penting pertama dalam kajian serta pembangunan potensi terapi regeneratif inovatif, termasuk produk sel stem mesenkimal manusia (Human Mesenchymal Stem Cell - MSC).

Perkongsian antara industri dan akademia ini turut membuka ruang kepada inovasi dalam aplikasi terapi sel dan gen.

Dalam pada itu, Sasha Omar dalam ucapannya berkata, Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kadar Diabetes tertinggi di Asia dengan kira-kira satu daripada lima rakyat Malaysia menghidap penyakit tersebut.

“Ubat-ubatan konvensional yang diberikan kepada pesakit Diabetes bertujuan untuk mengawal paras gula dalam darah, memperlahankan kemajuan penyakit dan mengurangkan risiko komplikasi, namun tidak menyembuhkan penyakit dan Diabetes Jenis 2 biasanya bertambah teruk dari masa ke masa.

“Walaupun masih dalam peringkat awal, sebahagian daripada penyelidikan MSC yang sedang dijalankan oleh Celler Therapeutics memfokuskan kepada pemulihan dan penjanaan semula sel penghasil insulin dalam pankreas.

“Dengan memulihkan fungsi pankreas, berkemungkinan besar ini dapat membalikkan atau mengurangkan kemajuan penyakit Diabetes,” katanya.

Bagi fokus kedua dalam kerjasama tersebut, beliau berharap satu lagi MSC milik Celler Therapeutics yang dibangunkan untuk menjana semula tisu jantung boleh membantu pesakit Infarksi Miokardium.

“Kejadian ini berlaku apabila aliran darah ke bahagian jantung terhalang, selalunya disebabkan oleh pembekuan darah, dan ini menghalang oksigen sampai ke otot jantung, sekali gus menyebabkan kawasan terlibat rosak atau mati.

“Jika kerosakan ini dapat dipulihkan, fungsi jantung boleh dikembalikan dan kualiti hidup pesakit boleh ditingkatkan,” katanya.

Beliau menambah, kajian praklinikal haiwan amat penting dalam merapatkan jurang antara penyelidikan makmal dan ujian klinikal manusia kerana mampu membantu memastikan terapi baharu adalah sah secara saintifik, selamat, dan diuji secara beretika sebelum diberikan kepada pesakit dalam kajian klinikal.

“Kami memiliki portfolio calon terapi sel yang luas, justeru bekerjasama dengan institusi yang dipercayai seperti UMS membantu kami menambah baik dan memajukan rangka kerja pembangunan terapi kami,” katanya.

Sementara itu, Kasim dalam ucapannya berkata kerjasama tersebut merupakan satu perkongsian berimpak tinggi antara universiti dan pihak industri.

“Kolaborasi ini dijangka dapat memberikan pemahaman mendalam dalam farmakologi berasaskan sel, satu bidang kepakaran yang jarang diceburi bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global, yang seterusnya akan membantu meningkatkan daya saing terhadap program penyelidikan kami.

“UMS juga turut berharap akan kerjasama ini dapat dikembangkan bersama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang perubatan dan bioteknologi,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Eksekutif Kumpulan Permai Polyclinic Group, Datuk Margaret Lim dan Dr. Nicholas Jeremiah; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan FST, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau; Ketua Projek dari FST UMS, Dr. Suhaini Sudi dan delegasi dari Celler Therapeutics, Pratip Kumar dan Dr. Karthik Chandran.

鶹Ƶ (UMS) terus memperkasa bidang akademik menerusi Bengkel Pendidikan Kewarganegaraan Global (GCED), anjuran Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar, Fakulti Pendidikan dan Sains Sukan (FPPS) UMS, baru-baru ini.

Dekan FPPS UMS, Prof. Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh berkata, program anjuran bersama Universiti Sains Malaysia (USM) itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada pensyarah UMS tentang konsep GCED dalam bidang pendidikan.

“Selain itu, ia juga membantu peserta memahami elemen-elemen utama GCED serta bagaimana untuk mengintegrasikannya ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

“Di samping itu, ia juga bagi memperkukuh jaringan kerjasama akademik antara UMS dan GCC-Malaysia@USM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bengkel GCED di UMS.

Sementara itu menurut Ketua Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar FPPS UMS Dr. Connie Shin @ Cassy Ompok, seramai 30 pensyarah telah menyertai bengkel tersebut yang turut melibatkan fasilitator dari GCC-Malaysia@USM.

“Bengkel ini bukan sahaja memperkasa pemahaman GCED, tetapi juga membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pelaksanaan pelan tindakan di peringkat fakulti.

“Diharapkan bengkel ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pengajaran berteraskan nilai kewarganegaraan global di peringkat UMS,” katanya.

Hadir sama, Pengarah GCC-Malaysia@USM, Profesor Madya Kehormat Dr. Rohizani Yaakub, Penyelaras GCED, Norlida Ahmad; Fasilitator Aktiviti, Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah dan Prof. Madya Dr. Aziah Ismail.

Pelajar Sains Sukan dari Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) 鶹Ƶ (UMS) menerima suntikan inspirasi istimewa apabila berpeluang bertemu dengan jurulatih pasukan Ragbi Wanita New Zealand (Black Ferns Sevens), Edwin Cocker yang berkunjung ke kampus bagi sesi perkongsian ilmu dan pengalaman.

Edwin yang berpengalaman luas sebagai pemain turut cemerlang mempunyai rekod cemerlang sebagai jurulatih apabila mengemudi pasukan ragbi wanita New Zealand meraih pingat emas di Olimpik Paris 2024.

Kehadiran beliau disambut oleh Dekan FPPS, Prof. Madya Dr Soon A/L Bikar Singh yang kemudiannya memperkenalkan kepakaran pensyarah Sains Sukan serta kemudahan akademik fakulti kepada delegasi yang bersama Edwin.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada Program Pemindahan Ilmu, diterajui oleh pensyarah kursus Fisiologi Sukan, Zuliana Bacho, yang turut menjadi penyelaras utama program tersebut.

Menurut Zuliana, pelaksanaan program sedemikian mampu memberikan impak besar kepada pelajar serta warga fakulti.

“Kehadiran jurulatih kelas dunia seperti Edwin bukan sekadar memberi inspirasi, tetapi mengukuhkan kefahaman pelajar tentang bagaimana ilmu yang mereka pelajari diterjemahkan dalam arena sebenar sukan berprestasi tinggi.

“Menerusi program ini, Edwin telah mengadakan sesi dialog interaktif bersama pensyarah dan pelajar UMS yang menyentuh pelbagai topik termasuk strategi latihan, pemulihan, serta pengurusan prestasi atlet berasaskan pendekatan antarabangsa.

“Beliau bukan sahaja memberikan maklum balas profesional, malah turut menyampaikan mesej motivasi yang menekankan pentingnya aplikasi sains sukan dalam membentuk atlet bertaraf dunia,” katanya.

Zuliana menambah, penyertaan wakil Sabah Rugby Union (SRU), Terence Baduk dalam sesi lawatan itu turut menjadi simbol hubungan strategik antara institusi pengajian tinggi dan badan sukan negeri dalam usaha membangunkan sukan ragbi secara bersepadu.

“Ini sekali gus ini mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara UMS dan SRU dalam usaha memperkasa pembangunan sukan ragbi melalui pendidikan, penyelidikan dan jalinan antarabangsa,” ujar beliau.

Selain sesi dialog, turut diadakan sesi pembentangan dan demonstrasi oleh pelajar Tahun Akhir Kursus Fisiologi Sukan Gunaan, yang mempersembahkan pelbagai jenis ujian kecergasan dan latihan spesifik untuk sukan ragbi.

Program tersebut diakhiri dengan sesi tinjauan ke Makmal Rehabilitasi dan Prestasi Manusia serta Gimnasium FPPS yang berfungsi sebagai pusat pengajaran, penyelidikan dan inovasi dalam bidang sains sukan.

Penganjuran Program “BIOSPARK 2025: Igniting Your Scientific Mind” di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau baru-baru ini menjadi inisiatif terkini 鶹Ƶ (UMS) dalam memperkasakan lagi pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Prof. Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah, program anjuran FST UMS dengan kerjasama U-Science UMS dan Persatuan Himpunan Ilmuwan UMS (HiUMS) itu antara lain bertujuan untuk memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang STEM, khususnya bioteknologi.

“Selain itu, program ini memberi peluang kepada pelajar universiti untuk mengembangkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, dan kerjasama melalui pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti.

“Ini sekali gus memperkukuhkan hubungan strategik antara universiti dan masyarakat melalui pelaksanaan inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM),” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program BIOSPARK 2025, Farrah Ayu Izzati Darwis memberitahu, seramai 190 pelajar Tingkatan 1 dan 2 MRSM Ranau termasuk lebih dari separuh bilangan pelajar daripada kalangan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah (B40) turut diberi peluang mengikuti program secara langsung, selain 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Timbua yang hadir pada sesi pameran berkaitan sains.

“Seramai 47 fasilitator yang terdiri daripada pelajar bioteknologi UMS memainkan peranan penting dalam mengendalikan pelbagai aktiviti seperti senamrobik, ceramah 3S: STEM, SPEAKER SERIES U-Science, pameran dan pertandingan.

“Justeru, pihak kami amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh semua pihak termasuk MRSM Ranau selaku tuan rumah BIOSPARK 2025 dan SMK Timbua yang sudi hadir dalam menjayakan program ini.

“Keberkesanan program ini terbukti apabila wujudnya interaksi dan diskusi yang aktif antara pelajar sekolah dan fasilitator bertepatan dengan objektif program ini diadakan,” katanya.

Beliau turut berharap agar program tersebut dapat diteruskan dan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain pada masa akan datang sebagai usaha berterusan memupuk budaya sains dan inovasi dalam kalangan generasi muda.

Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Dekan FST, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau, dan turut dihadiri Timbalan Pengetua Kecemerlangan Akademik MRSM Ranau, Diana Theresa Otigil.