鶹Ƶ (UMS) melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) telah memeterai satu Surat Niat (LoI) dengan Club Med Borneo (Golden Sands Beach Development Sdn. Bhd.), sebuah pusat peranginan bertaraf lima bintang yang sedang dibangunkan di Kuala Penyu, Sabah.
Kerjasama itu menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh jaringan strategik antara UMS dengan industri bertaraf antarabangsa, seiring dengan aspirasi universiti untuk memperluas pengiktirafan global dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan bakat.
Menerusi LoI tersebut, beberapa ruang kerjasama akan diterokai, termasuk penyediaan peluang latihan amali serta pengalaman industri sebenar kepada pelajar UMS.
Turut diberi fokus adalah perkongsian pengetahuan melalui penganjuran seminar, persidangan, bengkel serta aktiviti akademik dan penyelidikan bersama.
Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim berkata, kerjasama tersebut merupakan platform strategik yang akan memberi nilai tambah kepada pelajar UMS dalam bidang hospitaliti antarabangsa.
“Kolaborasi ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar untuk menimba pengalaman dunia sebenar, malah memperkukuh hubungan UMS dengan industri pelancongan global.
“Ini sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran global,” katanya.
Tambahnya lagi, kerjasama itu dijangka mampu membuka lembaran baharu dalam pembangunan modal insan, penyelidikan dan inovasi dalam sektor pelancongan serta hospitaliti khususnya di Sabah.
Club Med Borneo yang dibangunkan di kawasan seluas 41 ekar di Kampung Tanjung Aru, Kuala Penyu, dijangka siap pada tahun 2026.
Pusat peranginan berkenaan akan menampilkan lebih 400 bilik, restoran, gourmet lounge, bar, pentas hiburan serta pelbagai kemudahan rekreasi lain.
Projek berprestij itu bukan sahaja dijangka menjadi tarikan utama pelancongan di Sabah, malah turut membuka peluang luas kepada pelajar UMS untuk terlibat secara langsung dalam operasi hospitaliti bertaraf dunia.