鶹Ƶ

SELASA, 11 APRIL – Siswa-siswi 鶹Ƶ (UMS) mempamerkan keputusan membanggakan apabila berjaya menggondol hadiah utama dalam Borneo Cyber Security Challenge 2017 anjuran bersama UMS dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kumpulan TMS Lab dari UMS cemerlang apabila dinobatkan sebagai johan bagi pertandingan Forensic Challenge, sekali gus menggondol hadiah wang tunai RM3,000 mengetepikan pesaing terdekat Kumpulan Christopher dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Kumpulan itu yang terpaksa berpuas hati untuk berada pada kedudukan tempat kedua membawa pulang wang tunai RM2,000.

Tempat ketiga pula dengan hadiah RM1,000 menyaksikan Kumpulan AAAI500 juga dari UMS muncul sebagai pemenang.

Bagi pertandingan Hack and Defense Competition, Kumpulan AYAM dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam muncul johan sekali gus menerima hadiah wang tunai RM3,000.

Naib johan dimenangi Kumpulan Mr. Robot 3.0 dari Swinburne University of Technology Sarawak, dan tempat ketiga dimenangi Kumpulan Mr. Robot dari UMS. Kedua-dua pasukan juga masing-masing menerima wang tunai RM2,000 dan RM1,000.

Penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Bahagian Pengawasan Digital SKMM, Harme Mohamed dalam satu majlis penutupan program tersebut di Dewan Kuliah Pusat 2, UMS.

Terdahulu, turut berlangsung sesi Security Forum bertajuk "Challenges Facing The Future of Cyberspace" yang menampilkan empat panel, iaitu Harme Mohamed; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Penyiasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, ACP Ahmad Nordin; wakil SKMM, K Juslly Elis; dan wakil NetbyteSEC Malaysia, Mahmud Abdul Rahman.

Sesi forum dikendalikan Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik UMS, Prof. Madya Dr. Ag Asri Ag. Ibrahim.

 

ISNIN, 10 APRIL -  鶹Ƶ (UMS) terus berusaha membantu masyarakat dalam meningkatkan taraf hidup.

Terbaharu, UMS telah membantu penduduk Kampung Tudan, Tuaran menghasilkan produk Mulberry Tea.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, produk itu masih belum pernah dibangunkan oleh mana-mana pihak di Sabah.

“Saya percaya Mulberry Tea ini mampu menjadi produk yang terkenal di negeri ini pada masa hadapan memandangkan kualitinya yang setanding dengan teh-teh lain yang ada di pasaran.

"Kita kini masih dalam proses mencari rakan industri untuk membantu memasarkan produk ini secara meluas,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran produk berkenaan.

Prof. Dr. Shahril berkata, UMS telah memperoleh Geran KTP (Knowledge Transfer Program) berjumlah RM167,690 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menyempurnakan projek komuniti itu.

“Setakat ini, tanaman ini telah menyumbang sebanyak 20-30 peratus pendapatan penduduk kampung terbabit,” katanya lagi.

Hadir sama pada pelancaran itu, Ketua Projek Tanaman Mulberry Tea, Dr. Fiffy Hanisdah Saikim dan Ketua Kampung Tudan, Golonius Gibin.

ISNIN, 10 APRIL – Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), 鶹Ƶ (UMS) melalui Unit Penyelidikan Warisan Borneo berjaya menganjurkan Kolokium Warisan Perubatan Pelbagai Budaya di Malaysia bertempat di Theattrette Ahmad Nisfu, FKSW baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Penganjur yang juga Ketua Unit Warisan Penyelidikan Borneo, Prof. Madya Dr. Low Kok On, kolokium itu bertujuan untuk mengumpul pakar-pakar yang mengkaji tentang perubatan tradisional di negara ini.

“Sebanyak lima topik dibentangkan para penyelidik, antaranya ialah ‘Perubatan Tradisional dalam Kurun ke-21’ oleh Pensyarah FKSW, Profesor Dr. Hashim Awang AR.; ‘Integrating Islamic Complementary Healing into Modern Medicine oleh Prof. Dr. Supyan Hussin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ‘Future Trend of Traditional Chinese Medicine oleh Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Yam Mun Fei.

“Dua lagi topik yang disampaikan bertajuk Thaipusam: The Power to Evoke Sprituality and Faith Healing through a Series of Ritualistic Practices’ juga dari USM iaitu Dr. Mumtaz Aboo Backer sebelum diakhiri oleh Pensyarah Kanan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Julius Kulip dengan topik bertajuk ‘Ethnomedicines in Sabah: A present Status,” ujarnya ketika ditemui media.

Dr. Low berkata, selain UMS, UKM dan USM, program yang mendapat tajaan geran bernilai RM7 juta dari Kementerian Pendidikan Tinggi itu turut melibatkan para penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Para penyelidik mengambil masa hampir empat tahun menghabiskan projek penyelidikan mereka.

“Melalui geran tersebut, mereka juga berjaya menyumbang penerbitan sebanyak 25 buah buku tidak termasuk beberapa buah jurnal antarabangsa serta penganjuran pelbagai seminar antarabangsa termasuklah penganjuran kolokium ini,” tambah beliau.

Kolokium sehari itu disertai 60 peserta daripada kalangan penyelidik, kakitangan akademik dan pelajar UMS.

Program berakhir dengan penyampaian sijil yang disempurnakan Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim kepada semua peserta.

Foto:  AK AB Hashim Pg. AB. Ghani  

 

JUMAAT, 7 APRIL – Seramai 31 pelajar antarabangsa bakal menyambung pengajian mereka di 鶹Ƶ (UMS) melalui sesi pendaftaran Program Persediaan Intensif Inggeris (IEPP) yang berlangsung kelmarin.

Daripada jumlah tersebut, 29 pelajar adalah dari China, manakala dua lagi pelajar masing-masing dari Korea Selatan dan Timor-Leste.

Kesemua pelajar yang baru tiba di negeri ini diraikan dalam satu Majlis Sambutan Pelajar Baharu Program IEPP Kohort Ke-30 di Galeri Majlis, UMS.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dalam ucapan pada majlis tersebut berkata, UMS menerima kehadiran pelajar antarabangsa ini dengan tangan terbuka, dan menganggap mereka adalah sebahagian daripada keluarga di sebuah institusi yang mementingkan kecemerlangan akademik dan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Suasana pembelajaran di dalam kampus ini bakal memberikan rangsangan positif kepada para pelajar dengan persekitaran yang menggalakkan keharmonian budaya serta cintakan ilmu dan alam semula jadi.

“Di UMS, kami mempunyai populasi pelajar dengan latar belakang dan budaya yang pelbagai, selain sejumlah besar pelajar antarabangsa dari Jepun, China, Indonesia, Korea Selatan dan lain-lain,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Bahagian Perkhidmatan Akademik UMS, Vina Zahriani Yusof.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif UMS Investment Holdings Sdn. Bhd., Ramlan Awang Ali berkata, program ini diperkenalkan sejak tahun 2003 sebagai persediaan kepada pelajar antarabangsa yang tidak mempunyai asas bahasa Inggeris untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah di UMS setelah lulus peperiksaan dalam IEPP.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pustakawan UMS, Dayang Rukiah Ag. Amit dan Pengarah Pusat Luar UMS, Prof. Dr. Hajah Arsiah Hj Bahron.

JUMAAT, 7 APRIL - Seramai 90 peserta menghadiri Persidangan Serantau mengenai Kelestarian Kampus kali ke-4 2017 (4RCCS2017) yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan EcoCampus 鶹Ƶ (UMS), hari ini.

Persidangan tersebut merupakan kerjasama antara UMS, Adamson University Filipina dan National Institute of Technology Fukushima College, Jepun yang diadakan di Hotel Lab Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS.

Menurut Timbalan Naib Canselor UMS (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Shahril Yusof, penganjuran RCCS bertujuan membincangkan serta merancang inisiatif untuk mempertingkatkan lagi aktiviti yang bercorak hijau yang melibatkan aktiviti ko-kurikulum kepada para pelajar.

“Kita berharap melalui penganjuran RCCS  ini, isu-isu global dapat dibincangkan dan seterusnya dapat diatasi bersama seperti isu pemanasan global yang sering diperkatakan hari ini,” ujarnya kepada media selepas mewakili Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah merasmikan persidangan tersebut.

Beliau turut menyarankan agar subjek wajib kokurikulum berkenaan kelestarian alam sekitar diperkenalkan kepada para pelajar.

“Saya percaya dengan memperkenalkan subjek tersebut, kita dapat mendidik pelajar kita dan sekali gus berkongsi kepada masyarakat mengenai kepentingan melestarikan kehijauan alam sekitar,” katanya.

Profesor Dr. Shahril turut menambah bahawa UMS kini telah memperluaskan capaian internet di seluruh kampus sebagai usaha mengubah cara penyampaian pembelajaran dan tidak terikat kepada pengajian kuliah di dalam kelas semata-mata.

“Kementerian kini menyarankan agar setiap institusi memperkenalkan pendidikan yang lebih fleksibel seperti e-pembelajaran, e-peperiksaan dan perbincangan berkumpulan di luar bilik kuliah. Ini juga merupakan salah satu usaha kita untuk menjimatkan penggunaan sumber,” ujar beliau.

Persidangan selama dua hari itu turut disertai oleh peserta dari negara Thailand dan beberapa universiti awam di Malaysia.

Turut hadir, Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Profesor Madya Dr. How Siew Eng; Pengerusi 4RCCS2017, Dr. Awangku Hassanal Bahar Pangiran Bagul; Presiden Adamson Universiti Filipina, Fr. Marcelo V. Manimtim C.M dan Presiden National Insitute of Technologi Fukushima College Jepun, Takayuki Nakamura.

Foto: Masrul Rukkung