鶹Ƶ (UMS) dan SGS (Malaysia) Sdn. Bhd., sebuah syarikat perkhidmatan pemeriksaan dan makmal industri minyak dan gas yang terkemuka, hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menjalin kerjasama strategik dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu bagi mengekang hakisan saluran paip minyak mentah.
Majlis menandatangani MoA yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif, Canselori UMS itu disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor UMS, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree dan Ketua Bahagian Khidmat Minyak dan Gas, SGS Malaysia Sdn. Bhd., Kanthavel Renganathan.
Projek penyelidikan bertajuk “Nitrogen Sources Augmentation of Sulphate-Reducing Bacteria (SRB) for Reduction of Corrosive Hydrogen Sulfide (H₂S) in Crude Oil Pipelines” yang diketuai oleh Ts. Dr. Ahmad Asnawi Mus dari Program Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UMS, menerima pembiayaan IMaP (Industrial Matching Programme) Fasa 2 bernilai hampir RM288,000, iaitu RM260,531 dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sumbangan SGS sebanyak RM27,100.
Menurut Kasim inisiatif ini mencerminkan jalinan erat antara dunia akademik dan industri dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan negara.
“Kerjasama ini bukan sahaja akan memperkasa penyelesaian saintifik dalam mengurangkan hakisan mikrobiologi, tetapi juga mendorong pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran serta penggunaan bersama kemudahan makmal.
“Pendekatan kolaboratif ini selari dengan model Quintuple Helix yang mendukung agenda Ekonomi MADANI dan menyumbang kepada pembangunan mampan industri tenaga negara,” katanya.
Sementara itu, Kanthavel Renganathan berkata kolaborasi tersebut akan memperkukuh kepakaran SGS dalam penilaian risiko mikrobial dan membuka ruang kepada inovasi baharu yang menyokong operasi lebih selamat serta efisien.
Beliau turut menghargai visi kepimpinan UMS dan komitmen FST dalam membina perkongsian yang berimpak tinggi.
“Penyelidikan ini dijangka memberi manfaat besar kepada industri minyak dan gas menerusi pembangunan penyelesaian lestari bagi menangani cabaran hakisan, sekaligus memperkukuh keselamatan operasi dan integriti aset industri tenaga negara,” katanya.
UMS melalui FST kekal komited memperluas jaringan kerjasama strategik bersama industri, dalam misi memperkukuh daya saing penyelidikan serta pengantarabangsaan universiti.
Turun hadir Dekan FST, Profesor Dr. Jualang Azlan Gansau dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FST, Profesor Ts. Dr. Rodeano Roslee.