Berita /v6/index.php/ms/berita Thu, 02 Apr 2026 17:02:48 +0800 ms-my Malaysia Alami Cuaca Panas Akhir Monsun Timur Laut - Pensyarah Kanan UMS /v6/index.php/ms/berita/malaysia-alami-cuaca-panas-akhir-monsun-timur-laut-pensyarah-kanan-ums /v6/index.php/ms/berita/malaysia-alami-cuaca-panas-akhir-monsun-timur-laut-pensyarah-kanan-ums

Keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini disifatkan sebagai sebahagian daripada kitaran normal sistem monsun Malaysia, namun intensitinya boleh dipengaruhi oleh faktor global seperti perubahan iklim dan fenomena atmosfera semasa.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) 鶹Ƶ (UMS), Gs. Dr Lindah Roziani Jamru, berkata keadaan panas yang dirasai kini berlaku kerana Malaysia berada di penghujung Monsun Timur Laut dan bakal memasuki fasa peralihan monsun.

Menurut beliau, dalam tempoh ini, litupan awan dan taburan hujan berkurangan, sekali gus menyebabkan peningkatan suhu di kebanyakan kawasan.

“Secara asasnya, keadaan ini adalah normal dalam kitaran monsun Malaysia. Namun, tahap kepanasan yang dirasai boleh menjadi lebih ketara disebabkan faktor tambahan seperti perubahan iklim global dan fenomena atmosfera semasa,” katanya ketika ditemui media pada Jumaat.

Beliau turut menjelaskan bahawa fenomena global seperti El Niño memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca tempatan.

“El Niño lazimnya menyebabkan keadaan lebih panas dan kering kerana taburan hujan berkurangan, sekali gus meningkatkan suhu di Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata sesuatu keadaan hanya boleh diklasifikasikan sebagai gelombang haba sekiranya suhu melebihi 37 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

“Jika suhu berada sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius, ia dianggap sebagai tahap berjaga-jaga, manakala suhu melebihi 40 darjah Celsius dikategorikan sebagai gelombang haba ekstrem,” katanya yang juga merupakan Ketua Program Geografi FSSK UMS.

Mengulas mengenai implikasi jangka panjang, beliau menegaskan cuaca panas berpanjangan boleh memberi kesan serius terhadap sumber air, sektor pertanian dan kesihatan manusia.

“Antara kesannya termasuk penyusutan paras empangan, gangguan kepada hasil pertanian akibat kekurangan air, serta peningkatan risiko kesihatan seperti dehidrasi, strok haba dan penyakit berkaitan haba,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan tindakan bersama antara kerajaan dan masyarakat dalam menghadapi situasi cuaca panas ekstrem.

Di peringkat kerajaan, langkah seperti memperkukuh sistem amaran awal, meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air dan memperhebat kempen kesedaran awam perlu diberi perhatian.

“Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan memastikan pengambilan air mencukupi, mengurangkan aktiviti luar terutama pada waktu tengah hari serta menggunakan air dan elektrik secara berhemah,” katanya.

Tambah beliau, pendidikan geografi turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu cuaca dan iklim.

“Ia membantu masyarakat memahami hubungan antara aktiviti manusia dan perubahan iklim, sekali gus mendorong tindakan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

]]>
Pautan Berita Thu, 19 Mar 2026 15:42:26 +0800
Naib Canselor UMS Ingatkan Kakitangan dan Pelajar Berhati-Hati Semasa Pulang Beraya di Kampung /v6/index.php/ms/berita/naib-canselor-ums-ingatkan-kakitangan-dan-pelajar-berhati-hati-semasa-pulang-beraya-di-kampung /v6/index.php/ms/berita/naib-canselor-ums-ingatkan-kakitangan-dan-pelajar-berhati-hati-semasa-pulang-beraya-di-kampung

鶹Ƶ (UMS) hari ini mengeluarkan peringatan mesra kepada seluruh warga universiti, termasuk kakitangan akademik, pentadbiran, dan para pelajar, agar mengutamakan keselamatan di jalan raya sempena musim cuti Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Haji Mansor, menzahirkan keprihatinan beliau terhadap keselamatan warga universiti yang akan menempuh perjalanan jauh untuk pulang berhari raya di kampung halaman.

Beliau menasihatkan agar semua pihak mengambil langkah proaktif dalam merancang perjalanan masing-masing bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan keletihan melampau semasa memandu.

“Kepada warga UMS yang pulang ke kampung bersama keluarga tercinta, saya ingin ingatkan supaya berhati-hati di jalan raya dan sentiasa mengutamakan keselamatan.

“Pastikan perjalanan dirancang dengan baik, kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas,” pesan beliau.

Profesor Datuk Dr Kasim turut menyampaikan pesanan bahawa kepatuhan terhadap peraturan lalu lintas dan penyelenggaraan kenderaan yang baik adalah kunci kepada perjalanan yang selamat.

“Keselamatan diri hendaklah menjadi keutamaan kita agar semua dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan bersama keluarga tercinta.

“Pihak pengurusan UMS mendoakan agar seluruh warga universiti diberikan kelancaran dan keselamatan sepanjang perjalanan pergi dan balik, serta diharap dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana yang harmoni, meriah, dan selamat,” ujar beliau

]]>
Pautan Berita Thu, 19 Mar 2026 11:10:38 +0800
Dapur Siswa UMS Meriah, 150 Pelajar Sertai Aktiviti Rewang dan Iftar Bersama Pengurusan Universiti /v6/index.php/ms/berita/dapur-siswa-ums-meriah-150-pelajar-sertai-aktiviti-rewang-dan-iftar-bersama-pengurusan-universiti /v6/index.php/ms/berita/dapur-siswa-ums-meriah-150-pelajar-sertai-aktiviti-rewang-dan-iftar-bersama-pengurusan-universiti

Semangat gotong-royong dan ukhuwah terus subur di 鶹Ƶ (UMS) apabila kemudahan Dapur Siswa universiti itu dimanfaatkan sepenuhnya menerusi penganjuran Aktiviti Rewang sempena bulan Ramadan, di Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) di sini, baru-baru ini.

Program yang disusuli dengan Majlis Berbuka Puasa ini anjuran Pusat Pengurusan Non-Resident dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) UMS dengan kerjasama Pengurusan Kolej Kediaman, menghimpunkan kira-kira 150 pelajar yang masih meluangkan masa di kampus sebelum pulang bercuti.

Kemeriahan program mula dirasai seawal pagi apabila kakitangan PNRF, barisan pengurusan kolej kediaman, felo, dan para pelajar berganding bahu memerah keringat memasak dan menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa secara beramai-ramai.

Menjelang waktu berbuka, majlis diserikan dengan pengisian rohani menerusi sesi tazkirah yang disampaikan oleh pendakwah dari Pusat Islam UMS, Ustaz Mohd Zakri Mainang.

Dalam ceramahnya, beliau mengingatkan para hadirin tentang kepentingan menghayati nilai kesyukuran, mengamalkan kesederhanaan, serta mengambil peluang pada bulan Ramadan untuk memperkukuh ikatan silaturahim.

Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Raman Noordin. Beliau menzahirkan harapan agar inisiatif seumpama itu dapat dijadikan acara tradisi.

"Kita berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan bagi memperkukuh hubungan antara pihak pengurusan universiti, staf, dan pelajar.

"Ia secara tidak langsung menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan melalui aktiviti kebajikan dan kebersamaan di dalam kampus," katanya.

Hadir sama Pengarah PNRF, Stella @ Nurul Martini Gontol; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat; dan Pengarah Pusat Sukan, Ahmadi Bin Nurdin.

Yang turut hadir barisan Pengetua Kolej Kediaman serta Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Allen Paul Justinus.

Kemuncak program menyaksikan seluruh warga kampus menjamu selera dalam suasana yang cukup harmoni, sekali gus menterjemahkan simbol kebersamaan dan semangat kekeluargaan yang utuh di UMS. Para jemaah juga menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Dewan Serbaguna Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) UMS.

]]>
Pautan Berita Thu, 19 Mar 2026 11:07:23 +0800
Festival Ihya’ Ramadan JAKMAS KKTF UMS dapat Sambutan IPT Seluruh Negara dan Brunei Darussalam /v6/index.php/ms/berita/festival-ihya-ramadan-jakmas-kktf-ums-dapat-sambutan-ipt-seluruh-negara-dan-brunei-darussalam /v6/index.php/ms/berita/festival-ihya-ramadan-jakmas-kktf-ums-dapat-sambutan-ipt-seluruh-negara-dan-brunei-darussalam

Festival Ihya’ Ramadan 2026 (FIR’26) anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF), 鶹Ƶ (UMS) berjaya mencatat sambutan memberangsangkan apabila menarik penyertaan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara serta penyertaan antarabangsa dari Brunei Darussalam.

Program yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan itu dianjurkan secara hibrid, menggabungkan penglibatan fizikal dan dalam talian bagi memberi ruang kepada mahasiswa untuk terus menghayati pengisian rohani walaupun dalam suasana pembelajaran yang mencabar.

Antara pengisian utama program termasuk Quran Hour 4.0, bacaan Yasin, Talk With Us, agihan air balang dan kurma serta perkongsian ilmu melalui inisiatif Sharing Hadith di media sosial.

Penganjurannya itu turut melibatkan kolaborasi bersama Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PERMAFIS) UMS serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei.

Majlis Perasmian Penutupan FIR’26 disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Hj Mansor pada 13 Mac 2026, secara dalam talian melalui platform Zoom.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas komitmen tinggi dalam menjayakan program berimpak besar itu.

“Penganjuran ini membuktikan bahawa program anjuran kolej kediaman juga mampu mendapat sambutan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus mengangkat martabat institusi.

“Festival Ihya’ Ramadan merupakan program legasi JAKMAS KKTF UMS yang telah dianjurkan selama tiga tahun berturut-turut dan terus menunjukkan peningkatan dari segi penglibatan serta impak kepada mahasiswa.

“Pengisian seperti Quran Hour 4.0 yang melibatkan penyertaan wakil IPT seluruh Malaysia serta universiti luar negara merupakan satu pencapaian membanggakan dan wajar diteruskan pada masa hadapan.

“Program seperti ini bukan sahaja mengimarahkan Ramadan, malah memperkukuhkan amalan kerohanian dan nilai berjariah dalam kalangan mahasiswa,” ujarnya.

Untuk rekod, FIR’26 merupakan penganjuran kali ketiga yang dilaksanakan secara hibrid dan berjaya menarik penyertaan meluas daripada pelbagai IPT dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan UMS sebagai institusi yang aktif dalam pembangunan sahsiah mahasiswa.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS), Prof. Dr. Raman Noordin; Pengetua KKTF, Dr Abdul Khair Beddu Asis; Yang Dipertua JAKMAS KKTF, Velorianlex Juipen serta wakil-wakil daripada MPP UMS, PERMAFIS, dan wakil MPP Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Brunei.

]]>
Pautan Berita Wed, 18 Mar 2026 11:02:42 +0800
UMS Perkasa Tadbir Urus Tangkas, AI Jadi Teras Transformasi 2026 /v6/index.php/ms/berita/ums-perkasa-tadbir-urus-tangkas-ai-jadi-teras-transformasi-2026 /v6/index.php/ms/berita/ums-perkasa-tadbir-urus-tangkas-ai-jadi-teras-transformasi-2026

鶹Ƶ (UMS) memperkukuh langkah transformasi institusi dengan menekankan tadbir urus yang lebih tangkas serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama dalam Majlis Aspirasi Pendaftar 2026 baru-baru ini.

Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar berkata, pendekatan baharu itu selaras dengan keperluan semasa yang menuntut organisasi bergerak lebih pantas, responsif dan berasaskan data dalam menghadapi perubahan global serta perkembangan teknologi.

Menurut beliau konsep ‘A New Way of Working’ diperkenalkan bagi memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan melalui pengurangan birokrasi, mempercepat proses membuat keputusan serta menggalakkan inovasi dan kolaborasi dalam kalangan warga universiti.

“Pendekatan tadbir urus yang lebih tangkas membolehkan organisasi bertindak balas dengan cepat terhadap perubahan global dan teknologi, di samping meningkatkan kecekapan pentadbiran dan daya saing institusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat yang berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Webex dengan dihadiri lebih 1000 kakitangan pentadbiran UMS.

Dalam pada itu, Luqman turut menjelaskan kepentingan AI sebagai nadi pemboleh daya utama dalam transformasi pendidikan tinggi, meliputi aspek kurikulum, penyelidikan, tadbir urus serta pembangunan bakat.

“Semua warga universiti perlu bersedia untuk menguasai segala bentuk kemajuan teknologi, termasuk kemahiran mengumpul, menyusun dan menganalisis data untuk mencapai objektif tugasan dengan cekap dan lebih efisien,” ujarnya.

Dalam amanat yang sama, beliau juga menyeru seluruh warga UMS untuk bersama-sama mengurangkan kompleksiti kerja, mempercepat pelaksanaan serta memberi fokus kepada impak bagi merealisasikan aspirasi universiti sebagai ‘The Brain of Borneo’.

Tambah Luqman, setiap pencapaian universiti bukan sahaja disumbang oleh ahli akademik, malah melibatkan peranan besar kakitangan sokongan iaitu ‘unsung heroes’ yang menjadi tulang belakang kepada insitusi.

“Kejayaan dalam bidang akademik dan penyelidikan turut disokong oleh pelbagai lapisan warga termasuk pembantu am, pemandu, kerani, pembantu makmal, juruteknik serta pegawai pentadbiran yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

“Di sebalik setiap anugerah yang diterima, terdapat ramai individu yang bekerja keras tanpa mengharapkan pengiktirafan. Mereka inilah wira sebenar yang memastikan kelancaran operasi universiti,” ujar beliau.

Amanat turut menzahirkan komitmen UMS dalam memperkukuh kedudukan di peringkat nasional dan antarabangsa, seiring usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta kecemerlangan institusi secara menyeluruh.

]]>
Pautan Berita Tue, 17 Mar 2026 10:58:34 +0800
Penyelidik UMS Rekod Tiga Spesies Udang Karang Berduri Baharu /v6/index.php/ms/berita/penyelidik-ums-rekod-tiga-spesies-udang-karang-berduri-baharu /v6/index.php/ms/berita/penyelidik-ums-rekod-tiga-spesies-udang-karang-berduri-baharu

Institut Marin Borneo (IMB), 鶹Ƶ (UMS), merekodkan tiga spesies udang karang berduri (Panulirus spp.) dari perairan Sabah buat pertama kali, di mana dua daripadanya merupakan rekod baharu bagi Malaysia manakala satu lagi merupakan rekod baharu bagi Sabah.

Penemuan ini mengukuhkan status Sabah sebagai kawasan kepelbagaian biodiversiti marin bertaraf dunia.

Kajian yang diketuai oleh Penyelidik IMB, Profesor Madya Dr. Chen Cheng Ann bersama pelajar Sarjana Sains, Ng Wei-Ling, telah mengenal pasti tiga spesies udang karang berduri iaitu Panulirus homarus homarus, P. polyphagus dan P. femoristriga dari perairan pesisir Sabah.

Dua daripada spesies ini merupakan rekod baharu bagi Malaysia (P. femoristriga dan P. h. homarus), manakala satu spesies lagi (P. polyphagus) merupakan rekod baharu bagi Sabah.

Chen berkata penemuan ini signifikan kerana ia mengemas kini rekod biodiversiti marin Malaysia serta menekankan keperluan untuk memperkukuh pengurusan sumber perikanan di Sabah.

“Sebelum kajian ini, hanya tiga spesies udang karang berduri iaitu Panulirus ornatus, P. versicolor dan P. longipes diketahui terdapat di perairan Sabah sejak 2004.

“Penyelidikan kami kini telah menggandakan jumlah tersebut kepada enam spesies, sekali gus menunjukkan bahawa masih banyak biodiversiti marin Sabah yang belum diterokai.

“Dalam kajian berkaitan, pasukan kami turut merekodkan Panulirus stimpsoni dari Semenanjung Malaysia, sekali gus memperluaskan senarai semak udang karang berduri di peringkat kebangsaan,” katanya.

Tambah Chen, penyelidikan lanjut diperlukan bagi menyokong usaha pemuliharaan serta pengurusan mampan spesies yang baharu direkodkan tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa kajian berkenaan dijalankan dalam keadaan mencabar ketika pandemik COVID-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan serta akses yang terhad ke tapak lapangan dan komuniti nelayan.

“Walaupun berdepan pelbagai kekangan, kajian ini berjaya menggandakan kepelbagaian udang karang berduri yang diketahui di Sabah, termasuk dua spesies yang merupakan rekod baharu bagi Malaysia,” ujarnya.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor memuji kejayaan pasukan penyelidik yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam bidang sains marin serta mencerminkan kecemerlangan penyelidikan negara.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Dr. Chen dan Ng atas dedikasi serta ketabahan mereka dalam menjayakan penyelidikan ini,” katanya.

Sementara itu, Dekan IMB, Profesor Madya Dr. Faihanna Ching berkata penemuan tersebut turut mencerminkan kualiti dan kekuatan penyelidikan yang dilaksanakan di institut berkenaan.

Menurut beliau, IMB yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) telah dijenamakan semula kepada Institut Marin Borneo pada Januari 2026 dan kini memperluaskan fokus penyelidikan melalui penubuhan beberapa pusat penyelidikan baharu termasuk dalam bidang oseanografi.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC), Ken Kartina Khamis berkata penemuan tiga rekod baharu udang karang berduri tersebut menekankan kepentingan penyelidikan dan pendokumentasian berterusan sumber biologi Sabah.

“SaBC telah memberikan Lesen Akses bagi kajian ini di bawah nombor rujukan permit JKM/MBS.1000-2/2 JLD.13 (152) dan (153), dan kami berbesar hati melihat hasil yang begitu bermakna daripada penyelidikan ini.

“SaBC menggalakkan lebih ramai penyelidik menjalankan kajian biodiversiti di Sabah kerana setiap penemuan baharu akan mengukuhkan usaha merangka strategi pemuliharaan yang lebih berkesan bagi melindungi warisan semula jadi negeri ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr. Shuhadah Hj. Mustapha, penemuan tersebut penting bagi menyokong usaha pengurusan sumber perikanan negeri.

“Udang karang berduri merupakan antara kumpulan krustasea yang mempunyai nilai komersial tinggi, dan peningkatan kepelbagaian spesies yang diketahui menunjukkan bahawa protokol pengurusan perikanan perlu dikemas kini.

“Jabatan Perikanan Sabah akan mengambil kira penemuan ini dalam pelan pengurusan masa hadapan dan berharap dapat terus bekerjasama dengan UMS,” katanya.

Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr. Maklarin Lakim berkata penemuan tersebut memberikan justifikasi saintifik tambahan bagi memperkukuh strategi pemuliharaan di kawasan perlindungan marin utama seperti Taman Tun Mustapha dan Taman Tunku Abdul Rahman.

Beliau turut menyatakan komitmen Taman-Taman Sabah untuk terus bekerjasama dengan UMS dalam usaha memelihara dan melindungi biodiversiti marin negeri ini.

Sebelum ini, data mengenai kepelbagaian udang karang berduri di Sabah tidak dikemas kini sejak 2004, dan peningkatan jumlah spesies yang direkodkan menunjukkan bahawa lebih banyak biodiversiti marin berpotensi masih belum didokumentasikan di perairan pesisir dan pulau-pulau di negeri ini.

Pasukan penyelidik turut mencadangkan agar tinjauan biodiversiti diperluaskan, termasuk penggunaan alat molekul seperti environmental DNA (eDNA), serta memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan komuniti nelayan tempatan bagi memastikan sumber marin Sabah dapat diuruskan secara mampan untuk generasi akan datang.

Artikel yang diterbitkan

Penemuan daripada kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal berwasit berikut:

Ng W-L, Chen CA, Mustafa S, Leaw CP, Teng ST, Zakaria SNFB, Tuzan AD & Chan T-Y (2022). A new record of the spiny lobster, Panulirus femoristriga (von Martens, 1872) from the coastal waters of Malaysia, with revision of global distribution. Biodiversity Data Journal 10: e77973.

Ng W-L & Chen C-A (2023). A New Record of Panulirus homarus homarus from Malaysia Waters with its Molecular Phylogeny. Borneo Journal of Resource Science and Technology 13(2): 175–185.

Lesen akses telah diperoleh daripada Majlis Biodiversiti Sabah (SaBC) dengan nombor rujukan JKM/MBS.1000-2/2 JLD.13 (152) dan (153).

]]>
Pautan Berita Mon, 16 Mar 2026 10:49:44 +0800
UMS–José Rizal University Filipina Meterai Kerjasama Jaringan Akademik Serantau /v6/index.php/ms/berita/ums-jose-rizal-university-filipina-meterai-kerjasama-jaringan-akademik-serantau /v6/index.php/ms/berita/ums-jose-rizal-university-filipina-meterai-kerjasama-jaringan-akademik-serantau

鶹Ƶ (UMS) dan José Rizal University (JRU), Filipina memperkukuh kerjasama akademik serantau melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis yang berlangsung secara maya, baru-baru ini.

Kerjasama strategik yang diterajui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS bersama College of Hospitality and Tourism Management JRU itu menandakan fasa baharu hubungan akademik antara kedua-dua institusi setelah hampir sedekad menjalin kolaborasi.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pemeteraian MoU tersebut bukan sekadar satu formaliti, sebaliknya melambangkan pertemuan dua legasi akademik yang berkongsi aspirasi dalam memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara.

“Kerjasama ini menyokong usaha memperkukuh kedudukan UMS dalam pelbagai penarafan universiti global termasuk QS World University Rankings, Times Higher Education (THE) World University Rankings, UI GreenMetric World University Rankings serta penilaian Malaysia Research Assessment (MyRA).

“Sebagai universiti yang dikenali dengan ‘The Brain of Borneo’, UMS memainkan peranan sebagai pusat pemikiran strategik yang menyumbang kepada pembangunan ilmu, inovasi serta penyelesaian isu serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pemeteraian MoU antara UMS dan JRU yang diadakan secara hibrid di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Bangunan Canselori UMS.

Tambah Kasim, pemeteraian tersebut dijangka menjadi landasan untuk memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua universiti pada masa hadapan.

“Antara fokus kerjasama yang dirancang termasuk pelaksanaan penyelidikan bersama dalam bidang seperti ekonomi biru, transformasi digital dan pelancongan mampan.

Kedua-dua institusi turut meneroka pembangunan mikro-kredensial dan pemindahan kredit melalui pensijilan digital bagi membolehkan pelajar memperoleh kemahiran yang diiktiraf oleh kedua-dua universiti.

“Kerjasama ini juga berpotensi membuka laluan kepada pelaksanaan program pendidikan rentas negara (Transnational Education – TNE), termasuk pembangunan program ijazah bersama serta peluang latihan industri yang mampu merapatkan keperluan pasaran kerja antara Malaysia dan Filipina.

“Kita bukan sekadar mempersiapkan pelajar untuk pekerjaan hari ini, sebaliknya bersama-sama membentuk tenaga kerja masa hadapan yang berdaya saing di peringkat global,” tambah beliau.

Sementara itu, Pensyarah FPEP Profesor Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul berkata, hubungan akademik antara UMS dan JRU telah dibina sejak 2017 melalui pelbagai inisiatif termasuk penganjuran seminar kelestarian, program profesor pelawat serta jaringan profesional antara fakulti.

“Usaha berterusan tersebut akhirnya membawa kepada pemeteraian MoU yang akan memberi manfaat kepada staf dan pelajar kedua-dua institusi melalui pendedahan kepada pengalaman pembelajaran serta kemahiran dunia sebenar,” ujarnya.

Turut hadir Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor, Dr. Raman Noordin serta Dekan FPEP UMS, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim.

]]>
Pautan Berita Fri, 13 Mar 2026 16:00:55 +0800
Tiga Mahasiswa UMS Raih Empat Pengiktirafan dalam MyNext NPC /v6/index.php/ms/berita/tiga-mahasiswa-ums-raih-empat-pengiktirafan-dalam-mynext-npc /v6/index.php/ms/berita/tiga-mahasiswa-ums-raih-empat-pengiktirafan-dalam-mynext-npc

Tiga mahasiswa 鶹Ƶ (UMS) mengharumkan nama universiti dan negeri Sabah apabila mencatat kejayaan cemerlang dalam program MyNext Campus Ambassador 2025/2026 anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA).

Seramai 76 duta dipilih daripada 25 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan TVET MARA di seluruh negara, dengan UMS diwakili oleh tiga mahasiswa yang berjaya meraih empat pengiktirafan utama dalam MyNext National Pulse Challenge (NPC) 2025/2026.

Ketua Jabatan Graduate and Emerging Talent (GET) TalentCorp, Ardi Gunsuh berkata, kejayaan pasukan UMS mencerminkan aspirasi dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, bersedia menghadapi keperluan industri serta mempunyai pendedahan kerjaya yang lebih menyeluruh.

“Program MyNext Campus Ambassador merupakan inisiatif nasional TalentCorp yang bertujuan memperkasa kebolehpasaran graduan, memperluas akses kepada peluang kerjaya serta memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan industri.

“Ia berfungsi sebagai platform kepada mahasiswa untuk membangunkan kepimpinan, memahami ekosistem kerjaya serta memperluas akses kepada peluang latihan industri berstruktur.

“Inisiatif ini selari dengan usaha memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan industri, agar pembangunan bakat negara lebih responsif terhadap keperluan ekonomi masa hadapan,” katanya.

Dalam Fasa 1 pertandingan, pasukan UMS merekodkan 77 pendaftaran mahasiswa bagi MyNext End-Year Registration Challenge 2025/2026 sekali gus meraih tempat ketiga di peringkat kebangsaan.

Pencapaian tersebut diteruskan dalam MyNext NPC Fasa 4 apabila pasukan UMS bersama TVET MARA Bintulu yang mewakili Borneo Region mencatatkan 333 pendaftaran dan muncul sebagai naib johan keseluruhan menerusi anugerah Best Region Award.

Selain kejayaan berpasukan, wakil UMS turut meraih pengiktirafan individu apabila Nora Abiyana Gabra, pelajar Program Perniagaan Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), menerima anugerah Best Mentor Award.

Sementara itu, pelajar Program Sains Data, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Mohd Asran Lataga juga mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara Ambassador All-Stars Award.

Menurut Asran, kejayaan tersebut membuktikan bahawa mahasiswa Sabah mampu bersaing serta memimpin di peringkat nasional dalam agenda pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan.

“MyNext NPC bukan sekadar pertandingan, tetapi turut menjadi platform strategik untuk mengetengahkan kepentingan memperluas peluang latihan industri berbayar dan berstruktur, khususnya di Sabah,” ujarnya.

Hadir sama Ketua Pegawai Strategi Kumpulan (GCSO) Talent Corporation Malaysia Berhad, Nazrul Aziz.

]]>
Pautan Berita Thu, 12 Mar 2026 15:54:22 +0800
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Dilantik Ahli Program CEO@Faculty FST UMS /v6/index.php/ms/berita/ketua-pegawai-eksekutif-sabah-electricity-dilantik-ahli-program-ceo-faculty-fst-ums /v6/index.php/ms/berita/ketua-pegawai-eksekutif-sabah-electricity-dilantik-ahli-program-ceo-faculty-fst-ums

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj. Jaafar dilantik sebagai ahli Program CEO@Faculty di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), 鶹Ƶ (UMS).

Menurut kenyataan UMS, pelantikan tersebut disampaikan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam satu acara yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif Bangunan Canselori UMS, pada Isnin.

“Program CEO@Faculty ini merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bagi merapatkan jurang antara dunia akademia dan industri.

“Program ini menghubungkan ketua pegawai eksekutif serta pemimpin industri dengan institusi pengajian tinggi bagi berkongsi pengalaman kepimpinan, memberi bimbingan kepada pensyarah dan pelajar serta menyumbang kepada pembangunan kurikulum yang lebih selari dengan keperluan industri semasa.”

Demikian menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan di sini, pada Rabu. Turut hadir menyaksikan penyampaian pelantikan itu Pengerusi Lembaga Pengarah Sabah Electricity, Saadiah Aziz.

Dalam pada itu, UMS dalam kenyataan yang sama memberitahu, pelantikan Datuk Yaakob sebagai ahli Program CEO@Faculty dilihat bertepatan dengan kekuatan fakulti FST dalam bidang sains, teknologi dan kelestarian alam sekitar, khususnya dalam pembangunan teknologi tenaga serta penerokaan penggunaan tenaga hijau.

“Melalui program ini, FST UMS berhasrat memperkukuh hubungan strategik dengan industri tenaga, khususnya Sabah Electricity, bagi memperluas kolaborasi dalam pembangunan program akademik baharu, peluang penyelidikan serta inovasi termasuk pembangunan modal insan yang berdaya saing.

“Selain memberikan pandangan industri dalam pembangunan kurikulum dan aktiviti akademik, Datuk Yaakob juga dijangka terlibat dalam beberapa inisiatif bersama pelajar dan pensyarah.

“Antaranya termasuk sesi perkongsian kepimpinan industri, perbincangan strategik berkaitan sektor tenaga serta penerokaan peluang kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan teknologi tenaga lestari.

“Pelantikan ini juga diharap membuka lebih banyak ruang kerjasama antara UMS dan industri dalam usaha menyokong agenda pembangunan tenaga mampan serta melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran industri masa hadapan, khususnya di Sabah,” tambah kenyataan itu lagi.

Turut hadir Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Prof. ChM. Ts. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri; Dekan FST, Prof. Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee; Timbalan Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri UMS, Prof. Madya Dr. Chin Pie Yee; dan Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FST, Ts. Dr. Mohamad Zul Hilmey Makmud.

Hadir sama Pengurus Besar (Pengurusan Aset Penghantaran) Sabah Electricity, Ir. Ts. Mohammad Fauzi Awang dan Ketua (Strategi Penghantaran), Ir. Ts. Sudalli Sabtuahim.

]]>
Pautan Berita Wed, 11 Mar 2026 15:42:11 +0800
Naib Canselor UMS Ingatkan Mahasiswa Berwaspada Dengan Cuaca Tidak Menentu Semasa Cuti Semester /v6/index.php/ms/berita/naib-canselor-ums-ingatkan-mahasiswa-berwaspada-dengan-cuaca-tidak-menentu-semasa-cuti-semester /v6/index.php/ms/berita/naib-canselor-ums-ingatkan-mahasiswa-berwaspada-dengan-cuaca-tidak-menentu-semasa-cuti-semester

Naib Canselor 鶹Ƶ (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor mengingatkan para mahasiswa universiti itu supaya sentiasa berwaspada terhadap keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, khususnya ketika mereka sedang menikmati cuti semester.

Beliau menasihatkan para pelajar agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri, terutama dalam keadaan hujan lebat berterusan yang sedang melanda beberapa kawasan di negeri Sabah.

"Elakkan sebarang aktiviti di kawasan berhampiran sungai, kawasan rendah yang mudah dinaiki air serta kawasan yang berisiko banjir.

"Keadaan cuaca yang tidak menentu boleh meningkatkan risiko berlakunya banjir kilat, tanah runtuh serta gangguan perjalanan, sekali gus memerlukan para pelajar untuk lebih berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti harian tidak kira di mana sahaja termasuk di kampung halaman," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada Isnin mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan Tahap Waspada di beberapa kawasan di Sabah bermula 10 Mac (Selasa) sehingga 11 Mac 2026 (Rabu).

Antara kawasan yang diramalkan terjejas termasuk Pantai Barat (Ranau), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.

Menurut ramalan tersebut, hujan berterusan itu berpotensi menyebabkan kejadian banjir kilat, kenaikan paras sungai serta gangguan perjalanan di kawasan yang terlibat.

Justeru, Prof Datuk Kasim menasihatkan semua pelajar supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri sepanjang cuti semester ini.

"Saya menggesa para pelajar supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkaitan keadaan cuaca dan mematuhi nasihat pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

"Sila tangguhkan sebarang aktiviti luar yang berisiko, khususnya di kawasan berhampiran sungai atau lokasi yang berpotensi dilanda banjir," katanya.

Dalam masa yang sama, Prof Datuk Kasim turut memberitahu bahawa pihak universiti sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar, khususnya mereka yang mungkin terjejas akibat bencana banjir atau keadaan cuaca buruk.

“Sekiranya terdapat pelajar yang terkesan akibat banjir atau menghadapi kesukaran kerana keadaan cuaca, sila hubungi pihak universiti melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP),” katanya.

Beliau berharap semua mahasiswa UMS sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh cuaca tidak menentu ini serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.

]]>
Pautan Berita Tue, 10 Mar 2026 15:39:24 +0800