鶹Ƶ

Pelaksanaan Program Latihan Kebakaran di Kolej Kediaman Lestari, 鶹Ƶ (UMS) Kampus Sandakan baru-baru ini mampu memberi kesedaran dan kefahaman siswa-siswi tentang keselamatan kebakaran.

Menurut Pengetua Kolej Kediaman Lestari, Borhan Abdul Haya @ Yahya, program anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) kolej kediaman itu dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan kecekapan pelajar dalam menghadapi situasi kecemasan secara berhemah dan berdisiplin.

“Program ini memberi pendedahan awal kepada peserta tentang langkah keselamatan dan tatacara menyelamatkan diri semasa kebakaran, selain menjadi platform pembelajaran bagi JAKMAS menimba ilmu dalam merancang program berimpak tinggi.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memupuk semangat bekerjasama dan mendorong pelajar untuk lebih peka terhadap aspek keselamatan diri serta komuniti sekeliling,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kolaborasi antara komuniti universiti dan pihak bomba mampu memberikan manfaat jangka panjang dalam membina budaya keselamatan kampus yang mapan.

“Program ini turut membantu mengukuhkan kefahaman pelajar mengenai sistem tindak balas kecemasan yang betul dan tersusun.

“Dengan kerjasama yang berterusan, kita dapat memastikan kesinambungan usaha ini demi kemajuan dan kesejahteraan bersama,” ujar beliau.

Program Latihan Kebakaran tersebut melibatkan penyertaan pelajar-pelajar UMS Sandakan dan merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan JAKMAS dan JKKP Kolej Kediaman Lestari dalam memperkukuh kesedaran keselamatan dalam kalangan warga kolej.

Program tersebut turut mendapat sokongan kerjasama daripada Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Sandakan, Pusat Rawatan Warga (PRW) UMS, Bahagian Keselamatan UMS Sandakan, dan Syarikat Stabil Primajaya yang merupakan syarikat pembekal yang membekalkan peralatan latihan dan mengaktifkan sistem penggera kebakaran.

Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), 鶹Ƶ (UMS) telah menganjurkan ‘NutriFest 2025: Where Nutrition Meets Entrepreneurship!’ sebagai satu bentuk pentaksiran alternatif bagi kursus Pengurusan Penjagaan Kesihatan di fakulti itu.

Pensyarah penyelaras kursus, Dr. Khor Ban Hock berkata program itu antara lain bertujuan melatih pelajar tahun tiga Program Pemakanan untuk menggabungkan pengetahuan pemakanan dengan kemahiran keusahawanan melalui penghasilan dan penjualan produk makanan yang sihat dan inovatif.

“Selain itu, pelajar turut diberi peluang untuk mengaplikasikan teori dalam situasi sebenar dengan merancang pembangunan produk, analisis nilai pemakanan, strategi pemasaran dan jualan, serta interaksi bersama pelanggan.

“Di samping itu, ia juga bagi membentuk pelajar menjadi ahli pemakanan yang berjiwa usahawan selaras dengan keperluan industri masa kini,” katanya.

Sementara itu menurut Ketua Program Pemakanan, Dr. Noor Atiqah Aizan Abdul Kadir, inisiatif penganjuran NutriFest 2025 membuktikan bahawa ahli pemakanan bukan sekadar memberi nasihat diet, tetapi juga mampu mencipta, menghasilkan dan memasarkan makanan sihat yang lazat kepada komuniti.

“Pelajar bukan hanya menyiapkan tugasan, tetapi menjalankan projek sebenar yang memberi impak kepada komuniti. Ini melatih mereka menjadi profesional pemakanan yang mampu menyumbang dalam pelbagai sektor termasuk keusahawanan,” katanya.

Antara produk inovatif yang dihasilkan oleh pelajar termasuk biskut oat rendah gula yang sesuai untuk individu yang ingin mengawal pengambilan gula serta Nutribowl, iaitu hidangan lengkap berkonsepkan Pinggan Sihat Malaysia yang direka untuk mendidik pengguna tentang pengambilan makanan seimbang.

Program ini turut mendapat sokongan rakan industri iaitu Ahli Dietetik Alpro Pharmacy, Zeesha Gloria Rayner Gusimi sebagai juri industri yang memberi maklum balas tentang potensi pasaran produk.

Turut hadir sebagai juri ialah Pensyarah Program Perkhidmatan Makanan FSMP UMS, DK Rafidzah AK Mohiddin yang menilai kualiti penyediaan makanan dan aspek pengurusan perkhidmatan oleh pelajar.

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) 鶹Ƶ (UMS) mencungkil bakat muda dalam industri hospitaliti melalui penganjuran pertandingan dan pameran kemahiran berkaitan hospitaliti.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata penganjuran tersebut penting bagi meneroka bakat para pelajar daripada institusi pendidikan awam dan swasta di sekitar Kota Kinabalu.

Katanya program tersebut memainkan peranan penting dalam mempromosikan UMS sebagai institusi pendidikan unggul yang komited dalam pembangunan insan dan pengukuhan bidang hospitaliti sejajar dengan slogan baharu ‘UMS:The Brain of Borneo’.

“Saya berharap agar program ini dapat mengekalkan momentum dalam melahirkan bakat pengurusan acara hospitaliti dalam kalangan generasi muda, serta terus dijalankan dan diperkasakan pada tahun-tahun akan datang sebagai sebahagian daripada penilaian akhir kursus.

“Semoga dengan penganjuran program ini, kita akan sentiasa berusaha untuk menyatukan seluruh tenaga kita dengan segala keprihatinan yang kita ada, bagi memperkasa lagi ikatan antara pelajar dalam dan luar UMS, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program ‘UMS Hospitality Fiesta 2025’ anjuran FPEP UMS, baru-baru ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abdul Karim.

‘UMS Hospitality Fiesta 2025’ merupakan anjuran pelajar tahun akhir kursus Pengurusan Acara Hospitaliti FPEP UMS dengan tema pertandingan berfokuskan kemahiran dalam bidang hospitaliti.

Sementara itu, Pengarah Program, Prescillia Beatrice Peter Asum berkata program tersebut memberi peluang kepada peserta untuk mengasah kemahiran praktikal dan insaniah melalui pendekatan ‘experiential learning’ serta memperkukuh jaringan antara institusi pendidikan dan industri.

“Antara kategori pertandingan yang dipertandingan termasuk Napkin Folding, Mocktail Making, Table Setting, Bed Making, dan Sandwich Making.

“Seramai 100 peserta daripada institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di Kota Kinabalu menyertai program kali ini meliputi tujuh gerai pameran industri dan 16 gerai pameran jualan termasuk peluang kerjaya melalui temuduga terbuka oleh ClubMed.

“Penghargaan diucapkan kepada pelbagai pihak industri dan pihak penaja yang sudi menyokong program kami. Antaranya seperti ClubMed, Shangri-La Rasa Ria, Le Meridien, Bestari, Yakult, Check Hup Sdn Bhd, Sabah Intrernational Convention Centre (SICC).

“Selain itu, Grandis Hotels and Resorts, Kedai Kopi Fook Yuen, Bestari Sales and Marketing Sdn Bhd, Sufian Cafe, Nasi Lapar 7Kens, Kedai Kopi Ding Hao, Affinity Global Solution dan Mania Jaguh Sport. Sokongan termasuk sumbangan bahan, hadiah cabutan bertuah, dan penyediaan fasiliti,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Dekan FPEP Dr. Izyanti Awang Razli; Ketua Program Pengurusan Hospitaliti, Dr. Andi Tamsang Andi Kele dan Penasihat Program, Marry Tracy Anak Pawan.

鶹Ƶ (UMS) komited meningkatkan kebolehkerjaan dan kebolehpasaran graduan melalui penganjuran Mini Career Day yang akan diadakan di Fakulti Kejuruteraan (FKJ), UMS.

Menurut Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC) UMS, program anjuran bersama FKJ, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS serta Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. itu bertujuan membantu para graduan mengetahui perkembangan sektor pekerjaan pada masa kini.

Pengarah CEDeC UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Sidah Idris berkata kebolehpasaran graduan kini menjadi tumpuan dalam perbincangan akademik dan dasar akibat perkembangan ekonomi global dan peluang pekerjaan yang semakin kompetitif.

Katanya tren terkini menunjukkan bahawa walaupun kadar pengijazahan terus meningkat, ramai profesional muda masih berjuang untuk beralih daripada institusi akademik ke pasaran buruh.

“Pakar berpendapat bahawa perbezaan hubungan itu bukan berpunca daripada kekurangan pendidikan, tetapi daripada ketidakpadanan antara latihan akademik dan keperluan dinamik majikan masa kini.

“Majikan kini menuntut lebih daripada kecemerlangan akademik.

“Kebanyakan industri mencari calon talent yang mempunyai pengalaman praktikal, celik digital, kemahiran menyelesaikan masalah dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang berubah-ubah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin berkata graduan perlu dilengkapi bukan sahaja dengan pengetahuan, tetapi dengan keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan itu dalam senario dunia sebenar.

“Latihan amali, program bimbingan dan perkongsian industri-akademik adalah kunci untuk menutup jurang ini.

“Sebagai inisiatif, universiti merombak kurikulum dengan memasukkan pembelajaran bersepadu kerja, latihan kemahiran insaniah dan modul keusahawanan.

“Pada masa yang sama, perkongsian sektor awam dan swasta memainkan peranan penting dalam mewujudkan platform untuk pembangunan kemahiran, penempatan pekerjaan dan bimbingan kerjaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Program Mini Career Day 2025 membantu mewujudkan rangkaian untuk para pelajar membuat jaringan dengan pihak industri. Acara tersebut akan merangkumi perkongsian industri yang berpotensi yang akan memberikan pandangan industri kepada peserta dan temu bual fizikal dengan bakal calon.

Kakitangan dan pelajar 鶹Ƶ (UMS) meneruskan amalan bergotong-royong bagi melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di UMS.

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Pusat Islam UMS, Mohammad Fazri Abdul Hamid, pada tahun ini seramai 21 peserta korban terlibat dalam ibadah korban di UMS.

“Sejumlah empat ekor lembu dikorbankan secara bergotong-royong di Perkarangan Masjid UMS, iaitu tiga ekor lembu daripada peserta korban, manakala seekor lembu disumbangkan oleh pihak RHB Bank.

“Lebih 30 petugas korban dalam kalangan kakitangan UMS, antaranya dari wakil Kesatuan Kakitangan UMS (KEKAUMAS) terlibat membantu dalam menjayakan kerja-kerja penyembelihan dan melapah lembu korban.

“Manakala lebih 20 petugas staf dan pelajar UMS termasuk wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) terlibat dalam melaksanakan pengagihan daging korban serta penyediaan jamuan di Dapur Rahmah UMS,” katanya.

Beliau turut memaklumkan daging korban kemudiannya diagihkan kepada kakitangan UMS dan pelajar-pelajar di kolej kediaman luar UMS, serta dimasak sebagai jamuan tengah hari yang disediakan di Masjid UMS.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor dan Pengarah Wilayah RHB Bank Wilayah Sabah, Stephen Chin turut berkesempatan menyantuni petugas ibadah korban serta meninjau aktiviti korban yang dilaksanakan pada sebelah pagi.