鶹Ƶ

Ibu Bapa Sebak Terima Skrol Anumerta

Cetak

Suasana Majlis Konvokesyen 鶹Ƶ (UMS) bertukar sayu apabila pasangan ibu bapa naik ke pentas untuk menerima skrol ijazah Anumerta bagi pihak Allahyarhamah Farah Hasanah Abdul Jaid @ Abdul Kaid sebagai tanda penghormatan terakhir.

Allahyarham Farah, 23, anak kepada pasangan Abdul Jaid @ Abdul Kaid, 58, dan Kamalahan Musli, 52, meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang pada 24 Julai tahun lalu, sekali gus menutup tirai perjalanan akademik dan cita-cita besarnya dalam dunia teknologi negara.

Berasal dari Lahad Datu, Allahyarhamah dikenali sebagai seorang yang sangat peramah, mudah didekati dan mempunyai ramai rakan sepanjang tempoh pengajiannya.

Menurut Abdul Jaid, Allahyarhamah seorang yang ceria dan mesra seperti adik-beradiknya yang lain, namun mula berjauhan dari keluarga apabila melanjutkan pelajaran ke UMS.

Beliau berkata keadaan kesihatan Allahyarhamah mula merosot sekitar tahun 2023.

Kamalahan, turut mengesahkan keadaan Allahyarhamah dan berkata “tahun satu dan dua dia masih kuat, tapi bila masuk tahun tiga, kesihatannya makin merosot.”

Ayahnya berkata lagi, “dia buat dialisis peritoneal sendiri di rumah, tapi tidak sampai sebulan pun, keadaan dia begitu cepat berubah.”

“Ubatnya pun tidak sempat habis sebab keadaannya (kesihatan) yang terlalu cepat merosot.” tambah ibunya.

Dalam keluarga, Allahyarhamah sangat rapat dengan kakaknya, Farah Hazimah yang kini sedang mengikuti program Sarjana di UMS.

Allahyarhamah amat meminati bidang Sains Data dan bercita-cita membangunkan satelit untuk Malaysia, suatu impian yang sering diceritakan kepada keluarganya.

Pasangan Abdul Jaid dan Kamalahan turut kehilangan anak sulung pada tahun 2020 akibat kemalangan, namun Allayarhamah sering mengingatkan ibu bapanya agar terus tabah.

Mengimbau kembali kata-kata Allahyarhamah, ibunya berkata Farah selalu mendoakan kesihatan bagi kedua orang tuanya.

Allahyarhamah Farah dikenang sebagai seorang pelajar yang aktif berpersatuan tetapi tetap mengutamakan akademiknya.

Kehilangannya meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan-rakan dan pensyarah yang mengenalinya sebagai seorang pelajar yang berdedikasi tinggi serta berjiwa besar.

(artikel disediakan oleh Rachel Annatasha Hilarius, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)