鶹Ƶ

KHAMIS, 22 JUN - Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa (SRIM), 鶹Ƶ (UMS) baru-baru ini mengadakan Kembara Integriti SRIM Siri 3 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menurut kenyataan SRIM, penganjurannya di UPSI adalah bersempena Program Perhimpunan Rakan Integriti Mahasiswa (PRIMA) anjuran Rakan Integriti Mahasiswa (RIM) UPSI.

Program yang berlangsung selama empat hari itu menyaksikan penyertaan seramai 12 ahli SRIM UMS yang terdiri daripada barisan Majlis Tertinggi dan Majlis Eksekutif SRIM.

Dalam kenyataan itu ada menyebut bahawa rombongan peserta UMS turut berkongsi pengalaman dan idea berkaitan dengan program-program yang telah dijalankan dengan jayanya oleh mereka di UMS.

Program PRIMA itu turut diisi dengan forum bertajuk ‘Integriti dalam Pendidikan’ yang telah berlangsung di Dewan E-Learning UPSI.

Antara topik yang dibincangkan adalah bagaimana integriti dalam pendidikan boleh melahirkan ramai mahasiswa yang hebat.

Turut menjadi perbincangan hangat ialah bagaimana membentuk generasi yang berintegriti seiring dengan kecemerlangan dalam pencapaian pendidikan.

 

Sumber: SRIM, UMS

KHAMIS, 22 JUN - Exco Kesenian dan Kebudayaan, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) Non-Resident (NR), 鶹Ƶ (UMS) mengadakan Program Jejak Seni dan Kebudayaan Sabah baru-baru ini.

Program itu diadakan di tiga lokasi iaitu Muzium Sabah, Muzium Tamadun Islam dan Balai Seni Sabah dengan penyertaan  seramai 40 mahasiswa.

Menurut kenyataan Jakmas NR, penganjurannya antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada peserta khususnya yang berasal dari luar negara, Sarawak dan Semenanjung Malaysia tentang keunikan adat dan kebudayaan masyarakat Sabah yang diwarisi sejak turun temurun.

Kenyataan itu memaklumkan, kesemua peserta ketika berada di Muzium Sabah telah melawat Geleri Keretapi, Pusat Sains Sabah serta Rumah-rumah Tradisional.

Di Muzium Tamadun Islam pula, selain lawatan ke sekitar muzium, turut diadakan taklimat dan sesi soal jawab bersama pegawai dari muzium tersebut.

Program itu diakhiri dengan kunjungan ke Balai Seni Sabah.

 

Sumber: Jakmas NR

 

 

RABU, 21 JUN – Semangat gotong-royong antara kakitangan Jabatan Bendahari 鶹Ƶ (UMS) dalam menyediakan jamuan sempena program ‘Ketuk-ketuk Ramadan’ mampu mengeratkan lagi jalinan ukhuwah antara kakitangan yang terlibat.

Program tahunan Jabatan Bendahari yang memasuki tahun kelima penganjurannya merupakan kemuncak kepada beberapa siri program yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan,  antaranya sesi tazkirah mingguan dan penyediaan juadah Iftar di Masjid UMS. 

Menariknya, kakitangan bukan beragama Islam turut bersemangat mengambil bahagian dalam acara yang bermula seawal jam 9.30 pagi tadi di Perkarangan Aras 2, Blok Utara, Bangunan Jabatan Canselori.

Antara juadah yang disediakan ialah Nasi Tomato, Ayam Goreng Berempah, Ayam Masak Merah, dan minuman Laici Kang.

Juadah yang selesai dibungkus kemudiannya diagihkan kepada kakitangan UMS dari jabatan lain.

 

RABU, 21 JUN – Persatuan Pelajar Pascasiswazah (PSA) 鶹Ƶ (UMS) mengambil kesempatan dalam keberkatan bulan Ramadan dengan menyantuni golongan anak-anak yatim baru-baru ini.

Program Semarak Bulan Ramadan Bersama Anak Yatim 2017 yang berlangsung di Hotel Tabung Haji, Sembulan itu meraikan seramai 35 anak yatim dari tujuh buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Gudon, SK Melawa, SK Kolombong, SK Inanam 2, SK Pengiran Siti Hafsah, SK Bukit Padang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Likas.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Pusat Pengajian Pascasiswazah, Jakaria Dasan berkata, majlis tersebut dilangsungkan bertujuan untuk mengimarahkan dan menzahirkan bulan Ramadan dengan meraikan golongan anak-anak yatim yang masing-masing berumur lingkungan 7 hingga 17 tahun.

“Ini sekali gus mampu memupuk rasa cinta beramal ibadah menerusi amalan bersedekah, serta membentuk sifat rendah diri dalam kalangan pelajar pascasiswazah,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis itu.

Selain acara berbuka puasa, turut diadakan aktiviti pengagihan barangan sumbangan yang terdiri daripada keperluan harian, dan pemberian duit raya kepada anak-anak yatim sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Kos barangan dan duit raya adalah hasil sumbangan dan derma ikhlas daripada para dermawan yang diusahakan sendiri oleh exco-exco PSA.

“Ini sedikit sebanyak diharap dapat menghiburkan hati golongan kurang bernasib baik ini,” ujar Jakaria.

 

 

 

SELASA, 20 JUN 2017 - Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (ERDEC), 鶹Ƶ (UMS) mengadakan program kolokium dengan kerjasama University of Westminster dan Texas Tech University (TTU) di Hotel Grand Borneo, baru-baru ini.

Menurut kenyataan ERDEC, program itu telah dihadiri seramai 40 peserta daripada kalangan ahli akademik dan penyelidik Institusi Pendidikan Tinggi di Sabah.

Kenyataan itu memaklumkan, penceramah yang menjayakan program itu ialah Prof. Dr. Alison Rieple dan Dr. Jane Chang dari University of Westminster, Prof. Madya Dr. Micheal Farmer (Texas Tech University), serta Prof. Madya Dr. Balan Rathakrishnan dan Dr. Bonaventure Boniface dari UMS.

Bertemakan "Peranan Keusahawanan Dalam Kemampanan Perusahaan Kecil Di Kepelbagaian Industri",  kenyataan itu memaklumkan ia antara lain diadakan bagi membincangkan sumbangan besar perusahaan kecil kepada ekonomi tempatan dan global.

Aktiviti dimulakan dengan bertemakan ‘Entrepreneurship And Smallholder’ yang dikendalikan Dr. Bonaventure melalui pembentangan kertas bertajuk ‘The Multidiscipline Research : A Case Study In Semporna’s Seaweed Industry in Sabah’.

Ia kemudian disusuli Prof. Madya Dr. Balan dengan pembentangan bertajuk ‘Life Skills As A Predictor Of Psychological Wellbeing And Mental Health Among Youth Entrepreneur’.

Kertas kedua pula disampaikan Prof. Dr. Alison dengan tajuk ‘Institutional Influence On Innovation Adoption In Rural Communities – The Case Of Palm Oil Smallholders In Sabah’ dan ‘Transfering Entreprenerual Theory To Rural Contexts – Newton Fund’ oleh Dr. Jane Chang.

Ia diteruskan dengan pembentangan kertas ketiga daripada Prof. Madya Dr. Micheal dengan tajuk ‘The Economics Of Sustainable Livelihoods As A Factor In Rural Entrepreneurship Is A Good Topic’.

Kesemua peserta turut diminta mengadakan sesi perbincangan dalam kumpulan bertemakan ‘Smallholder And Innovation: Issues and Challenges’ yang menyaksikan perbincangan tersebut menjurus kepada isu-isu dan cabaran serta cadangan penyelesaian dalam keusahawanan.

Menurut kenyataan ERDEC lagi, kolokium itu juga menjadi medan kepada para peserta untuk berbincang, berkongsi idea dan berdebat mengenai isu-isu baru yang muncul dalam bidang keusahawanan dan inovasi.

Kolokium yang berlangsung selama dua hari itu turut membawa para peserta melawat ke kawasan memproses dan menternak madu kelulut di Kampung Waig-Waig, Kiulu.

Mereka juga kemudiannya singgah ke Kampung Poturidong, Kiulu untuk melihat kawasan pelancongan Tagal dan ‘Water Rafting’.