鶹Ƶ

ISNIN, 1 APRIL - 鶹Ƶ (UMS) melalui Exco Keusahawanan dan EcoCampus, Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2018/2019, Pusat Pengurusan EcoCampus dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar turut sama menjayakan program Earth Hour 60+ 2019 baru-baru ini.

Bertempat di Padang Kawad UMS, kira-kira 1,000 orang peserta dari kalangan pelajar dan kakitangan UMS serta orang awam turun padang bagi sama-sama menjayakan program tersebut, yang menyaksikan lampu di dalam kampus dipadamkan selama sejam bermula jam 8.30 malam sehingga 9.30 malam.

Menurut Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS, Kueh Boon Hee @ Kelvin, program tahunan tersebut bermatlamat untuk memberikan kesedaran umum kepada warga UMS, khususnya para pelajar, tentang kepentingan pengurangan penggunaan tenaga dan penggunaan tenaga secara lestari dalam kegiatan seharian, selain sebagai perkongsian ilmu dan kemahiran berkaitan dengan usaha mengatasi pemanasan global dan perubahan iklim serta memupuk semangat tanggungjawab bersama yang utuh sesama para pelajar UMS dalam menjaga Bumi ke arah suatu masa depan yang lestari untuk semua.

“Adalah amat mustahak untuk kita semua menjaga alam semula jadi dengan sebaik mungkin kerana nilai dan rangka minda pembangunan lestari sudah menjadi salah satu kualiti terbaru yang paling dikehendaki daripada para graduan universiti, khasnya oleh syarikat gergasi multinasional.

“Usaha ini juga adalah selari dengan Agenda EcoCampus UMS yang berpaksikan lima nilai teras dan enam elemen utama berkisarkan hasrat untuk menjadikan UMS sebagai rujukan serantau dan sedunia dalam pengawasan alam sekitar melalui kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pembangunan infrastruktur, pengurusan, amalan operasi dan pengalaman kampus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS, Kamisah Husin ketika mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali menyampaikan ucapan perasmian program tersebut berkata, JHEP sentiasa menyokong program bermanfaat sebegini yang mampu memberi pemahaman yang mendalam kepada pelajar terhadap objektif penganjuran program tersebut.

“Penglibatan aktif para pelajar juga penting dalam memainkan peranan sebagai penyedia penyelesaian kepada pelbagai isu dan cabaran alam sekitar dewasa ini,” ujar beliau.

Beberapa acara menarik menjadi pengisian pada program tersebut, antaranya persembahan ‘Yoga Under The Stars’ yang diketuai oleh JV Yoga Therapy Center Kingfisher, Senamrobik oleh Kolej Kediaman Tun Fuad dan Persembahan Busking Akustik oleh Kolej Kediaman Excellence, selain pameran berkaitan kelestarian alam sekitar dan pembangunan lestari oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) – Taiwan Buddhist Tzu Chi 鶹Ƶ Malaysia, Little Feet Initiative (LiFe), Young Leaders For Sustainability (YL4S), AIESEC Malaysia (Sabah), dan Jawatankuasa 鶹Ƶ for Environmental Education (FEE) UMS

Turut diadakan acara penyediaan simbol besar ‘60+’ daripada lilin yang diperbuat menggunakan minyak masak terpakai dan diletak dalam bekas yang diperbuat menggunakan botol minuman plastik serta satu pagar sesat (‘maze’) yang disediakan daripada botol minuman plastik dan kotak kertas terpakai juga dipamerkan yang mana kedua-duanya menarik perhatian ramai orang.

 

ISNIN, 1 APRIL Lebih 100 peserta terdiri daripada warga UMS serta orang awam memeriahkan program berbasikal ‘10KM Fun Cycle’ yang berlangsung di sekitar kampus UMS Sabtu lalu.

Program anjuran Unit Penyelidikan Air (UPA) Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) adalah bersempena dengan sambutan Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun.

Menurut Ketua UPA, Dr. Moh Pak Yan, program ini bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada orang awam mengenai kepentingan sumber air dalam kehidupan dan kewajipan semua masyarakat untuk menjaga dan memelihara alam sekitar bagi menyokong usaha kelestarian sumber air.

“Untuk itu, UPA mengambil inisiatif untuk menganjurkan program yang lebih menarik iaitu aktiviti santai berbasikal di dalam kampus UMS agar peserta berpeluang bersukan sambil menghayati keindahan alam sekitar di dalam EcoCampus UMS.

“Selain aktiviti berbasikal, pertandingan mewarna, sudut pameran, gerai jualan dan kaunter pemeriksaan kesihatan dari Pusat Rawatan Warga UMS turut disediakan.

Hadir sama pada acara tersebut Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta yang turut menyempurnakan acara pelepasan peserta berbasikal.

JUMAAT, 29 MAC - 鶹Ƶ (UMS) sekali lagi memberikan sumbangan pandangan ilmiah dan perkongsian pengalaman kepada iltizam kebangsaan dalam pembangunan Pelan Induk dan Polisi Bandaraya Rendah Karbon Nasional (‘National Low Carbon Cities Masterplan and Policy Roadmap’) di bawah Projek Green Technology Application for the Development of Low Carbon Cities (GTALCC) menerusi satu Sesi Perbincangan Kumpulan Fokus (‘Focus Group Discussion’, FGD) khas untuk para pemegang taruh Sabah yang telah diadakan pada 25 Mac 2019; Isnin di Hotel Hilton Kota Kinabalu.

FGD tersebut telah dihadiri oleh Kueh Boon Hee @ Kelvin selaku Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Dr. Lillian Gungat, Ketua Program Kejuruteraan Awam Fakulti Kejuruteraan serta Dr. Wan Khairul Muzammil Abd. Rahim, Ketua Unit Penyelidikan Tenaga Fakulti Kejuruteraan. Dr. Lillian dan Dr. Wan Khairul Muzammil adalah dua orang tenaga pakar UMS yang banyak melibatkan diri dalam perihal pengurusan sistem pengangkutan dan tenaga secara lestari dalam kampus.

Projek GTALCC adalah satu usahasama di antara United Nations Development Programme (UNDP), Global Environment Facility (GEF) dan Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan dilaksanakan oleh Sustainable Energy Development Authority (SEDA). Projek GTALCC ini dibahagikan kepada tiga komponen, iaitu Sokongan Polisi, Kesedaran Awam dan Pembangunan Kapasiti serta Pelaburan dan Pembiayaan. Projek ini dijangkakan selesai pada penghujung 2020 dengan menghasilkan satu polisi yang boleh menggembleng setiap lapisan masyarakat Malaysia menuju usaha bersepadu membentuk persekitaran bandaraya yang rendah karbon dan lestari agar mampu menyahut seruan mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45% pada 2030.

Sesungguhnya inisiatif ini amatlah serasi dengan Agenda EcoCampus yang telah diangkat sejak 2013 demi menjadikan UMS sebagai titik rujukan dalam pembangunan lestari serantau malahan sedunia. Ia juga bersesuaian dengan komitmen UMS dalam penandaarasan kelestarian kampus dan alam sekitar melalui UI GreenMetric World University Ranking yang mana untuk 2018, UMS berada di tangga ke-71 di dunia (719 buah universiti dan 81 buah negara – dalam lingkungan 10% universiti paling lestari dan hijau di dunia) dan tangga ke-32 di dunia dalam Kategori Universiti Bandaraya

KHAMIS, 28 MAC – Penceramah bebas, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat menyampaikan perkongsian beliau bertajuk “Tips Cara Bahagia dan Produktif di Tempat Kerja” dalam satu program yang berlangsung di Galeri Majlis UMS.

Dalam perkongsiannya, beliau menjelaskan antara punca gagal untuk mencapai kebahagiaan di tempat kerja adalah kerana sifat tidak bersyukur dengan pekerjaan yang ada, selain cenderung untuk melihat kekurangan orang lain.

“Kebanyakan kakitangan juga mempunyai perasaan bahawa apa yang mereka miliki pada hari ini, yakni kedudukan atau jawatan yang disandang adalah hasil usaha gigih mereka, walhal mereka lupa bahawa segala punca rezeki yang dikurniakan adalah dengan izin tuhan.

“Justeru, belajarlah untuk menghargai apa yang dimiliki sama ada pekerjaan atau rezeki masing-masing, kerana masih ramai lagi orang yang kurang bernasib baik dan tidak menikmati apa yang kita miliki pada hari ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi lima perkara yang perlu dilakukan untuk lebih produktif dalam pekerjaan serta berjaya dalam kerjaya.

“Untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya perlulah bersedia untuk melalui satu proses yang panjang, kerana indahnya sesuatu kejayaan itu bukanlah kepada hasil yang dicapai tetapi liku-liku perjalanan dalam menuju kejayaan tersebut.

“Selain itu, dalam pekerjaan perlulah mempunyai komitmen, fokus terhadap kerja, menerapkan elemen disiplin dalam menunaikan tanggung jawab, serta istiqamah dalam setiap pekerjaan yang dilaksanakan,” jelas beliau.

Lebih 200 kakitangan UMS dari pelbagai jabatan, fakulti, pusat dan institut hadir dalam program anjuran Kesatuan Kakitangan Am UMS (KEKAUMAS) bersama Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar UMS.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Bahagian Perkhidmatan Akademik, Darwis Awang yang mewakili Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof, dan Presiden KEKAUMAS, Abdul Jalil Sapli.

RABU, 27 MAC – Penganjuran Biodiversity Festival @ ITBC anjuran Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) 鶹Ƶ (UMS) mampu menjadi platform terhadap memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan biodiversiti khususnya di negeri Sabah.

Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman berkata, penganjuran festival tersebut juga antara lain memberi ruang kepada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan aktiviti pemuliharaan biodiversiti di Sabah untuk bersama-sama menyampaikan pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan penjagaan alam sekitar, sekali gus mewujudkan interaksi di antara institut dengan masyarakat melalui pengisian aktiviti yang dapat memberikan semangat dan pengetahuan.

“Antara aktiviti yang diadakan sempena Biodiversity Festival 2019 adalah seperti Bird Watching, Fun Shooting Archery, Bengkel Fotografi, Young Scientist at Work, Board Games, Galeri BORNEENSIS Open Day,  ceramah berkenaan kepelbagaian Biologi, Spelling Bee, tayangan video, pertandingan mewarna, pertandingan pakaian ‘Mascot’ serta penyertaan oleh peniaga Food Trucks.

“Aktiviti utama pula adalah program Rakan BORNEENSIS yang menyasarkan penglibatan generasi muda dari sekolah rendah dan menengah dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kepada pelajar sekolah terhadap kepentingan pemeliharaan alam semula jadi ke arah persekitaran lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Biodiversity Festival @ ITBC 2019 dan Majlis Penutupan Rakan BORNEENSIS 2019 yang berlangsung di perkarangan bangunan IBTP, pagi tadi.

Tambah Dr. Monica, Biodiversity Festival 2019 yang terbuka kepada orang awam itu diharap mampu membawa manfaat kepada semua pihak lantas melahirkan generasi muda yang lebih mencintai alam semula jadi khusus kepada biodiversiti kerana alam flora dan fauna sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan seharian masyarakat.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin melalui teks ucapan perasmian yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam, Prof. Dr. Baba Musta berkata, pihak pengurusan UMS menyambut baik segala usaha dan pencapaian IBTP sebagai sumber rujukan berbagai pihak luar dan dalam negara mengenai hal-hal kepelbagaian biologi dan pemuliharaan.

“Melalui program Rakan BORNEENSIS yang telah dilaksanakan sejak 2015 misalnya memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai pelbagai ilmu serta kemahiran berkaitan dengan penghayatan kepelbagaian serangga, tumbuhan, mamalia, burung dan sebagainya.

“Setelah melaksanakan program ini selama tiga hari dengan penglibatan seramai 39 orang murid dari 12 sekolah menengah, 9 sekolah rendah dan 1 home school, saya melihat ini sebagai suatu perkembangan yang positif tahun ini.

“Sekiranya jumlah tersebut bertambah tahun hadapan, mungkin ada keperluan IBTP mengadakan program berkenaan di daerah-daerah lain di seluruh Sabah pula,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Prof. Dr. Baba Musta kemudiannya menyampaikan sijil peserta program Rakan BORNEENSIS kepada 39 peserta.