鶹Ƶ

Naib Canselor 鶹Ƶ (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menyeru para pelajar baharu Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS Sesi Akademik 2024/2025 agar memanfaatkan peluang menyambung pengajian di UMS bagi menambah ilmu pengetahuan serta mempelajari aspek kehidupan di dalam kampus.

Katanya, kehadiran para pelajar bagi menjalani program Asasi di UMS merupakan satu titik permulaan dalam perjalanan hidup mereka sebagai seorang pelajar universiti.

“Pengajian Asasi UMS ini adalah bagi memperkukuh asas dalam bidang sains dan teknologi untuk melanjutkan pelajaran ke program ijazah di UMS, sejajar dengan misi dan visi penubuhan PPST, UMS.

“Selain itu, kehadiran anda di sini juga merupakan satu proses peralihan dari alam persekolahan ke alam universiti sebelum peringkat ijazah kelak.

“Saya berharap agar pengajian di Asasi UMS ini akan menjadi suatu memori indah bagi mengorak langkah sebagai seorang pakar yang dapat menyumbang kepada negara sama ada dalam bidang sains ataupun teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan penutupan Minggu Suai Mesra (MSM) Asasi UMS Sesi 2024/2025 kali ke-15.

Beliau turut mengingatkan para pelajar bahawa kewujudan universiti adalah disebabkan permintaan masyarakat sekeliling yang ingin melihat perubahan hidup menerusi tahap pendidikan tinggi.

“Selain bekalan transkrip akademik yang dibawa untuk memasuki alam pekerjaan, aspek-aspek lain seperti keterlibatan dalam aktiviti universiti juga dapat meningkatkan tahap keyakinan diri.

“Sehubungan itu, suka saya mengingatkan, ikuti dan sertailah segala program kurikulum dan kokurikulum serta saya doakan agar anda semua mampu memperkukuhkan iltizam dan menzahirkan usaha dalam menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh demi melakar masa depan yang lebih terjamin,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, seramai 468 pelajar program Asasi UMS, yang terdiri daripada 332 pelajar Asasi Sains, 96 pelajar Asasi Teknologi Maklumat, dan 40 pelajar Asasi Agrisains membacakan lafaz ikrar di hadapan para pegawai utama dan kanan universiti.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; dan Pengarah PPST, ChM. Dr. Newati Wid.

Confucius Institute (CI) 鶹Ƶ (UMS) berhasrat untuk mengadakan kolaborasi bersama Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) bagi kerjasama dalam aktiviti akademik dan perundingan sebagai menyokong pertumbuhan industri pelancongan di Sabah yang menerima jumlah kemasukan pelancong dari China yang tinggi.

Hasrat kolaborasi tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara CI UMS dan KTYS di kampus induk KTYS baru-baru ini.

UMS diwakili oleh Pengarah CI UMS (Malaysia), Prof. Ts. Dr Chong Khim Phin menandatangani LoI tersebut, manakala KTYS diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Hajjah Tah Nia Haji Jaman.

Chong dalam satu kenyataan berkata, menerusi LoI itu, CI@UMS akan menyediakan latihan bahasa Mandarin kepada pelajar KTYS yang merupakan pemandu pelancong dan terlibat dalam industri pelancongan.

“Latihan itu juga akan menggabungkan pendidikan budaya Cina dan sejarah Cina tempatan di Sabah untuk meningkatkan pemahaman dan komunikasi yang lebih baik dalam kalangan pelajar KTYS selepas tamat kursus mereka kelak.

“Dengan peningkatan jumlah pelancong Cina di Sabah, pembelajaran bahasa Mandarin yang turut mendapat sokongan dana daripada Jabatan Perdana Menteri akan membolehkan CI@UMS dan KTYS melatih lebih ramai penduduk tempatan untuk bertutur dalam bahasa Mandarin yang lebih baik dan meningkatkan peluang pekerjaan mereka dalam industri ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, melalui pemeteraian LoI tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalankan program berkaitan seperti bengkel atau aktiviti kemasyarakatan bersama.

“Latihan bahasa Mandarin yang pertama akan bermula dalam bulan Julai ini untuk tempoh tiga bulan.

“Justeru, sekalung penghargaan diberikan kepada pengurusan KTYS atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada CI@UMS dalam kerjasama ini,” katanya.

Ujar beliau, persediaan dalam pengajaran bahasa Mandarin yang berkualiti dan berkesan sentiasa menjadi antara keutamaan CI UMS sejak penubuhannya.

Turut hadir pada acara tersebut Pengarah CI UMS (China). Prof. Madya Dr. Huang Yue Hua.

鶹Ƶ (UMS) menerima kumpulan pertama program Asasi Agrisains menerusi saluran UPU Online pada sesi pendaftaran pelajar baharu Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) universiti itu.

Seramai 468 pelajar mendaftar program Asasi di UMS tahun ini dengan jumlah 40 daripadanya program Asasi Agrisains, 96 Asasi Teknologi Maklumat dan 332 Asasi Sains.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, pelajar-pelajar Asasi Agrisains tersebut akan meneruskan pengajian ke peringkat sarjana muda di Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan selepas tamat pengajian asasi kelak.

“Ini merupakan salah satu inisiatif UMS untuk menambah pelajar dalam bidang pertanian dan sekali gus menambah bilangan keperluan graduan dan tenaga kerja dalam sektor pertanian apabila mereka tamat pengajian.

“Pada masa kini, kampus UMS Sandakan mampu menampung seramai 1,000 pelajar dalam satu masa. Maka dengan adanya program Asasi Agrisains ini, kita dapat meningkatkan jumlah pelajar bidang pertanian di kampus tersebut.

“Kita berbesar hati menerima pelajar bukan sahaja dari Sabah malah dari Sarawak dan Semenanjung untuk mengikuti program asasi sains di UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sesi ramah mesra bersama pelajar baharu program Asasi UMS, baru-baru ini.

Tambah Kasim, bagi pelajar-pelajar program Asasi Sains dan Asasi Teknologi Maklumat pula akan melanjutkan pengajian menerusi program ditawarkan di fakulti-fakulti sains UMS yang akan merancakkan bidang STEM dan TVET.

“Bidang STEM dan TVET amat penting pada masa kini. Justeru, UMS turut bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan negara mampu melahirkan pelajar dan graduan unggul dalam bidang tersebut,” ujarnya.

PPST UMS ditubuhkan pada tahun 2010 dengan misi untuk membentuk dan melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai asas pengetahuan sains yang kukuh untuk bersedia melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.

Jabatan Perubatan Kecemasan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) 鶹Ƶ (UMS) telah mengadakan bengkel “Chemical, Biological, Radiological, Nuclear & Explosives (CBRNE) Terrorism Awareness & Medical Emergency Consequence Management Workshop 2024”, baru-baru ini.

Program yang julung kalinya diadakan di Kota Kinabalu itu antara lain bertujuan memberikan pengenalan asas kepada pelbagai institusi dan agensi di negeri Sabah mengenai bahaya ancaman CBRNE yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia.

Ia juga bagi memulakan inisiatif kerajaan negeri untuk mengorak langkah bagi mengenal pasti sebarang risiko dan juga ancaman CBRNE yang boleh berlaku di negeri ini, sekali gus mewujudkan pelan bencana yang mampan untuk bersedia menangani ancaman tersebut melalui penglibatan kesemua agensi yang menyertai bengkel tersebut.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Kepakaran Perubatan Kecemasan dan Trauma Negeri Sabah, Dr. Abd. Adzim E Arim Sasi.

Menurut Abd. Adzim, bengkel CBRNE merupakan salah satu platform utama bagi memberikan ilmu pengetahuan, pendedahan dan juga kemahiran asas kepada petugas kesihatan dalam melakukan fasa respons dalam situasi bencana CBRNE.

“Sebagai sebahagian dari kesiapsiagaan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam menangani bencana CBRNE, JKNS telah membuat perancangan awal melalui pelan kontigensi bagi menghadapi ancaman atau bencana CBRNE ini khususnya di Sabah.

“Di samping itu, kakitangan yang dilatih boleh menjadi pelopor kepada pusat latihan CBRNE di rantau ini, khususnya untuk petugas KKM bagi meneruskan keberlangsungan latihan kakitangan di negeri Sabah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pada tahun 2023 sahaja terdapat sebanyak enam kes CBRNE yang berlaku di Sabah.

“Kes terakhir yang berlaku adalah pada bulan November 2023 di Tawau iaitu kejadian keracunan gas klorin Kolam Udang Pegagau Aquaculture di Kampung Wakuba yang telah melibatkan seramai enam mangsa dan seorang daripadanya terkorban dalam kejadian tersebut.

“Justeru, adalah perlu untuk hospital-hospital dan kesihatan awam di negeri Sabah mendalami ilmu CBRNE ini bagi memberi persediaan kepada kakitangan agar lebih bersedia dengan ancaman alaf baru ini,” tambahnya.

Program dengan kerjasama Jabatan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Southeast Asia Regional Centre for Counter Terrorism (SEARCCT) dan Jabatan Bomba Negeri Sabah itu disertai oleh 250 peserta daripada pelbagai agensi di seluruh negeri.

Selain itu, program tersebut turut disokong oleh Jabatan Kimia Negeri Sabah, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Atomic Energy Licensing Board (AELB).

Hadir sama, Timbalan Dekan FPSK, Prof. Madya Dr. Fairrul Kadir; Timbalan Ketua Bomba Negeri Sabah, Farhan Sufyan bin Borhan; Pengarah Bahagian Perancangan dan Latihan Pencegahan Keganasan (SEARCCT), Superitendan Yong Thian Foh serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Maria Suleiman.

鶹Ƶ terus berusaha memperkasa bidang inovasi dalam kalangan masyarakat dengan menganjurkan Hari Bioteknologi sempena Karnival SENADI 2024 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin, di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Kelab Bioteknologi UMS dan Persatuan Himpunan Ilmuan UMS (HiUMS) tersebut bertujuan menarik minat pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah ke arah bidang STEM.

Menurut penyelaras program, Profesor Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah, Karnival SENADI 2024 merupakan salah satu program SULAM (Servis Learning Malaysia and University for Society) untuk mempererat hubungan antara universiti dan komuniti setempat.

“Program ini sebagai salah satu usaha UMS memperkasa peranan universiti dalam pembangunan masyarakat dengan memperkenalkan para peserta kepada aplikasi praktikal sains dan teknologi dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada para pelajar UMS untuk mempraktikkan teori dalam konteks sebenar kepada masyarakat di samping mengembangkan keterampilan diri dalam memperkukuh kerja berpasukan, kemahiran kepimpinan dan komunikasi,” katanya.

Tambah Mohd Khalizan, melalui program ini juga para pelajar UMS dapat meningkatkan kesedaran sosial serta peka kepada isu-isu keperluan komuniti setempat.

“Program ini melibatkan 69 pelajar UMS yang menjalani kursus Rekabentuk Projek dalam Bioteknologi dan disertai oleh para pelajar dalam golongan keluarga B40 SMK Badin.

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah pameran kelestarian alam, teknologi hijau dan keselamatan makanan, latihan berkumpulan serta senamrobik,” tambahnya.

Majlis perasmian karnival tersebut disempurnakan oleh Pengetua SMK Badin, Awang Seman Awang Tahir.