鶹Ƶ

ISNIN, 12 JUN - Lentera Tari Kolej Kediaman E, 鶹Ƶ (UMS) menganjurkan Program Fitness Dance 3.0 sebagai usaha untuk menerapkan amalan gaya hidup sihat ke arah melahirkan individu yang cergas dan cerdas sekali gus memupuk semangat kekitaan antara pelajar, kakitangan universiti dan masyarakat awam.

Pengarah Program, Hasmida Bakri berkata, seramai 305 peserta terdiri daripada mahasiswa, kakitangan dan masyarakat sekitar menyertai aktiviti senamrobik dan tarian zumba itu yang bertempat di Stadium, Kompleks Sukan UMS.

“Berikutan pelbagai jenis penyakit yang boleh dihidapi akibat kurangnya aktiviti senaman, Lantera Tari mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini sebagai kesedaran dan membudayakan amalan pencegahannya di peringkat awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam masa yang sama ia juga merupakan salah satu wadah bagi mengeratkan lagi keakraban sesama warga universiti.

“Oleh itu, golongan mahasiswa khususnya haruslah menjadikan budaya beriadah seperti berzumba dan senamrobik ini sebagai sebahagian daripada rutin ketika menuntut pengajian di universiti,” ujar Hasmida.

Turut menjayakan program itu, Pengetua Kolej Kediaman E, Dr. Syahruddin Hj. Awang Ahmad dan Timbalan Pengetua, Mohd. Hilmey Saili.

 

Sumber: Lantera Tari, Kolej Kediaman E

 

JUMAAT, 9 JUN - 鶹Ƶ (UMS) dan Fama Negeri Sabah sekali lagi menganjurkan Bazar Ramadan My Best Buy UMS yang bermula sejak 27 Mei sehingga 25 Jun 2017, di Padang Kawad UMS.

Ia antara lain bertujuan memberi kemudahan kepada warga UMS yang berpuasa terutamanya pelajar dan kakitangan.

Selain itu, kewujudan bazar ini juga membuka peluang perniagaan kepada pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan.

Sebanyak 46 gerai yang mengambil bahagian merangkumi 22 gerai pelajar dan 24 gerai peniaga luar dengan jualan pelbagai menu hidangan dan juadah berbuka puasa.

Usaha itu juga adalah bagi memupuk nilai keusahawanan dalam pelajar dan masyarakat seperti bersifat jujur dalam setiap kegiatan jual-beli yang dijalankan serta memberikan khidmat yang terbaik kepada semua.

Pada Bazar itu, Fama menyelaraskan peniaga luar manakala Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (ERDEC), UMS menyelaraskan penyertaan mahasiswa.

Pihak Fama turut menyediakan kanopi dan meja kepada pelajar yang berniaga selain bersama-sama ERDEC memantau perjalanan dan harga makanan di Bazar tersebut dari semasa ke semasa.

Setakat 12 hari Bazar Ramadan itu diadakan, sebanyak RM80,000 nilai jualan telah dicatatkan dengan RM25,000 daripadanya adalah hasil jualan pelajar UMS.

Pada tahun 2016, sebanyak RM402,212.30 nilai jualan dicatatkan selama penganjuran bazar berkenaan dengan jumlah jualan pelajar bernilai RM87,788.60.

Majlis pelancarannya disempurnakan kelmarin oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

 

JUMAAT, 9 JUN – Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, Jabatan Bendahari melalui Kelab Kakitangan Jabatan Bendahari menganjurkan majlis Tazkirah Ramadan di Bilik Mesyuarat Cemerlang, Aras 3, Bangunan Canselori, pagi tadi.

Dengan tajuk “Cerita Disebalik Nuzul Al-Quran”, tazkirah itu disampaikan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Pusat Islam 鶹Ƶ (PIUMS), Md. Razali Saibin.

Pada tazkirah itu, kaunter pembayaran zakat fitrah juga turut dibuka untuk memudahkan kakitangan yang ingin menjelaskan bayaran zakat fitrah masing-masing.

Tazkirah itu telah dihadiri 35 kakitangan Jabatan Bendahari.

Yang turut hadir, Bendahari UMS, Zallifah Shadan dan Timbalan Bendahari, Mohamad Edrus Othman.

 

Sumber: Rahmat Kasmin, Jabatan Bendahari

 

 

KHAMIS, 8 JUN - Seramai 20 pelajar calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad, Kota Belud menyertai program Selangkah Ke Menara Gading anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM), 鶹Ƶ (UMS) baru-baru ini.

Pengarah Program, Mohamad Norazlan Norhisham berkata, program selama dua hari itu bertempat di sekitar kampus dan bertumpu di KKTM.

“Antara pengisian program termasuk lawatan sambil belajar ke beberapa kawasan UMS seperti Dewan Canselor, Perpustakaan, Menara Jam, Akuarium dan Muzium Marin, Pantai Odec, Galeri Borneensis dan Radio KKFM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media UMS.

Menurut Norazlan aktiviti itu dilaksanakan sebagai kesinambungan program yang dimulai Jakmas-jakmas terdahulu yang bertujuan memberi motivasi dan pendedahan alam kehidupan kampus kepada pelajar-pelajar.

“Ia sekali gus mampu meningkatkan semangat mereka untuk memasuki universiti di samping  mendorong untuk meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan SPM 2017,” katanya.

Selain Jakmas, program itu turut dijayakan sekretariat dan felo staf kolej.

Dalam pada itu, Pengetua KKTM, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin turut menyuarakan sokongan terhadap program tersebut yang disifatkannya mampu meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa terutama dalam mengendalikan sesuatu program.

Majlis perasmian penutupan disempurnakan Felo Penyelaras Program, Dr. Sariah Abang.

 

Sumber: Kolej Kediaman Tun Mustapha

KHAMIS, 8 JUN – Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) hari ini telah mengadakan sesi taklimat berkaitan Fidyah Puasa dan Kumpulan Wang Amal Jariah (KWAJ) bersama kakitangan Jabatan Canselori di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori 鶹Ƶ (UMS).

Taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam PBNS, Mohd Arif Hairul menyentuh tentang hukum orang yang meninggalkan puasa dan tuntutan membayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkan, serta ganjaran amalan bersedekah bagi umat Islam.

“Hukum membayar fidyah adalah wajib bagi umat Islam, dan seseorang boleh dikenakan fidyah apabila dia meninggalkan puasa kerana keadaannya yang lemah atas faktor lanjut usia, sakit yang tidak berdaya untuk berpuasa dan harapan untuk sembuh tipis, ibu hamil atau menyusukan anak yang meninggalkan puasa hanya kerana khuatir keselamatan anaknya sahaja, dan orang yang berhutang puasa dan belum dijelaskan sehingga tiba Ramadan berikutnya.

“Kadar fidyah ialah satu mud atau secupak makanan asasi, dan di negeri Sabah nilai kadar semasa bagi bayaran fidyah adalah RM1.75 bagi sehari puasa yang ditinggalkan,” katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam agar mengamalkan amalan bersedekah, kerana keajaiban amalan bersedekah antaranya mampu meluaskan rezeki seseorang, menolak bala, memadam kemurkaan Allah s.w.t dan menolak daripada mati dalam keadaan tidak baik.

“PBNS mewujudkan Tabung KWAJ untuk tujuan tersebut, dan dengan sumbangan dana yang diberikan pelbagai bantuan dapat disalurkan seperti bantuan bencana alam,  bantuan kelengkapan masjid dan surau, bantuan madrasah, rumah anak yatim dan Sekolah Agama Rakyat (SAR), bantuan perubatan dan susu formula, dan bantuan-bantuan am seperti bantuan fakir miskin, bantuan bagi menjana pendapatan dan sebagainya,” ujar beliau.

Lebih 20 kakitangan Jabatan Canselori hadir pada taklimat tersebut.