- Arkib-rencana/v5/ms/featured-bmThu, 21 Aug 2025 08:53:40 +0800 - Open Source Content Managementms-mywebtech@ums.edu.my (Laman Rasmi UMS)Penglibatan Politik Warga Universiti: Antara Hak dan Hukuman/v5/ms/featured-bm/17555-penglibatan-politik-warga-universiti-antara-hak-dan-hukuman/v5/ms/featured-bm/17555-penglibatan-politik-warga-universiti-antara-hak-dan-hukuman

[ARTIKEL BIUMS Siri 10/2025]

Oleh: Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS

Sebagai penjawat awam dalam institusi pendidikan tinggi, warga universiti perlu memahami bahawa penglibatan politik bukanlah ruang kebebasan mutlak. Ia tertakluk kepada Peraturan 20 Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib & Surcaj) 2000 [Akta 605] yang menetapkan sempadan jelas antara hak individu dan tanggungjawab profesional.

Pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) dilarang keras daripada terlibat secara aktif dalam politik. Ini termasuk membuat kenyataan awam yang berat sebelah, menyebar bahan politik, merayu undi, bertanding atau memegang jawatan dalam parti politik. Bahkan tindakan seperti ‘like’, ‘share’, atau ‘retweet’ kandungan politik yang memihak kepada mana-mana parti boleh dianggap sebagai pelanggaran disiplin.

Bagi Kumpulan Pelaksana, penglibatan politik dibenarkan dengan syarat mendapat kelulusan bertulis daripada Lembaga atau Ketua Jabatan. Namun, kegiatan politik mesti dilakukan di luar waktu pejabat, tidak mengganggu tugas rasmi, dan tidak menggunakan pengaruh atau maklumat rasmi untuk kepentingan politik. Kegagalan mematuhi syarat ini boleh menyebabkan kelulusan ditarik balik serta dikenakan tindakan tatatertib.

Lebih membimbangkan, pegawai yang mahu bertanding dalam pilihan raya perlu meletakkan jawatan atau bersara pilihan. Jika kalah, mereka mungkin tidak akan diterima semula ke dalam perkhidmatan awam. Ini bukan sekadar risiko kerjaya, tetapi satu keputusan hidup yang tidak boleh dipandang ringan.

Jangan Ambil Mudah!

Memasang bendera parti, membantu pasangan berkempen, atau menghadiri program rasmi parti politik boleh ditafsirkan sebagai pelaksana politik. Pegawai yang melanggar peraturan ini bukan sahaja berdepan tindakan tatatertib, malah boleh kehilangan kerjaya dan reputasi yang dibina bertahun lamanya.

Seruan Bertindak

Semak semula tindakan anda di media sosial dan dalam komuniti. Fahami kedudukan anda dalam struktur perkhidmatan. Jika ragu-ragu, rujuk kepada Ketua Jabatan atau Bahagian Integriti. Jangan biarkan keterujaan politik mengaburi tanggungjawab anda sebagai penjawat awam.

Tanggungjawab Kita Bersama Sebagai warga universiti, kita bukan sekadar pendidik dan pentadbir, kita adalah penjawat awam yang memikul amanah negara. Kesetiaan kepada perkhidmatan dan integriti dalam tindakan adalah asas kepada maruah institusi. Akta 605 bukan sekadar undang-undang, ia adalah perisai kepada kepercayaan rakyat terhadap kita.

Bertindak dengan bijak. Berkhidmat dengan setia. Jangan gadaikan masa depan demi politik sementara.

]]>
nizam88@ums.edu.my (Mohd Affzanizam Mohd Amin (Seksyen Komunikasi Strategik, BPK))Featured BMFri, 15 Aug 2025 08:38:44 +0800
Aduan Integriti: Tanggungjawab Bersama Membina Masyarakat Berintegriti/v5/ms/featured-bm/17458-aduan-integriti-tanggungjawab-bersama-membina-masyarakat-berintegriti/v5/ms/featured-bm/17458-aduan-integriti-tanggungjawab-bersama-membina-masyarakat-berintegriti

Oleh : Darwis Awang,Pengarah Bahagian Integriti UMS

Integriti merupakan asas kepada pembangunan sesebuah organisasi yang lestari dan adil. Dalam konteks UMS, budaya melaporkan kes integriti, rasuah dan salah laku bukan sekadar tanggungjawab moral, tetapi kewajipan sivik yang perlu dipikul bersama oleh semua lapisan warga, terutamanya pensyarah, pegawai, kakitangan sokongan dan pelajar sebagai tunjang utama pembangunan Universiti.

Mengapa Melaporkan Itu Penting?

Melaporkan kes integriti adalah mekanisme kawalan yang berkesan dalam menjaga ketelusan dan kebertanggungjawaban institusi. Apabila kes rasuah atau salah laku tidak dilaporkan, ia akan berleluasa dan akhirnya menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam. Bagi pensyarah, melaporkan kes integriti membantu mengekalkan kredibiliti institusi pengajian tinggi sebagai pusat kecemerlangan akademik yang bebas daripada unsur-unsur negatif.

Pegawai dan kakitangan sokongan pula memainkan peranan kritikal dalam memastikan perkhidmatan awam yang berkualiti dan adil kepada rakyat. Dengan melaporkan sebarang bentuk penyelewengan, mereka membantu memelihara integriti sistem pentadbiran UMS. Manakala pelajar, sebagai generasi pemimpin masa depan, perlu memahami kepentingan budaya melaporkan ini sebagai sebahagian daripada pembentukan nilai-nilai murni.

Kesan Positif Pelaporan

Budaya melaporkan yang sihat membawa pelbagai kesan positif. Pertama, ia bertindak sebagai mekanisme pencegahan yang berkesan. Apabila individu sedar bahawa tindakan mereka mungkin dilaporkan, mereka akan lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas. Kedua, pelaporan membantu pihak berkuasa mengenal pasti kelemahan sistem dan mengambil langkah pembetulan yang sewajarnya.

Selain itu, budaya melaporkan turut memperkukuhkan nilai integriti dalam organisasi dan masyarakat. Ia menunjukkan komitmen bersama untuk menolak rasuah dan salah laku, serta mewujudkan persekitaran kerja dan pembelajaran yang lebih sihat dan produktif.

Cabaran dan Jalan Penyelesaian

Walaupun kepentingan melaporkan jelas, masih terdapat cabaran seperti ketakutan terhadap tindakan balas dan kurang keyakinan terhadap sistem aduan. Untuk mengatasi ini, institusi perlu memastikan perlindungan pemberi maklumat dan ketelusan dalam proses siasatan.

Kesimpulan

Melaporkan kes integriti bukan tindakan khianat, tetapi bukti kematangan dan tanggungjawab sebagai warganegara. Dengan menyatukan usaha pensyarah, pegawai, kakitangan sokongan dan pelajar dalam budaya melaporkan yang bertanggungjawab, UMS dapat terus maju sebagai Universiti Awam yang berintegriti tinggi dan dipercayai di mata dunia.

]]>
nizam88@ums.edu.my (Mohd Affzanizam Mohd Amin (Seksyen Komunikasi Strategik, BPK))Featured BMFri, 25 Jul 2025 02:27:30 +0800
Pengurusan Ancaman Zoonotik di Sabah: Mengapa Pendekatan ‘One Health’ Semakin Penting/v5/ms/featured-bm/17195-battling-zoonotic-threats-in-sabah-why-one-health-matters-now-more-than-ever/v5/ms/featured-bm/17195-battling-zoonotic-threats-in-sabah-why-one-health-matters-now-more-than-ever

Artikel oleh:

Prof. Dr. Vijay Kumar & Prof. Madya Dr. Zarina Amin

Institut Penyelidikan Bioteknologi

鶹Ƶ

zamin@ums.edu.my

Borneo merupakan kawasan luas yang kaya dengan biodiversiti yang menakjubkan : hutan hujan yang subur, sungai sungai dan pelbagai hidupan liar yang telah sekian lama wujud bersama komuniti manusia. Namun, selaras dengan pembangunan pesat di Sabah, interaksi di antara manusia, ternakan dan hidupan liar semakin meningkat. Sekali gus ini meningkatkan risiko penyakit zoonotik, iaitu penyakit yang berpunca daripada patogen yang berpindah dari haiwan ke manusia.

Kejadian pandemik COVID-19 sekitar 2020 - 2022 telah meningkatkan aktiviti pemantauan biologi (biosurveillance) secara global pada skala yang lebih besar. Walaubagaimanapun, amalan langkah berjaga-jaga sebagai pengajaran daripada krisis tersebut telah mula dilupakan oleh ramai pihak. Di wilayah seperti Sabah, di mana interaksi manusia dan hidupan liar berlaku dengan sangat kerap, pemantauan biologi perlu dikekalkan sebagai keutamaan oleh jabatan-jabatan Kerajaan yang terlibat. Ini adalah kerana penularan penyakit berjangkit bukan sahaja mampu mengganggu kesihatan awam, tetapi seperti yang terlihat dari pandemik COVID-19, ia juga boleh memberikan impak negatif dan menjejaskan sektor pelancongan, pertanian serta usaha pemuliharaan biodiversiti.

Ancaman Penyakit Zoonotik yang Semakin Meningkat di Borneo

Di antara penyakit zoonotik yang paling banyak didokumentasikan di Borneo merupakan penyakit malaria Plasmodium knowlesi dari perumah asal monyet macaque yang disebar melalui nyamuk. Dengan peningkatan aktiviti komuniti luar bandar Sabah yang semakin banyak berkembang ke kawasan hutan dan sekitarnya, risiko pendedahan kepada monyet macaque sekali gus kepada penyakit ini turut meningkat. Lebih membimbangkan, sejak kebelakangan ini penyakit malaria zoonotik ini merekodkan jumlah kes tertinggi di negeri Sabah.

Selain malaria yang dibawa oleh monyet, burung kelawar di Sabah turut dikenal pasti sebagai pembawa pelbagai jenis koronavirus baru mirip SARS dan COVID-19. Penemuan ini menonjolkan risiko yang mungkin dihadapi pelancong dan penduduk tempatan yang mengunjungi gua -gua yang dihuni oleh burung kelawar.

Industri ternakan ayam di Sabah juga pernah berhadapan dengan wabak influenza burung patogenik tinggi (H5N1) pada tahun 2018. Virus ini merebak dengan cepat sehingga ribuan ayam terpaksa dihapuskan. Walaupun tiada kes jangkitan manusia dilaporkan, kehadiran antibodi terhadap virus tersebut di dalam kalangan individu tertentu mencadangkan kemungkinan wujudnya penularan zoonotik terdahulu.

Di Sarawak pula, penyakit anjing gila (rabies) setakat ini masih kekal sebagai penyumbang kepada hampir semua kes berkaitan di Malaysia. Memandangkan Sabah berkongsi sempadan dengan Sarawak, maka segala usaha vaksinasi serta aktiviti pemantauan penyakit berjangkit yang berterusan amat penting untuk mencegah penularan ‘rabies’ di negeri ini.

Cabaran Baharu Kesihatan Haiwan

Penyakit yang menjejaskan ternakan dan hidupan liar turut menjadi perhatian. Penyakit ‘Newcastle Disease ’ dan Bronkitis Berjangkit telah menjejaskan industri ayam pedaging di Sabah, menjadikan vaksin sedia ada kurang berkesan. Walaupun ayam yang dijangkiti tidak secara langsung mengancam manusia, kemerosotan ternakan memberi kesan kepada keselamatan makanan dan pendapatan penternak.

Hidupan laut juga tidak terkecuali. Di Pulau Mabul dan perairan sekitarnya, semakin banyak penyu laut dilaporkan menghidap fibropapillomatosis — sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus herpes, yang menyebabkan ketumbuhan melemahkan dan memerlukan campur tangan manusia untuk kelangsungan hidup. Survelan kesihatan juga penting di kawasan perairan Sabah yang masih belum tercemar bagi melindungi spesies terancam ini.

Selain itu, Demam Babi Afrika (ASF) telah memusnahkan populasi babi liar dan ternakan di Sabah. Walaupun ASF tidak menjangkiti manusia, penyebarannya yang pantas dalam kalangan Sus barbatus (babi berjanggut) memberi impak besar dari segi ekologi dan ekonomi. Kehilangan haiwan ini boleh mengganggu ekosistem serta menjejaskan amalan memburu tradisional masyarakat peribumi.

Jangkitan Kuman dari Tanah Air dan Pembawa Tikus

Penyakit seperti melioidosis yang dibawa oleh bakteria patogenik Burkholderia pseudomallei, yang merebak di Sabah berupaya menjangkiti manusia serta hidupan liar termasuk orang utan dan monyet macaque. Ancaman lain yang berterusan ialah leptospirosis: sejenis jangkitan

bakteria yang merebak melalui air tercemar dan sering dibawa oleh tikus. Bakteria Bartonella yang berkaitan dengan tikus juga didapati sangat meluas di kawasan bandar di Borneo. Ancaman tersembunyi ini menekankan keperluan pemantauan alam sekitar secara berterusan.

Tingkah Laku Manusia dan Penularan Penyakit

Antara cabaran terbesar dalam pencegahan penularan wabak penyakit merupakan aktiviti manusia sendiri. Kegiatan pemburuan haiwan secara haram dan perdagangan hidupan liar masih berleluasa walaupun terdapat beberapa usaha penguatkuasaan yang dijalankan selain dari usaha-usaha pemuliharaan haiwan dari badan badan terlibat. Hidupan liar seperti tenggiling masih diperdagangkan secara senyap di pasar-pasar tempatan. Walaupun belum ada virus zoonotik yang dikenal pasti di dalam tenggiling di Sabah setakat ini, risiko penularan jangkitan penyakit tetap tinggi. Penguatkuasaan yang lebih tegas amat diperlukan untuk membendung aktiviti ini.

Melihat ke hadapan, projek-projek pembangunan luar bandar berskala besar sebagai contoh pembinaan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur, dijangka mampu menggugat habitat hidupan liar secara besar-besaran. Di simpang itu peningkatan pembalakan, peluasan pertanian dan pembinaan empangan hidro dijangka mampu memburukkan konflik manusia-hidupan liar serta meningkatkan risiko penularan penyakit.

Langkah Ke Hadapan: Memperkukuh Biosurvelan One Health

Aktiviti pemantauan ‘biosurveillance’ di Sabah pada waktu ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan, institusi akademik serta organisasi pemuliharaan; walaubagaimanapun kekangan2 seperti dana yang terhad, peralatan usang dan kurang penyelarasan mampu menjejaskan kelancaran aktiviti pemantauan ini. Pendekatan One Health — yang menggabungkan kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar — perlu diperkukuh untuk mengatasi cabaran ini.

Sehubungan dengan itu, lima strategi utama telah dicadangkan:

  1. Pemantauan Genomik dan Analitikal Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence):Menggunakan penjujukan generasi baharu, pemantauan DNA persekitaran (eDNA) dan kecerdasan buatan untuk mengesan patogen baru.
  1. Libat Urus dan Pendidikan Komuniti:Memberi pendidikan kepada komuniti luar bandar dan masyarakat peribumi mengenai risiko zoonotik dan strategi pencegahan.
  1. Penguatkuasaan Lebih Tegas terhadap Pemburuan Haram:Mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan dan NGO untuk membanteras perdagangan hidupan liar.
  2. Dasar Guna Tanah Lestari:Menggalakkan pembangunan berasaskan pemuliharaan bagi mengurangkan konflik manusia-hidupan liar.
  1. Penyepaduan Dasar dan Peningkatan Pembiayaan:Memastikan sumber tambahan untuk biosurvelan dan mengintegrasikan pendekatan One Health dalam dasar kebangsaan.

Penutup

Biodiversiti Sabah merupakan khazanah dunia, namun pada masa yang sama menjadi titik panas kepada kemunculan penyakit berjangkit baharu. Ketika aktiviti manusia terus mengubah landskap dan ekosistem, usaha biosurvelan proaktif dan pengukuhan pendekatan ‘One Health’ amat diperlukan.

Kami menyeru penubuhan satu pasukan petugas antara disiplin yang merangkumi pakar kesihatan awam, pemuliharaan, virologi, teknologi AI dan pembuat dasar. Dengan menggabungkan kepakaran dan memanfaatkan teknologi terkini, Sabah boleh melindungi rakyatnya dan khazanah biodiversitinya untuk generasi akan datang.

]]>
nizam88@ums.edu.my (Mohd Affzanizam Mohd Amin (Seksyen Komunikasi Strategik, BPK))Featured BMFri, 06 Jun 2025 07:20:16 +0800
Risiko Integriti: Kenapa Salah Laku Berlaku?/v5/ms/featured-bm/17283-risiko-integriti-kenapa-salah-laku-berlaku/v5/ms/featured-bm/17283-risiko-integriti-kenapa-salah-laku-berlaku

[ARTIKEL BIUMS Siri 3/2025]

Oleh: Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS

Risiko integriti merupakan salah satu ancaman paling senyap tetapi paling berbahaya dalam sesebuah organisasi.

Ia bukan hanya soal rasuah semata-mata, tetapi meliputi salah guna kuasa, penyelewengan, konflik kepentingan, dan kegagalan mematuhi prinsip etika kerja.

Di Malaysia, termasuk institusi pendidikan, risiko integriti sering berlaku disebabkan oleh beberapa faktor utama atau dikenali sebagai “d” risiko integriti.

  1. Kepimpinan yang Tidak Menunjukkan Teladan Integriti

Budaya integriti bermula dari atas. Apabila pemimpin organisasi tidak menunjukkan teladan yang baik seperti bersikap pilih kasih, mengabaikan prosedur, atau memandang ringan terhadap salah laku, staf di bawah akan ikut cara yang sama. Jika pengurusan tertinggi tidak konsisten dalam mempraktikkan nilai integriti, mesej kepada warga kerja adalah bahawa etika boleh dikompromi demi kepentingan.

  1. Sistem Kawalan Dalaman yang Lemah

Ketiadaan semakan atau audit yang teliti dalam sistem kewangan, pentadbiran, atau perolehan membuka ruang besar untuk penyelewengan berlaku. Jika prosedur tidak dipatuhi atau tiada pemantauan berkala, kemungkinan besar salah laku akan berulang tanpa disedari. Contohnya, tuntutan perjalanan yang tidak sah atau penyalahgunaan peruntukan penyelidikan.

  1. Tekanan Prestasi dan Ganjaran Tidak Seimbang

Apabila staf dikejar dengan sasaran KPI yang tinggi tanpa sokongan sewajarnya, mereka mungkin memilih jalan pintas seperti memalsukan laporan atau melanggar garis panduan semata-mata untuk kelihatan berjaya. Dalam konteks universiti, tekanan ini mungkin datang dari tuntutan penerbitan, penyelidikan, dan pencapaian akademik.

  1. Ketiadaan Mekanisme Pelaporan yang Selamat

Ramai pekerja takut untuk melaporkan kes salah laku kerana bimbang akan dikenakan tindakan balas. Tanpa saluran aduan yang telus, selamat, dan dipercayai, kesalahan akan terus berlaku dalam diam. Ini menyebabkan budaya takut dan membiarkan salah laku berkembang.

  1. Konflik Kepentingan Tidak Diurus

Apabila individu terlibat dalam membuat keputusan tanpa mendedahkan hubungan peribadi atau kepentingan lain, risiko integriti sangat tinggi. Contoh paling mudah adalah apabila staf memberi sokongan kepada vendor, pelajar, atau rakan yang ada kaitan tanpa pengisytiharan yang sah.

Kesimpulannya, memahami punca utama risiko integriti sangat penting untuk memperbaiki budaya organisasi.

Justeru mana-mana organisasi perlu menumpukan kepada pembinaan sistem kawalan yang kukuh, memperkukuh kepimpinan berintegriti, dan menyediakan saluran pelaporan yang mesra dan dilindungi.

Integriti bukan hanya tanggungjawab Bahagian unit integriti, ia tanggungjawab semua.

(Artikel ini merupakan usaha berterusan Bahagian Integriti UMS dalam memupuk budaya integriti di kalangan warga kampus. Pengukuhan Integriti dan Pencegahan rasuah bermula dari hati yang jujur dan tindakan yang berani.)

]]>
nizam88@ums.edu.my (Mohd Affzanizam Mohd Amin (Seksyen Komunikasi Strategik, BPK))Featured BMFri, 27 Jun 2025 00:00:28 +0800
Risiko Integriti: Ancaman Senyap Terhadap Tadbir Urus Universiti/v5/ms/featured-bm/17282-risiko-integriti-ancaman-senyap-terhadap-tadbir-urus-universiti/v5/ms/featured-bm/17282-risiko-integriti-ancaman-senyap-terhadap-tadbir-urus-universiti

[ARTIKEL BIUMS Siri 2/2025]

Oleh : Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS

Dalam dunia pengurusan awam dan institusi pendidikan tinggi, risiko integriti semakin menjadi isu yang menuntut perhatian serius.

Integriti bukan hanya tentang tidak melakukan rasuah, tetapi mencakupi etika kerja, ketelusan, tanggungjawab, dan amanah dalam menjalankan tugas. Kegagalan memelihara integriti boleh mencetuskan pelbagai kesan buruk, termasuk keruntuhan kepercayaan, ketirisan kewangan dan kerosakan reputasi institusi.

Di peringkat negara, laporan tahunan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa kes-kes salah guna kuasa dan rasuah masih tinggi, khususnya dalam sektor perolehan, pentadbiran awam, dan institusi pendidikan. Ini menandakan bahawa pengurusan risiko integriti belum diinstitusikan sepenuhnya dalam banyak organisasi.

Di peringkat universiti juga tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran ini. Antara bentuk risiko integriti yang boleh berlaku termasuk:

  • Penyalahgunaan kuasa dalam pemberian projek atau kontrak,
  • Konflik kepentingan dalam membuat keputusan,
  • Penyelewengan peruntukan penyelidikan,
  • Ketidakpatuhan terhadap prosedur kewangan dan pentadbiran.

Penubuhan Bahagian Integriti yang berkecuali dan bertindak sebagai entiti pemantau di 鶹Ƶ merupakan langkah ke hadapan yang strategik.

Antara tanggungjawab Bahagian Integriti ini adalah bertindak untuk membudayakan integriti, mengesan dan menilai risiko salah laku, serta menyediakan latihan kesedaran kepada staf akademik dan pentadbiran.

Namun begitu, cabaran sebenar ialah memastikan setiap warga agensi, daripada pelajar sehingga ke pengurusan tertinggi, benar-benar menghayati budaya integriti secara konsisten dan menyeluruh, bukan sekadar simbolik.

Untuk menangani risiko ini, UMS telah mengambil beberapa inisiatif seperti penubuhan Bahagian Integriti, pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), pelaporan konflik kepentingan secara berkala, dan penyediaan saluran aduan (whistleblowing) yang lebih selamat dan mesra pengguna.

Di samping itu, penekanan terhadap pematuhan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 mengenai liabiliti korporat juga menjadi pengingat bahawa institusi bukan sahaja perlu mengurus pekerjanya, tetapi juga mesti bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap sebarang salah laku yang berlaku dalam organisasi.

Kesimpulannya, risiko integriti merupakan musuh senyap yang boleh menjatuhkan kredibiliti sesebuah institusi jika tidak ditangani secara sistematik.

UMS perlu terus komited bukan hanya dalam menghasilkan graduan cemerlang, tetapi juga dalam membentuk warga kerja yang berintegriti, telus dan bertanggungjawab.

Integriti bukan sekadar dasar. Ia adalah budaya dan nilai yang perlu hidup dalam setiap langkah dan keputusan organisasi.

(Artikel ini merupakan usaha berterusan Bahagian Integriti UMS dalam memupuk budaya integriti di kalangan warga kampus. Pengukuhan Integriti dan Pencegahan rasuah bermula dari hati yang jujur dan tindakan yang berani.)

]]>
nizam88@ums.edu.my (Mohd Affzanizam Mohd Amin (Seksyen Komunikasi Strategik, BPK))Featured BMFri, 20 Jun 2025 00:00:37 +0800
Hak Kebebasan Bersuara dan Keutuhan Integriti Institusi TYT di Sabah/v5/ms/featured-bm/17404-hak-kebebasan-bersuara-dan-keutuhan-integriti-institusi-tyt-di-sabah-2/v5/ms/featured-bm/17404-hak-kebebasan-bersuara-dan-keutuhan-integriti-institusi-tyt-di-sabah-2

Artikel oleh:

Marja Azlima Omar

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,

鶹Ƶ

mazlima@ums.edu.my

Hak kebebasan untuk bersuara adalah satu perkara penting dalam sistem demokrasi moden dan sehubungan dengan itu ia merupakan satu hak asasi manusia yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Pada masa yang sama, integriti institusi Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah adalah sesuatu yang mesti dilindungi dan dipertahankan sebagai satu simbol kestabilan negeri dan lambang keutuhan sistem berperlembagaan Malaysia yang berdaulat. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa hak kebebasan bersuara dan integriti institusi kenegaraan seperti institusi TYT di Sabah ada kalanya berada dalam situasi tegang. Perkara yang sedemikian sememangnya tidak dapat dielakkan sama sekali. Sabah sebagai wilayah Borneo dalam Persekutuan Malaysia yang unik cirinya dari segi sejarah, sosial dan politik telah menyaksikan beberapa episod di mana kritikan dan eksperesi politik masyarakat awam kelihatan seolah-olah mencabar sempadan kebebasan bersuara dan kesantunan institusi TYT. Justeru itu pengamatan yang teliti berkenaan isu ini perlu dilaksanakan bagi memastikan kedua nilai ini dapat tangani dengan baik demi kelansungan kestabilan negara. Penulisan ini bertujuan menilai secara kritis keperluan untuk mengimbangi kebebasan bersuara dan keutuhan integriti institusi TYT Sabah berdasarkan prinsip perlembangan, lunas undang-undang dan amalan politik semasa.

Kebebasan Bersuara dalam Kerangka Perlembagaan Malaysia

Perkara 10(1)(a) telah secara jelas memperuntukkan bahawa setiap warganegara Malaysia berhak untuk mengamalkan kebebasan bersuara. Walau bagaimanapun hak tersebut bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak tanpa sebarang limitasi dan kondisi dalam perlaksanaannya. Ini adalah kerana, provisi yang sama juga turut membenarkan Parlimen untuk menggubal undang-undang yang mengenakan sekatan demi memastikan kepentingan keselamatan negara, ketenteraman awam, moral dan hak institusi-institusi negara seperti Majlis Raja Raja dan TYT terjamin dan dilindungi sewajarnya.

Berpandukan prinsip proportionality (kesepadanan) dalam undang-undang hak asasi manusia, sekatan terhadap kebebasan bersuara mestilah beralasan (legitimate), perlu (necessary) dan seimbang (proportionate). Ini bermakna sebarang larangan atau sekatan/hukuman terhadap ekspresi kekebebasan bersuara akan hanya sah sekiranya ianya dilaksanakan dengan adil dan tidak mengenepikan kebebasan demokratik secara berlebihan.

Dalam erti kata lain, prinsip proportionality ini berfungsi sebagai benteng perlindungan kepada kebebasan untuk bersuara dalam persekitaran demokarasi yang terjamin. Pihak berkuasa dipastikan tidak akan mengambil sebarang tindakan secara sewenang-wenangnya untuk menyekat eksperesi awam. Untuk memastikan prinsip ini tidak dicemari, mahkamah dan badan perundangan di Malaysia perlu dengan teliti menilai sebarang sekatan terhadap kebebasan bersuara terutamanya dalam isu-isu yang sensitif melibatkan ekspresi politik, agama, atau hak minoriti. Prinsip proportionality ini jelas sangat penting dalam mengekalkan keseimbangan antara ketertiban awam dan kebebasan individu, tuntas kepada amalan demokrasi yang sihat.

Keperluan Melindungi Keutuhan Integriti Institusi TYT Sabah

Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Sabah sebagai salah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia. Perkara 41 pula memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama Negara. Di peringkat negeri pula, Yang di-Pertua Negeri Sabah adalah Ketua Negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh empat tahun mengikut Artikel 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah. Walaupun tidak memegang kuasa eksekutif seperti yang dimilikki oleh Ketua Menteri, peranan TYT adalah penting dalam memastikan kelangsungan demokrasi berperlembagaan di Sabah. TYT juga mempunyai budi bicara dalam pelantikan Ketua Menteri – Artikel 6(3), pembubaran Dewan Undangan Negeri – Artikel 21(2), pelantikan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri – Artikel 7(2) dan hal-hal tertentu yang menyentuh kestabilan politik negeri. Justeru, pelbagai cabaran dan kontroversi dalam konteks pelantikan, pemecatan, dan tindakan TYT telah menimbulkan persoalan mengenai keutuhan integriti institusi ini.

Selain itu, institusi TYT juga berperanan sebagai lambang perpaduan rakyat Sabah yang majmuk. Institusi TYT bertindak sebagai simbol kesatuan dan identiti kolektif rakyat Sabah, tanpa mengira latar belakang agama, etnik, atau budaya. Masyarakat pluralistik seperti Sabah amat memerlukan institusi TYT dalam mewujudkan suasana yang inklusif, supaya semua Komuniti dan setiap lapisan masyarakat merasa diwakili secara adil dalam struktur kenegaraan. Kehadiran institusi TYT, yang berdiri atas prinsip neutraliti politik, membantu meredakan ketegangan antara kumpulan etnik dan menjadi titik temu kepada semangat Sabah untuk semua. Institusi TYT juga memainkan peranan sebagai elemen penyambung antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, terutamanya dalam perlaksanaan dasar yang melibatkan kepentingan bersama. Umum mengetahui bahawa hubungan Persekutuan-Negeri adalah satu isu yang mencabar terutamanya berkaitan isu autonomi, hak hasil bumi, perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan perkara 20. Ternyata, institusi TYT amat berperanan sebagai pengantara moral dan simbolik yang memelihara hubungan dua hala kekal harmoni.

Peranan penting institusi TYT pasti akan tergugat sekiranya terdapat sebarang percubaan untuk mengaibkan atau meremehkan institusi ini yang akan seterusnya menjejaskan legitimasi politik dan kestabilan sosial negeri. Apa yang pasti, institusi TYT Sabah bukan sekadar memenuhi fungsi perlembagaan secara formal, tetapi juga merupakan elemen penting dalam membentuk identiti negeri, mengukuhkan perpaduan sosial, dan menyumbang kepada hubungan yang harmoni antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Keutuhan dan integriti institusi ini adalah cerminan kepada kematangan politik Sabah, serta kunci kepada kestabilan dan keharmonian negara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Perlu disebut bahawa proses pemilihan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah merupakan satu proses yang teliti dan berhemah, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri Sabah dan Perlembagaan Persekutuan. Pemilihan ini melibatkan pertimbangan menyeluruh, termasuk latar belakang peribadi, pengalaman kepimpinan serta rekod perkhidmatan calon yang dicadangkan. Hanya individu yang benar-benar memenuhi kriteria kewibawaan, berintegriti tinggi serta mempunyai pemahaman mendalam terhadap hal ehwal negeri dan negara akan dipertimbangkan.

Mengikut Perkara 1(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri Malaysia, selepas berunding dengan Ketua Menteri Sabah. Justeru, pelantikan ini bukan sahaja mencerminkan kepercayaan Kerajaan Persekutuan dan Negeri terhadap calon, malah turut mengambil kira keharmonian dan kepentingan rakyat Sabah secara menyeluruh. Proses yang teliti ini memastikan institusi Yang di-Pertua Negeri terus dihormati sebagai lambang perpaduan, kestabilan dan kebijaksanaan dalam sistem pemerintahan negeri.

Pertembungan antara Kritikan Awam dan Perlindungan Institusi

Di era digital dan pasca-Reformasi ini, kritikan orang awam terhadap institusi kerajaan seperti institusi TYT telah menjadi satu perkara biasa. Pendapat, kritikan, teguran, cemuhan semuanya boleh dimuat-naik di platform media sosial peribadi tanpa perlu ditapis oleh pihak berkuasa sebelum berbuat demikian. Contoh yang paling ketara ialah semasa krisis pelantikan Ketua Menteri Sabah pada 2018, ramai netizen, pemimpin politik dan aktivis awam dengan secara mudah dapat menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan TYT Sabah ketika itu, Tun Juhar Mahiruddin.

Selepas Pilihan Raya Negeri Sabah 2018, satu krisis berhubung pelantikan Ketua Menteri telah berlaku. Kritikan juga turut merangkumi kemungkinan pengaruh politik luar, dan ketelusan keputusan TYT. Pada masa yang sama, terdapat juga pihak yang menganggap kritikan tersebut melampaui batas dan mencemarkan integriti institusi. Kes ini akhirnya dirujuk ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, yang memutuskan bahawa pelantikan Ketua Menteri seperti yang sepatutnya.

Terkini iaitu pada awal tahun 2025 dan akhir tahun 2024, institusi TYT kembali menjadi sasaran protes awam dan demonstrasi anti rasuah mahasiswa dan aktivis. Pelantikan Tun Musa Aman sebagai TYT Sabah telah menimbulkan kemarahan awam dan kontroversi serius. Walaupun beliau telah dibebaskan daripada semua tuduhan rasuah, ramai pihak masih tetap skeptikal dan berpendapat bahawa pembebasan tersebut adalah bukti sistem keadilan yang berat sebelah. Kebimbangan yang berleluasa mengenai pelantikan Tun Musa Aman akan menjejaskan kredibiliti institusi TYT adalah sangat ketara. Tambahan lagi pelantikan tersebut juga dilihat akan melemahkan usaha melawan rasuah di peringkat negeri.

Garis Pemisah antara Kritikan Membina dan Penghinaan

Adalah penting untuk kita meneliti perbezaan antara kritikan membina terhadap tindakan institusi TYT dan penghinaan terhadap individu yang memegang jawatan tersebut. Dalam sistem demokrasi matang, pemegang jawatan awam termasuk TYT harus terbuka dan menerima penilaian awam terhadap keputusan dan tindakan mereka, tanpa menyentuh maruah atau institusi secara keseluruhan. Sebagai contoh, membangkitkan persoalan perlembagaan berhubung pelantikan Ketua Menteri adalah sah di sisi demokrasi, manakala menuduh TYT bertindak sebagai 'boneka politik' tanpa bukti nyata dan sah boleh ditafsirkan sebagai penghinaan yang menjejaskan integriti institusi.

Reaksi pihak awam dan penganalisis membincangkan kesahan tindakan TYT dalam melantik Ketua Menteri baharu tanpa pemecatan formal terhadap penyandang seperti selepas Pilihan Raya Negeri Sabah 2018 adalah satu tindakan yang dianggap sah di sisi demokrasi. Malahan kes tersebut telah mengetengahkan kepentingan dan keperluan untuk semak imbang (check and balance). Dalam kes Datuk Amir Kahar Tun Datu Mustapha v Tun Mohd Said Keruak & Anor [1995] 1 MLJ 169, Mahkamah Tinggi Sabah menyatakan bahawa TYT mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik Ketua Menteri di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah. Namun begitu, kuasa budi bicara tersebut mestilah digunakan dengan menghormati prinsip demokrasi dan keyakinan majoriti dalam DUN. Oleh itu, membangkitkan persoalan sama ada kuasa budi bicara TYT telah digunakan dengan betul adalah satu tindakan yang sah di sisi undang-undang malah perlu dipraktikkan secara terbuka dalam masyarakat.

Walau bagaimanapun, tuduhan yang menyifatkan TYT sebagai “boneka politik” atau “alat parti pemerintah” tanpa bukti nyata dan sah boleh dianggap sebagai menghina institusi negara dan menjejaskan maruah serta kedudukan Ketua Negeri yang dilindungi oleh kedaulatan undang-undang. Dalam kes PP v Azmi Sharom [2015] 6 MLJ 751, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kebebasan bersuara bukanlah satu lesen untuk menyebar-luaskan tuduhan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau institusi negara. Walaupun dalam konteks akademik kebebasan berfikir adalah dihormati, namun ianya tetap tertakluk kepada batasan kebertanggungjawaban.

Selain itu, adalah penting juga untuk menegaskan semula keputusan mahkamah dalam kes Zaid Ibrahim v Kerajaan Malaysia [2020] MLJU 817. Dalam kes tersebut, mahkamah mengingatkan bahawa "institusi negara termasuk Raja dan TYT adalah entiti simbolik yang perlu dipertahankan maruahnya daripada tuduhan liar yang boleh menggugat kestabilan institusi." Maka, dalam amalan demokrasi, perbezaan antara kritikan terhadap tindakan pentadbiran dan serangan peribadi tanpa asas terhadap institusi mestilah dibezakan dengan jelas. Kritikan terhadap pelantikan Ketua Menteri, jika disertakan dengan hujahan perundangan dan fakta politik adalah sebahagian daripada perbahasan sihat dan terbuka dalam masyarakat. Sebaliknya, tuduhan berbentuk serangan peribadi yang tidak disokong dengan bukti yang jelas seperti mendakwa TYT "disogok", “ditunggang parti” atau "tidak layak moral" secara terbuka tanpa asas kukuh boleh dianggap sebagai tindakan yang melampaui batas serta boleh dikenakan disabitkan kesalahan undang-undang. Antara tindakan undang-undang yang boleh dikenakan ialah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (komunikasi jelik dalam talian) atau Kanun Keseksaan Seksyen 504 (menghina dengan niat memecah keamanan).

Perlu ditegaskan bahawa penghinaan ke atas institusi TYT boleh disamakan secara undang-undang seperti menghina institusi Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Ini adalah kerana kedua institusi ini adalah institusi berpelembagaan yang mempunyai kedudukan yang sama tinggi dalam struktur Negeri dan Persekutuan. YDPA adalah Ketua Negara mengikut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan manakala TYT adalah Ketua Negeri bagi negeri-negeri tanpa raja (Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang), berdasarkan Perkara 1(2) dan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan negeri masing-masing. Di setiap negeri tersebut iaitu di Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang, TYT adalah wakil sah YDPA. Mewakili YDPA yang dimaksudkan di sini bukanlah wakil secara individu tetapi mewakili keseluruhan prinsip pemerintahan berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang di negeri masing-masing. Ini bermakna penghinaan ke atas kedua institusi ini ibarat serangan ke atas struktur tertinggi kenegaraan yang dimaktubkan dalam Perlembagaan.

Tambahan lagi, kedudukan kedua institusi YDPA dan TYT adalah lambang perpaduan dan neutraliti politik yang memainkan peranan sebagai simbol perpaduan rakyat tanpa mengira etnik, agama dan fahaman politik. Sebarang penghinaan terhadap institusi YDPA dan TYT boleh menjejaskan persepsi awam terhadap neutraliti institusi ini, sekali gus menjejaskan kepercayaan terhadap sistem pemerintahan berparlimen dan demokrasi berperlembagaan. Ekoran implikasi yang serious akibat penghinaan ke atas institusi kenegaraan seperti YDPA dan TYT, kehormatan kedua institusi tersebut dilindungi oleh undang-undang melalui Akta Hasutan 1948. Secara spesifik, Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948 memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan untuk membawa kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau Yang di-Pertua Negeri. Sehubungan dengan itu, penghinaan terhadap TYT adalah setaraf dari sudut jenayah dengan penghinaan terhadap YDPA. Melalui Keputusan penghakiman kes-kes terdahulu, mahkamah telah secara jelas mengiktiraf bahawa kedua-dua institusi ini memerlukan perlindungan yang sama dari gangguan atau serangan retorik yang berbaur kebencian. Misalnya dalam kes Public Prosecutor v. Ooi Kee Saik & Ors [1971] 2 MLJ 108, mahkamah telah memutuskan bahawa institusi Raja-Raja Melayu adalah bahagian penting dalam struktur kenegaraan dan penghinaan terhadap institusi ini adalah perbuatan yang boleh menggugat kestabilan awam. Walaupun kes ini merujuk kepada Raja-Raja Melayu, prinsipnya turut boleh diperluas kepada TYT sebagai Ketua Negeri berdasarkan struktur federalisme dan perlindungan undang-undang yang serupa.

Keseimbangan Jalan Tengah: Satu Penyelesaian?

Apa yang terjadi sejak kebelakangan ini sepertinya menuntut pihak kerajaan negeri bersama badan kehakiman untuk merangka pendekatan atau governan/tadbir-urus pengawalseliaan terhadap ekspresi awam yang seimbang. Prinsip seperti 'harm test' dan 'chilling effect' yang boleh “dopinjam” dari undang-undang antarabangsa boleh diguna pakai bagi menentukan sama ada sesuatu kenyataan benar-benar mengancam kestabilan institusi TYT atau sekadar satu bentuk kebebasan ekspresi politik.

Prinsip harm test atau "ujian kemudaratan" digunakan untuk menilai sama ada ekspresi tertentu membawa kemudaratan nyata/jelas kepada kepentingan awam seperti keselamatan negara, ketenteraman awam, atau maruah institusi.

Menurut General Comment No. 34, UN Human Rights Committee (CCPR/C/GC/34) mengenai Artikel 19 International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR), sekatan terhadap kebebasan bersuara hanya dibenarkan jika wujud risiko kemudaratan yang jelas, spesifik dan boleh dibuktikan, bukan semata-mata berdasarkan andaian atau rasa tidak selesa oleh pihak berkuasa.

“Restrictions must be necessary and proportionate to achieve a legitimate aim and must demonstrate a direct and immediate connection between the expression and the threat.”

Dalam konteks institusi TYT Sabah, jika seseorang itu menuduh TYT sebagai “boneka politik”, maka harm test perlu digunakan untuk menentukan samada kenyataan itu membawa kemudaratan nyata kepada kestabilan institusi TYT atau tuduhan tersebut cuma sekadar satu pandangan politik yang tidak membawa ancaman langsung kepada fungsi perlembagaan TYT. Jika didapati tiada bukti bahawa kenyataan tersebut menghasut keganasan, pemberontakan, atau mengganggu fungsi institusi, maka sekatan ke atas kenyataan itu tidak melepasi harm test.

Prinsip chilling effect pula merujuk kepada kesan ketakutan yang terjadi apabila individu enggan bersuara atau mengkritik secara sah kerana takut dihukum oleh undang-undang. Kesan ini merupakan satu bentuk kepincangan tidak langsung terhadap amalan demokrasi. Ini adalah kerana ketakutan tersebut akan menjadikan ruang awam seolah dibisukan akibat sekatan yang tidak seimbang.

European Court of Human Rights (ECtHR) / Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dalam kes Lingens v Austria (1986) 8 EHRR 407 menekankan bahawa:

“The limits of acceptable criticism are wider with regard to the government than in relation to a private citizen… Freedom of political debate is at the very core of the concept of a democratic society.”

Sekiranya tindakan undang-undang dikenakan terhadap pengkritik TYT Sabah tanpa bukti kukuh bahawa kenyataan mereka membahayakan keselamatan atau fungsi negeri, ianya ditafsir sebagai boleh mewujudkan chilling effect. Contoh chilling effect dalam konteks integriti TYT Sabah ialah situasi di mana aktivis, wartawan dan rakyat biasa menjadi takut untuk bersuara, demokrasi deliberatif (deliberative democracy) di Sabah menjadi lesu dan kewibawaan institusi TYT kelihatan seolah kebal kerana tidak tertakluk kepada pengawasan awam. Dalam konteks Malaysia, ujian kesepadanan (proportionality test) juga perlu diguna-pakai selari dengan prinsip harm test dan chilling effect untuk menentukan sama ada sekatan terhadap kenyataan awam wajar dilaksanakan.

Tidak dapat dinafikan juga sebahagian besar konflik antara hak bersuara dan integriti TYT berpunca daripada ketidakfahaman atau kurang kepekaan awam terhadap fungsi institusi tersebut. Sehubungan dengan itu, pendidikan sivik dan program literasi perlembagaan yang menyeluruh dapat membantu rakyat menyalurkan pandangan membina secara sah, tanpa menjejaskan integriti institusi berdaulat.

Media massa dan pengendali laman sosial juga perlu mengamalkan prinsip kewartawanan beretika dalam melaporkan isu berkaitan TYT. Undang-undang berkaitan berita palsu atau fitnah perlu dikuatkuasakan secara telus dan menyeluruh (tidak selektif) demi mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pihak.

Kesimpulan

Kebebasan bersuara dalam demokrasi Malaysia memberi ruang yang luas kepada rakyat untuk menilai dan mengkritik institusi politik dan pentadbiran, termasuk TYT. Namun, prinsip undang-undang juga menuntut keseimbangan antara kebebasan bersuara dan kewajiban melindungi integriti institusi negara. Kritikan yang disokong oleh fakta dan perbahasan undang-undang adalah sah. Sebaliknya, tuduhan terhadap TYT tanpa asas kukuh bukan sahaja tidak demokratik, malah boleh membawa implikasi undang-undang dan menjejaskan kehormatan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Mengimbangi kebebasan bersuara dan melindungi integriti institusi TYT di Sabah terbukti bukan satu tugas mudah, terutamanya dalam suasana politik yang sering berubah. Namun, kedua-dua elemen ini tetap perlu dipelihara secara seimbang demi menjamin kelangsungan demokrasi dan kestabilan institusi berperlembagaan. Selain itu, adalah penting untuk menegaskan lagi bahawa penghinaan ke atas institusi TYT tidak boleh diremehkan sebagai satu isu kecil kerana tindakan tersebut membawa implikasi meluas ke atas perlembagaan, simbolik dan undang-undang. Sepertimana YDPA dihormati sebagai lambang negara, TYT juga adalah lambang negeri dan kesinambungan institusi kenegaraan. Oleh itu, penghinaan terhadap institusi TYT adalah serupa sifatnya dari segi prinsip dan kesan dengan penghinaan terhadap institusi YDPA. Penghinaan ke atas kedua institusi ini sewajarnya boleh dikenakan tindakan undang-undang demi mempertahankan integrity institusi berpelembagaan.

Walau bagaimanapun institusi TYT sebagai Ketua Negeri bukanlah entiti yang kebal daripada kritikan, tetapi institusi tersebut mestilah dihormati dalam kerangka perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dalam masa yang sama, rakyat berhak untuk menyuarakan pandangan selagi tidak bersifat fitnah atau hasutan yang merosakkan tatanan dan keharmonian negara. Maka dengan itu, pembinaan budaya demokrasi yang matang di Sabah mestilah berasaskan pada kefahaman perlembagaan, penghormatan terhadap institusi, dan amalan komunikasi yang bertanggungjawab. Hanya dengan itu, prinsip kebebasan bersuara dan keutuhan integriti institusi TYT akan saling menyumbang ke arah pengukuhan negara bangsa Malaysia yang lebih demokratik dan saksama.

]]>
nizam88@ums.edu.my (Mohd Affzanizam Mohd Amin (Seksyen Komunikasi Strategik, BPK))Featured BMMon, 16 Jun 2025 03:16:03 +0800
Rasuah: Musuh Dalam Selimut di Institusi Pendidikan/v5/ms/featured-bm/17281-rasuah-musuh-dalam-selimut-di-institusi-pendidikan/v5/ms/featured-bm/17281-rasuah-musuh-dalam-selimut-di-institusi-pendidikan

[ARTIKEL BIUMS Siri 1/2025]

Oleh : Darwis Awang, Pengarah Bahagian Integriti UMS

“Rasuah adalah musuh dalam selimut. Ia perlahan-lahan merosakkankepercayaan dan integriti sesebuah institusi dari dalam.”

Begitulah hakikat yang perlu kita renungkan bersama, terutamanya apabila melibatkan sektor pendidikan, sebuah ekosistem yang sepatutnya melahirkan generasi berilmu dan berintegriti.

Berita Harian, April 2025, melaporkan: “Pegawai kanan ditahan SPRM kerana disyaki menerima suapan berkaitan projek pembekalan peralatan makmal.”

Kes sebegini bukan lagi sesuatu yang mengejutkan. Namun, persoalan yang lebih besar ialah adakah institusi pengajian tinggi kita benar-benar kebal daripada gejala ini?

Hakikatnya, institusi pendidikan sama ada universiti awam mahupun swasta tidak terkecuali daripada ancaman rasuah. Jika dibiarkan, ia boleh merosakkan kredibiliti akademik, mencemar imej universiti, dan lebih buruk lagi mengikis kepercayaan masyarakat.

Bentuk Rasuah yang Halus

Ramai yang masih beranggapan bahawa rasuah hanya melibatkan wang tunai. Namun, dalam konteks institusi pendidikan, rasuah boleh hadir dalam pelbagai bentuk:

  • Hadiah mewah yang diberi sebagai “tanda penghargaan” selepas kelulusan projek.
  • Layanan istimewa seperti percutian atau makan malam mewah yang ditaja oleh pihak berkepentingan.
  • Penyalahgunaan kedudukan dalam meluluskan kontrak kepada rakan atau saudara.

Sebagai contoh, seorang kakitangan yang menerima baucar hotel mewah selepas membantu syarikat membida projek pembekalan telah melibatkan diri dalam situasi konflik kepentingan. Tanpa disedari, tindakan ini membuka ruang kepada amalan tidak beretika.

Mengapa Perlu Ditangani?

Institusi pendidikan merupakan tunjang pembangunan insan dan modal intelektual negara. Jika budaya rasuah mula berakar di sini, apa lagi yang boleh kita harapkan daripada graduan yang dilahirkan?

Lebih membimbangkan, kajian oleh sebuah badan pemikir menunjukkan bahawa hanya 62 peratus penjawat awam benar-benar faham batasan etika kerja mereka (Utusan Malaysia, Mac 2025). Ini memberi isyarat jelas bahawa pendidikan dan kesedaran mengenai integriti masih perlu diperkasakan.

Langkah Proaktif

Untuk memastikan IPT kekal sebagai “zon bebas rasuah”, beberapa langkah proaktif boleh diambil:

  1. Pendidikan & Kesedaran

Semua warga universiti, pentadbir, pensyarah, staf sokongan dan pelajar mesti diberikan pendedahan berterusan mengenai integriti dan tatakelola yang baik. Latihan berkala perlu diadakan, dengan mengupas kes-kes sebenar sebagai pengajaran.

  1. Amalan Kerja Telus

Setiap urusan perolehan, pemilihan vendor dan pemberian kontrak mesti melalui proses yang telus dan boleh diaudit. Elakkan urusan belakang tabir atau “jalan pintas” yang tidak didokumenkan.

  1. Saluran Aduan Yang Selamat

Mewujudkan mekanisme aduan dalaman yang melindungi identiti pelapor sangat penting. Polisi “tiada tindakan balas” terhadap pelapor yang bertindak atas dasar integriti mesti ditegaskan.

  1. Kepimpinan Berintegriti

Pemimpin di setiap peringkat sama ada Naib Canselor, Dekan, Ketua Jabatan mahupun Ketua Unit perlu menjadi role model. Amalan mereka akan menentukan budaya organisasi.

  1. Penguatkuasaan Tegas

Setiap kesalahan yang terbukti mesti dikenakan tindakan tatatertib yang adil dan telus, tanpa kompromi atau pilih kasih.

Kesimpulan

Rasuah di institusi pendidikan bukan sekadar isu undang-undang. Ia adalah isu budaya. Jika tidak ditangani dari awal, ia boleh menghakis akar integriti yang menjadi asas pembentukan tamadun ilmu.

Marilah kita semua sebagai warga kampus, pendidik, pentadbir dan pelajar berganding bahu memastikan institusi kita benar-benar bersih daripada gejala ini. Biarlah universiti kita terus dihormati bukan sahaja kerana keilmuan, tetapi juga kerana budaya integriti yang kita amalkan.

Artikel ini merupakan usaha berterusan Bahagian Integriti UMS dalam memupuk budaya integriti di kalangan warga kampus. Pengukuhan Integriti dan Pencegahan rasuah bermula dari hati yang jujur dan tindakan yang berani.

]]>
nizam88@ums.edu.my (Mohd Affzanizam Mohd Amin (Seksyen Komunikasi Strategik, BPK))Featured BMFri, 13 Jun 2025 00:00:14 +0800
Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal UMS Pemangkin Industri Halal Sabah/v5/ms/featured-bm/17139-pusat-perkhidmatan-dan-penyelidikan-halal-ums-pemangkin-industri-halal-sabah/v5/ms/featured-bm/17139-pusat-perkhidmatan-dan-penyelidikan-halal-ums-pemangkin-industri-halal-sabah

Industri halal Malaysia dijangkakan berkembang kepada US$113.2 bilion menjelang 2030 dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus pada tahun 2025 menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.

HIMP 2030 bertemakan ‘Ke Arah Halal Malaysia Yang Menyerlah di Peringkat Global’ membuktikan pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya akan terus berusaha untuk menambah baik semua komponen ekosistem halal.

Ini penting bagi meningkatkan kedudukan Malaysia di dalam pasaran halal global dengan jumlah penduduk Islam global yang mencecah dua bilion. Industri halal ini bukan sahaja boleh meningkatkan produktiviti, meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penduduk tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan negara melalui perdagangan halal, pelaburan dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Di Sabah, kerajaan negeri juga tidak ketinggalan membantu pengusaha tempatan bagi merancakkan lagi industri halal dengan menggalakkan lebih ramai usahawan di Sabah menghasilkan produk makanan halal yang bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malah hingga ke peringkat global.

Oleh itu, atas dasar keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah telah mewujudkan Majlis Halal Sabah (MAHAS) sebagai badan rasmi Kerajaan dalam membincang, mengkaji dan membuat keputusan berkaitan isu-isu halal serta mencadangkan inisiatif dan langkah baharu bagi membangunkan industri halal di negeri ini.

Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) juga sangat komited dalam usaha memperkasakan dan memelihara industri halal di Sabah. Sehubungan itu, MUIS Halal Hub telah ditubuhkan bagi memastikan halalan toyyiban menjadi antara fokus utama di negeri ini.

Selain daripada sektor pelancongan, Sabah juga terkenal dengan pelbagai produk makanan terutamanya produk makanan unik daripada pelbagai etnik yang dilihat mempunyai peluang yang sangat cerah bagi menembusi pasaran global.

Setiap tahun sektor makanan dan minuman terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi halal Malaysia dengan jumlah nilai eksport yang tertinggi berbanding sektor lain seperti bahan halal, kosmetik, farmaseutikal dan lain-lain.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Sabah sangat menggalakkan pengusaha industri makanan khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkan pengiktirafan status halal bagi produk makanan mereka.

Walaupun pembabitan usahawan PKS dalam industri makanan halal di negeri ini semakin bertambah, namun penambahan bilangan usahawan itu masih perlu dipergiatkan. Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Negeri Sabah juga telah membantu usahawan PKS dari segi kewangan bagi mendapatkan persijilan halal bagi produk makanan mereka.

Tidak ketinggalan, 鶹Ƶ (UMS) yang merupakan satu-satunya institusi pendidikan tinggi awam di Sabah melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) juga aktif dalam membantu industri halal di Sabah.

Pemeteraian memorandum persefahaman di antara MUIS dan UMS pada 5 Julai 2023 merupakan satu bentuk kerjasama yang sangat baik dalam memperluaskan ilmu dan latihan berkaitan keselamatan makanan dan jaminan halal khususnya di kalangan industri makanan di dalam dan juga di luar negara.

Kerjasama di antara kedua-dua belah pihak telah pun wujud sebelum ini di mana beberapa ahli akademik dari FSMP telah dilantik sebagai auditor halal MUIS Halal Hub bagi membantu pihak MUIS mengaudit kilang-kilang dan premis makanan di dalam negeri Sabah yang ingin memohon dan memperbaharui sijil halal mereka. Ahli-ahli akademik ini menyumbang pengetahuan dari segi teknikal dalam membantu MUIS bagi pensijilan halal di Sabah.

Selain itu, pengusaha makanan yang menghasilkan makanan di rumah juga diberi latihan dan pendedahan berkaitan halal oleh MUIS Halal Hab dengan kerjasama ahli-ahli akademik FSMP bagi memastikan produk yang dihasilkan adalah halalan toyibban dan seterusnya mendapat pensijilan halal.

Bagi memperkukuhkan lagi bidang berkaitan halal, penubuhan Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal (PPPH), UMS telah diluluskan melalui mesyuarat Lembaga Pengarah UMS pada 21 September 2023 di mana ianya membuktikan dedikasi UMS menyokong usaha kerajaan untuk menjadi pusat rujukan halal serantau.

Ini selaras dengan keperluan pasaran yang semakin berkembang dan PPPH berperanan menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pihak industri, sekali gus menyokong HIMP 2030 di mana salah satu teras strategiknya adalah mewujudkan kumpulan pakar dan profesional industri halal yang lebih besar untuk memenuhi keperluan global.

Usaha PPPH ini akan menjadikan UMS lebih dikenali dan diyakini dalam menjalankan aktiviti berkaitan halal kepada pihak industri, antaranya menerusi pengiktirafan UMS sebagai Penyedia Latihan Halal di bawah Majlis Profesional Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan merupakan satu-satunya Penyedia Latihan Halal yang diiktiraf oleh JAKIM di Sabah.

Di bawah program latihan Majlis Profesional Halal ini, seramai empat orang pensyarah Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan telah diiktiraf sebagai Tenaga Pengajar Halal bagi Program Profesional Latihan Eksekutif Halal oleh JAKIM.

Berbekalkan visi untuk menjadi peneraju global dalam memajukan kecemerlangan Halal, inovasi dan penyelidikan, PPPH secara amnya menyediakan perkhidmatan komprehensif berkaitan bidang halal melalui penyelidikan, program latihan, dan perkhidmatan perundingan terutamanya untuk industri makanan di negeri Sabah dan umumnya kepulauan Borneo.

Selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025 dan juga Pelan Induk Industri Halal 2030 yang telah diwujudkan oleh pihak kerajaan, PPPH menyahut komitmen untuk menyediakan destinasi sehenti bagi perniagaan dan individu yang mencari perkhidmatan halal.

Inisiatif ini secara tidak langsung dapat memacu usaha kerajaan dalam memastikan penghasilan makanan yang halal, bersih dan selamat atau ‘halalan toyyiban’ di kalangan industri dan seterusnya menjamin ketersediaan makanan masyarakat dan kesejahteraan pengguna.

Hubungi:

Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal

Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan

鶹Ƶ

Jalan UMS, 88450 Kota Kinabalu

Sabah, Malaysia

+6 088-320 000 samb. 102996 (Pejabat)

halal@ums.edu.my

]]>
nizam88@ums.edu.my (Mohd Affzanizam Mohd Amin (Seksyen Komunikasi Strategik, BPK))Featured BMMon, 26 May 2025 06:46:51 +0800
Adakah Tarif AS Terhadap Malaysia, Satu Ancaman atau Satu Panggilan Sedar?/v5/ms/featured-bm/16980-adakah-tarif-as-terhadap-malaysia-satu-ancaman-atau-satu-panggilan-sedar/v5/ms/featured-bm/16980-adakah-tarif-as-terhadap-malaysia-satu-ancaman-atau-satu-panggilan-sedar

Artikel Oleh:Prof. Madya Dr. Caroline Geetha A/P B. Arokiadasan,

Felo Penyelidik, Pusat Pembangunan dan Perancangan Ekonomi,

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan,鶹Ƶ

Apabila Amerika Syarikat mengumumkan tarif baharu yang menyeluruh ke atas semua import, termasuk cukai sebanyak 24% ke atas barangan dari Malaysia, reaksi serta-merta di sini adalah kebimbangan. Lagipun, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia.

Tetapi di sebalik ketakutan ini, terdapat persoalan yang lebih mendalam: adakah ini sekadar ancaman terhadap ekonomi kita atau satu panggilan sedar yang sudah lama tertangguh? AS membenarkan tarif baharu ini sebagai tindak balas terhadap amalan perdagangan yang tidak adil, dan Malaysia berada dalam radar atas pelbagai sebab.

Pertama sekali, Malaysia telah menjadi hab popular untuk penghantaran semula barangan dari China bagi mengelak tarif AS yang sedia ada. Beberapa syarikat China didapati menghantar produk mereka melalui Malaysia untuk mengelak duti. Walaupun tidak menyalahi undang-undang tempatan, amalan ini telah menimbulkan keraguan di Washington.

Selain itu, industri semikonduktor dan elektronik Malaysia yang sedang berkembang pesat menjadikan AS sebagai pelanggan terbesar dalam sektor ini. Pegawai AS bimbang bahawa eksport kita ke China dan peranan kita dalam rantaian bekalan global mungkin secara tidak langsung menyokong pesaing perdagangan mereka.

Tambahan pula, pasaran eksport Malaysia yang semakin berkembang dalam barangan elektrik dan elektronik memberikan persaingan ketara kepada pengeluar AS. Ini mencerminkan pengaruh Malaysia yang semakin meningkat dalam sektor-sektor yang secara tradisinya dikuasai oleh syarikat-syarikat Amerika.

Akhir sekali, isu berterusan berkaitan alam sekitar dan amalan buruh dalam industri minyak sawit. AS telah mengenakan sekatan dan tarif lebih tinggi ke atas eksport minyak sawit Malaysia kerana dakwaan pelanggaran hak asasi manusia dan kemusnahan alam sekitar.

Secara atas kertas, angka-angka kelihatan mengancam. Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat, terutamanya dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor dan elektronik, kebanyakannya dipacu oleh pelaburan langsung asing (FDI) dan syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di negara ini, dan bukannya oleh syarikat milik penuh rakyat Malaysia.

Banyak produk teknologi tinggi ini dihasilkan oleh MNC dari AS, Jepun, Jerman dan Eropah yang telah menubuhkan pangkalan pembuatan di Malaysia. Syarikat seperti Intel, AMD, Texas Instruments dan Broadcom telah lama beroperasi di kawasan seperti Pulau Pinang dan Kulim, menjadikan Malaysia sebagai hab strategik untuk pengeluaran dan pemasangan bagi membekalkan rantaian nilai global mereka, termasuk pasaran AS.

Selain itu, usaha sama antara syarikat Malaysia dan rakan luar negara, khususnya dalam sektor elektronik, minyak sawit, getah, dan automotif, membolehkan syarikat tempatan naik dalam rantaian nilai dengan memanfaatkan teknologi dan akses pasaran asing.

Manakala syarikat milik penuh tempatan lebih dominan dalam komoditi seperti minyak sawit, sarung tangan getah, perabot dan produk makanan – dengan syarikat seperti Top Glove, Hartalega, Sime Darby, dan pengeksport perabot dari Johor memainkan peranan utama. Syarikat-syarikat ini lebih terdedah kepada kejutan tarif kerana mereka kurang fleksibiliti geografi seperti MNC.

MNC tertarik ke Malaysia kerana kos pengeluaran yang rendah, tenaga kerja mahir, infrastruktur rantaian bekalan yang matang (terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor), kestabilan politik dan insentif dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Walau bagaimanapun, pelaksanaan tarif AS mungkin menyebabkan sesetengah syarikat ini menilai semula operasi mereka di Malaysia, mungkin memindahkan pengeluaran ke negara Asia Tenggara lain atau kembali ke AS. Sementara itu, pengeksport tempatan akan terus terkesan kerana pilihan untuk berpindah adalah terhad – akhirnya menjejaskan peluang pekerjaan dan sumbangan KDNK Malaysia.

Ini mendedahkan isu lama bahawa Malaysia terlalu bergantung kepada FDI untuk merangsang eksport, pekerjaan, dan pertumbuhan. Walaupun FDI mencipta pekerjaan dan meningkatkan produktiviti, manfaatnya sering tidak kekal. Penyelidikan menunjukkan bahawa teknologi dan inovasi jarang tersebar ke seluruh ekonomi.

Walaupun FDI menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti buruh, kesannya terhadap Produktiviti Faktor Menyeluruh (TFP) – ukuran yang lebih baik untuk kecekapan dan penyebaran teknologi – adalah terhad, terutamanya dalam sektor teknologi rendah dan sederhana. Kesan limpahan bernilai tinggi kebanyakannya tertumpu kepada kelompok tertentu seperti sektor E&E di Pulau Pinang.

Pemindahan teknologi dan kepakaran pengurusan juga cetek, kerana kebanyakan MNC menyimpan fungsi R&D dan inovasi di negara asal mereka, menjadikan Malaysia sebagai lokasi pemasangan berteknologi sederhana.

Keadaan ini diburukkan oleh amalan harga pindahan yang menghakis asas cukai Malaysia. Keuntungan sering dihantar pulang. R&D kekal di luar negara. Malaysia melakukan kerja—tetapi orang lain mendapat manfaat. Ini mewujudkan defisit dalam akaun semasa imbangan pembayaran, akhirnya mengurangkan rizab asing dan melemahkan Ringgit.

Dari sudut hak asasi manusia dan alam sekitar, MNC sering memindahkan industri pencemar ke negara membangun seperti Malaysia, memanfaatkan peraturan buruh dan alam sekitar yang lebih lemah, hanya untuk kemudian mengenakan halangan ESG ke atas eksport Malaysia, mewujudkan padang permainan global yang tidak seimbang.

Dalam konteks ini, daripada takutkan tarif AS, Malaysia sepatutnya melihatnya sebagai peluang strategik untuk menilai semula kebergantungan terhadap FDI. Memang mudah untuk melihat tarif ini sebagai hukuman semata-mata. Tetapi terdapat permainan ekonomi yang lebih besar sedang berlangsung.

Alat ekonomi digunakan untuk membentuk pakatan, mengawal teknologi, dan melindungi industri strategik. Jika Malaysia terlalu bergantung kepada satu atau dua pasaran besar, kita menjadi sasaran mudah dalam permainan ini.

Oleh itu, kita mesti mempelbagaikan hubungan perdagangan, memperdalamkan hubungan dalam ASEAN, mengukuhkan perjanjian seperti RCEP dan meneroka pasaran baharu di Afrika, Timur Tengah dan Amerika Latin.

Daripada terus mengejar FDI tanpa syarat, Malaysia boleh menggunakan detik ini untuk mengukuhkan kekuatan dari dalam. Kerajaan boleh memberi tumpuan kepada memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya dalam sektor teknologi dan lestari.

Daripada hanya memasang komponen untuk pihak lain, kita boleh mula membina jenama kita sendiri. Kita juga harus melabur dalam keselamatan makanan dan tenaga, mengurangkan kebergantungan kepada import barangan asas seperti beras, daging, bawang, dan bahan api. Membangunkan teknologi pertanian dan memperluas tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja mengurangkan kelemahan tetapi juga mencipta sektor pertumbuhan baharu.

Mereformasi sistem pendidikan juga satu langkah penting. Sistem yang menggalakkan kreativiti, keusahawanan dan penyelidikan – bukan hanya pembelajaran hafalan – boleh melahirkan generasi yang bersedia untuk pekerjaan bernilai tinggi dalam teknologi hijau, bioteknologi, dan kecerdasan buatan. Sudah tiba masanya kita beralih daripada sekadar menghasilkan pekerja kepada melahirkan pencipta.

Pada masa yang sama, kita mesti memenuhi jangkaan antarabangsa. Ini bermakna memperbaiki amalan buruh di ladang kita, menguatkuasakan perlindungan alam sekitar, dan menyelaraskan industri kita dengan piawaian ESG (Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus). Ini bukan sekadar untuk memuaskan pihak luar – ini mengenai membina ekonomi yang adil, lestari dan dihormati di peringkat global.

Malaysia berada di persimpangan. Kita boleh menolak perubahan, atau kita boleh mengambil peluang ini untuk membina sesuatu yang lebih baik. Ekonomi yang lebih berdaya tahan, inklusif dan lestari – yang lebih menekankan maruah negara berbanding memenuhi kehendak kuasa besar. Daripada takut kepada tarif, kita boleh melihatnya sebagai isyarat. Isyarat bahawa sudah tiba masanya untuk kita melabur dalam diri sendiri.

]]>
nizam88@ums.edu.my (Mohd Affzanizam Mohd Amin (Seksyen Komunikasi Strategik, BPK))Featured BMMon, 21 Apr 2025 03:24:58 +0800
Pengukuhan Nilai Ringgit Tidak Berlaku Dengan Sendiri/v5/ms/featured-bm/15768-pengukuhan-nilai-ringgit-tidak-berlaku-dengan-sendiri/v5/ms/featured-bm/15768-pengukuhan-nilai-ringgit-tidak-berlaku-dengan-sendiri

(Utusan Malaysia, 21 Ogos 2024)

BEBERAPA hari lalu, media massa melaporkan dua berita penting dalam bidang ekonomi negara.

Pertama ialah pengukuhan Ringgit Malaysia (RM) berbanding dolar Amerika Syarikat (dolar AS) ke paras RM4.37 yang merupakan tahap tertinggi sejak Februari 2023 menjadikan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia. Kedua ialah lonjakan 1.53 peratus Bursa Malaysia, dengan indeks komposit berakhir pada paras tertinggi dalam 44 bulan, yang man a FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak ke paras tertinggi dagangan harian pada 1,653.35, mencecah paras yang belum pernah dicapai dalam tiga tahun dan lapan bulan, yang ditutup 1,652.49 pada 18 Disember 2020.

Kedua-dua berita ini mempunyai signifikansi yang tersendiri kepada Malaysia. Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia sebaliknya dapat dikaitkan dengan beberapa faktor utama , terutamanya dasar-dasar kewangan yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak awal tahun ini.

Di peringkat global, kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi AS semakin berkurangan, mendorong peningkatan keyakinan terhadap mata wang Asia termasuk ringgit. Penurunan jangkaan kadar faedah Rizab Persekutuan AS pada masa hadapan juga menyumbang kepada penurunan dolar AS, yang seterusnya mengukuhkan kedudukan ringgit.

Walaupun begitu, lebih penting lagi ialah dari sudut langkah kewangan dan dasar monetari, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil tindakan yang bersepadu untuk memastikan kestabilan mata wang dan pasaran pertukaran asing domestik serta meningkatkan kemasukan dana ke dalam pasaran kewangan domestik.

Ini termasuk langkah untuk menggalakkan repatriasi dan penukaran hasil pelaburan asing oleh syarikat berkaitan kerajaan selain melaksanakan langkah operasi intervensi dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

Kerajaan juga kekal komited dan fokus dalam usaha pelaksanaan polisipembaharuan struktur dan pengukuhan fiskal sehingga mendorong JP Morgan menaikkan taraf Malaysia daripada underweight kepada neutral berikutan dasar pembaharuan struktur yang dilaksanakan. Tindakan JP Morgan ini mencerminkan keyakinan terhadap polisi reformasi struktur yang dilaksanakan oleh kerajaan. Ia sekali gus membantu menarik lebih banyak aliran masuk dana dan pelaburan asing, menyokong pengukuhan nilai ringgit.

Sama pentingnya ialah prestasi ekonomi domestik yang semakin memberangsangkan. Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 5-9 peratus pada suku kedua 2024. Prestasi ekonomi yang kukuh ini meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara, yang turut menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit.

Pengukuhan nilai ringgit ini semestinya memberikan impak positif kepada ekonomi negara. Pengukuhan nilai ringgit akan mengurangkan kos import, terutamanya bagi barangan dan bahan mentah dari luar negara. Ini boleh membantu mengurangkan tekanan inflasi domestik serta menurunkan kos pengeluaran bagi sektor industri dan pengilangan.

Walaupun ringgit yang lebih kukuh mungkin akan mengurangkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan murah, ia pada masa yang sama juga menunjukkan kestabilan ekonomi negara yang berpotensi menarik lebih ramai pelancong dari negara-negara maju .

Pengukuhan nilai ringgit juga akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara selain menarik lebih banyak pelaburan asing. Ini turut menyokong peningkatan harga saham di Bursa Malaysia, seperti yang dapat dilihat daripada prestasi mutakhir Indeks FBM KLCI.

Prestasi Indeks FBM KLCI yang mencecah paras tertinggi hampir empat tahun pula adalah dipacu oleh beberapa faktor. Tidak dinafikan sedikit sebanyaknya jangkaan pengurangan kadar faedah AS juga membantu. Jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin mengurangkan kadar faedah pada September mendorong sentimen pelabur serantau dan tempatan dan ini menyokong kenaikan indeks.

KEYAKINAN PELABUR

Bagaimanapun, lebih penting ialah sentimen pasaran yang positif. Prestasi ekonomi yang memberangsangkan dan pengukuhan nilai ringgit semakin meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing.

Ini membawa kepada peningkatan pembelian saham, terutamanya dalam sektor perbankan. Begitu juga dengan persekitaran domestik yang stabil. Keadaan politik dan ekonomi domestik yang stabil di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dasar-dasarnya semakin menunjukkan keberkesanan, turut memberi sumbangan kepada sentimen positif di pasaran saham, yang seterusnya menyokong peningkatan FBM KLCI.

Secara keseluruhannya , pengukuhan nilai ringgit dan prestasi pasaran saham yang memberangsangkan mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Pelabur kekal yakin terhadap perkembangan ekonomi negara dan dengan pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan menjadikan aliran masuk dana dan pelaburan asing akan berterusan serta akan menyokong pengukuhan nilai ringgit selain memberangsangkan prestasi pasaran saham.

Ini ditambah pula oleh ketekunan Perdana Menteri yang sentiasa memfokuskan usaha menarik perdagangan dan pelaburan dalam siri lawatan rasmi beliau ke beberapa buah negara sebelum ini yang kini semakin membuahkan hasilnya. Ini terbukti bila Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan bahawa perdagangan Malaysia meningkat 18.3 peratus kepada RM255.88 bilion pada Julal 2024 sekali gus menjadi nilai perdagangan tertinggi direkodkan sejak Oktober 2022.

Profesor Datuk Dr. KasimHj. Mansor ialah Profesor di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan merangkap Naib Canselor 鶹Ƶ (UMS).

]]>
nizam88@ums.edu.my (Mohd Affzanizam Mohd Amin (Seksyen Komunikasi Strategik, BPK))Featured BMWed, 21 Aug 2024 01:50:56 +0800