[ARTIKEL BIUMS Siri 3/2026]
Disediakan oleh: Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS
Pematuhan peraturan sering disalahertikan sebagai satu bentuk kepatuhan membuta tuli terhadap arahan, pekeliling atau prosedur kerja. Dalam konteks universiti, salah faham ini menyebabkan pematuhan dianggap sebagai beban birokrasi, halangan kepada kreativiti, atau sekadar keperluan untuk “elak masalah”. Hakikatnya, pematuhan bukanlah soal takut kepada hukuman, tetapi suatu disiplin profesional yang melindungi individu, institusi dan kepentingan awam.
Salah faham paling ketara ialah anggapan bahawa keputusan yang dibuat atas dasar “niat baik”, “pengalaman lama” atau “kebiasaan” boleh mengatasi peraturan bertulis. Dalam realiti tadbir urus, niat yang baik tidak menghalalkan keputusan yang tidak berasas. Keputusan tanpa rujukan peraturan, tanpa dokumentasi, dan tanpa pertimbangan risiko tetap terdedah kepada implikasi undang-undang, audit dan reputasi. Bukan sahaja kepada pembuat keputusan, tetapi juga kepada universiti secara keseluruhan.
Contoh kepatuhan yang baik boleh dilihat apabila seorang pegawai kewangan menangguhkan proses pembayaran walaupun ditekan oleh pihak tertentu, kerana dokumen sokongan tidak lengkap dan belum memenuhi syarat perolehan. Walaupun tindakan ini mungkin dianggap “melambatkan kerja”, hakikatnya ia melindungi pegawai tersebut daripada liabiliti peribadi dan mengelakkan universiti daripada teguran audit atau kerugian kewangan. Kepatuhan dalam kes ini berfungsi sebagai benteng profesional, bukan penghalang prestasi.
Sebaliknya, ketidakpatuhan sering berlaku dalam bentuk keputusan yang dibuat secara tidak formal, seperti meluluskan perjalanan rasmi tanpa kelulusan bertulis, membenarkan penggunaan aset universiti tanpa rekod, atau mengubah kaedah perolehan atas alasan “kes kecemasan” tanpa justifikasi sah. Amalan ini mungkin kelihatan kecil dan biasa, tetapi ia membuka ruang kepada salah guna kuasa, ketirisan sumber dan pertikaian integriti apabila isu dibangkitkan kemudian hari.
Risiko paling besar keputusan tidak berasas ialah apabila individu terpaksa mempertahankan tindakan mereka tanpa sandaran peraturan. Dalam situasi siasatan atau audit, frasa seperti “saya fikir”, “selalu buat macam ini”, atau “niat kami baik” tidak mempunyai nilai perlindungan. Yang dinilai ialah sama ada keputusan itu selaras dengan peraturan, berasas kepada kuasa yang sah, dan direkodkan secara telus.
Oleh itu, pematuhan perlu difahami sebagai budaya berfikir secara berperaturan (rule-based reasoning), bukan sekadar mematuhi arahan. Warga universiti yang berintegriti ialah mereka yang membuat keputusan berdasarkan rujukan sah, menilai risiko sebelum bertindak, dan berani mengatakan tidak apabila sesuatu tindakan melanggar peraturan. Inilah asas profesionalisme sebenar dalam ekosistem universiti yang berwibawa dan lestari.


